Umat Islam mesti bersyukur setiap kurniaan Ilahi
Dikisahkan pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari rumah pergi ke sesuatu
tempat. Di tengah jalan, baginda bertemu dengan Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan
Saidina Umar bin al-Khattab lalu bertanya, kenapa mereka berdua keluar rumah. Saidina
Abu Bakar dan Umar menjawab: “Tak ada sebab yang membuat kami keluar dari rumah
selain daripada rasa lapar. Rasulullah SAW sendiri keluar rumah kerana lapar.
Lalu, baginda SAW mengajak dua sahabatnya itu mengunjungi rumah seorang sahabat
bernama Abu Ayyub al-Ansari. Sebagai tuan rumah, Abu Ayyub, berasa sangat
gembira dengan kedatangan tetamu istimewa yang dihormatinya itu.
Abu Ayyub menghidangkan roti, daging, kurma basah dan tamar kering. Selepas
mereka menikmati hidangan itu, Nabi SAW dengan mata yang berkaca-kaca, lalu
bersabda: Kenikmatan yang dirasai ini akan ditanya oleh Allah SWT kelak pada
Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Muslim, Tabrani dan Baihaqi)
Kisah ini memberi pengajaran kepada kita kewajipan bersyukur kerana dengan
syukur dan mengingati Allah yang memberi nikmat, aktiviti seharian yang
nampaknya begitu mudah dan rutin, akan bertukar menjadi amal ibadah.
Jika kenikmatan kecil dan nampak biasa saja seperti makan minum sudah wajib
disyukuri, bagaimana pula dengan kenikmatan besar seperti nikmat iman,
kesihatan dan kekayaan yang melimpah ruah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau
sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.” (Surah al-Dhuha,
ayat 11)
Menurut pakar tafsir terkenal, al-Raghib al-Isfahani, syukur bermaksud mengerti
dan menyedari nikmat, lalu menzahirkannya melalui zakat, infak, dan sedekah.
Syukur juga bererti mempergunakan dan memanfaatkan nikmat sesuai dengan tujuan
diberikan nikmat itu.
Oleh itu, pemberian prasarana dan kemudahan asas untuk pelaksanaan tugas, tidak
boleh diselewengkan demi kepentingan peribadi atau kehendak golongan tertentu.
Ini salah satu daripada bentuk kekufuran terhadap nikmat Ilahi.
Syukur juga bermakna mengembangkan nikmat dan potensi baik supaya tumbuh subur,
berkembang dengan lebih produktif. Maka, sikap pencerobohan dan pemusnahan
terhadap kekayaan alam sekitar dan budaya juga satu bentuk kekufuran terhadap
nikmat Allah SWT.
Amalan syukur berbeza sama sekali dengan kufur yang bererti menutup. Orang yang
tidak bersyukur dianggap sebagai orang yang kufur nikmat kerana dia tidak
ikhlas mengakui, apatah lagi menghargai nikmat Allah yang diperolehnya. Orang ini juga tidak memuji Allah, malah amat jauh sekali untuk memanfaatkan nikmat itu untuk
jalan kebajikan.
Orang yang tidak bersyukur akan berusaha menutupi limpahan nikmat yang
diperoleh di samping membataskan cara bersyukur sekadar ucapan lidah yang tidak
berbekas dijiwa.
Seorang Muslim yang bersyukur adalah seorang yang mengakui secara ikhlas dan
menghargai dengan penuh keinsafan semua nikmat kurniaan Ilahi Yang Maha
Pemurah, berbaik sangka pada setiap ujian dan musibah Allah yang terhampar di
sepanjang perjalanan hidupnya.
Kenyataannya, tidak semua orang pandai bersyukur. Menurut Imam al-Ghazali,
untuk menjadi manusia yang sentiasa bersyukur, setiap Muslim seharusnya sedar
semua anugerah dan nikmat dimiliki itu sebenarnya daripada Allah SWT.
Personaliti seperti Qarun menjadi kufur kerana dia berasakan semua kekayaan
diperoleh melalui usaha dan kehebatannya sendiri.
Ketika ditanya mengenai kekayaannya, Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku
diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian
yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan
pandai memahami, bahawa Allah membinasakan sebelumnya, dari umat yang lalu,
orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan?
Dan (ingatlah) orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya
mengenai dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (Surah al-Qasas,
ayat 78)
No comments:
Post a Comment