Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
bersabda:
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ
أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ
أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ،
صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman
kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang
pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan
dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan
dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim, no.
2999)
Orang-orang beriman yang sempurna dan tulus
keimanannya akan sentiasa baik urusannya kerana dia sentiasa bersyukur dan
bersabar. Dia sentiasa berada pada kedudukan redha dan merasa cukup. Baginya,
kesenangan yang diterima adalah anugerah, manakala musibah yang menimpa pula
adalah ujian yang mampu menaikkan kedudukannya serta membuahkan pahala tanpa
batasan dari sisi Allah.
Manakala orang yang tidak beriman, hatinya
sentiasa gelisah dan jiwanya selalu meronta walau begitu banyak kelebihan yang
diraih. Apatah lagi kalau musibah pula yang datang, lebih lagi jiwanya
tersiksa. Hatinya penuh hasad, kemarahan, memberontak, tidak redha, sehingga
menjadikannya penuh dosa. Orang-orang yang tidak beriman dia selalu membenci
dan tidak sabar dalam menjalani ketentuan taqdir Allah Ta’ala ke atas dirinya.
Maka di sinilah pentingnya memahami nilai
sabar dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba. Seorang hamba pasti
memerlukan kesabaran dalam setiap keadaan yang ditempuhinya. Kerana setiap apa
yang dialaminya di dunia ini pasti tidak lepas dari dua keadaan, iaitu yang
pertama apabila dia mendapat nikmat anugerah dari Allah, maka dia wajib
bersabar dalam menerima, menikmati, dan menyelenggarakannya. Keduanya, ketika
dia menerima musibah, sudah tentu dia perlu lebih lagi bersabar dalam
menanganinya agar tidak bersikap melampaui batas.
Erti Sabar Dalam Islam
Sabar dapat dimaksudkan sebagai pengurusan
diri untuk tetap melaksanakan ketaatan terhadap Allah berdasarkan apa yang
disyari’atkan dan menahan diri dari apa-apa yang diharamkan-Nya serta bersikap
redha terhadap setiap ketentuan taqdir-Nya tanpa berkeluh-kesah atau melampaui
batas. Oleh itu, sabar di sini terbahagi kepada tiga keadaan iaitu sabar dalam
menjalani ketaatan, sabar dalam menahan diri terhadap kemaksiatan, dan sabar
dengan setiap ketentuan taqdir dari Allah Ta’ala.
Maka dari itu, hukum sabar adalah wajib dan
tiada istilah “sabar itu memiliki hadnya” atau “sabar itu ada batasnya.” Maka
yang benar, sabar itu adalah wajib dalam apa jua keadaan bertepatan dengan
maksud yang dijelaskan.
Jika mungkin ada yang bertanya, sampai bila
mahu bersabar? Maka jawabnya, sabar itu wajib sampai ajal datang menjemput
bersesuaian dengan apa yang disyari’atkan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
اصْبِرُوا وَصَابِرُوا
“Wahai orang-orang yang beriman,
bersabarlah kamu dan perkukuhkanlah kesabaran kamu.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 200)
Kata al-Hasan al-Bashri rahimahullah
(Wafat: 110H):
أمروا أن يصبروا على دينهم الذي
ارتضاه الله لهم، وهو الإسلام، فلا يدعوه لسرّاء ولا لضرّاءَ ولا لشِدَّة ولا
لرِخَاء، حتى يموتوا مسلمين
“Mereka diperintahkan agar sentiasa
bersabar dalam menjalankan agamanya yang diredhai oleh Allah ‘Azza wa Jalla,
iaitu Islam. Sehingga mereka tidak meninggalkannya sama ada pada waktu lapang
ataupun sukar, pada ketika senang atapun susah, sehinggalah mereka mati dalam
keadaan Muslim.” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/195)
Dari sini difahami bahawa Allah Ta’ala
sebenarnya memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar tetap teguh
berbuat taat, meninggalkan apa jua bentuk kemaksiatan, redha terhadap
taqdir-Nya, serta perlu berusaha untuk menangani hal-hal di persekitarannya
dengan penuh kesabaran.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ
الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ
وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ
مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ
رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
“Dan benar-benar akan Kami berikan ujian
kepada kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa,
dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna
lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.” Mereka itulah yang mendapat selawat
(keselamatan) yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah
orang-orang yang mendapat petunjuk” (Surah al-Baqarah, 2: 155-157)
Allah Ta’ala memberitahu kita bahawa Dia
akan menguji para hamba-Nya dengan kesenangan dan kesusahan, rasa takut, lapar,
hilangnya harta, hilangnya orang yang disayangi, dan merosotnya hasil bumi. Ini
semua adalah termasuk bentuk-bentuk ujian yang diberikan Allah kepada para
hamba-Nya. Sesiapa yang bersabar dengannya maka ia mendapat pahala
melimpah-ruah dan khabar gembira di Syurga, sebaliknya sesiapa yang putus-asa,
maka ia sendiri yang rugi malah akan beroleh azab.
Dari itu, sesiapa yang sentiasa bersabar
dengan setiap keadaan yang dihadapinya sama ada yang menyenangkan mahupun yang
menyakitkan kerana semata-mata mencari keredhaan Allah, bererti dia telah
menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia lagi terpuji.
Bergantung Harap Hanya Kepada Allah
Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan
kepada para hamba-Nya agar sentiasa bersabar dan memohon pertolongan (dengan
berdoa harap) hanya kepada-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan melaksanakan solat. Sesungguhnya
Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, 2: 153)
اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا
إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَالْعَاقِبَةُ
لِلْمُتَّقِينَ
“Mohonlah pertolongan kepada Allah dan
bersabarlah. Sesungguhnya bumi (ini) adalah milik Allah; diberikan kepada
sesiapa yang dihendaki-Nya dari kalangan hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang
baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-A’raaf, 7: 128)
Ini kerana hanya dengan bergantung harap
kepada Allah-lah, hati akan merasa tenang dan tenteram. Orang-orang yang
bersabar tidak putus asa malah semakin teguh dan yakin hatinya dengan apa yang
ada di sisi Allah. Orang yang bersabar, dia pasti akan mengembalikan setiap
perkara dan urusannya hanya kepada Allah. Dengan itu, keimanan dan tauhidnya pun
akan menjadi semakin sempurna.
Sesiapa yang bersabar, dia tahu Allah
sentiasa bersamanya sekaligus mengetahui bahawa dirinya sentiasa dipelihara dan
diawasi. Hasilnya, dia akan sentiasa redha terhadap ketentuan dari Allah dan
tidak berkeluh-kesah bila menghadapi ujian. Dengannya dia pun akan tetap tekun
beribadah hanya kepada Allah Ta’ala walau apa pun keadaannya dan sedikit pun
tidak berhajat untuk melakukan hal-hal yang boleh mencemarkan ke-Islamannya
dengan melakukan hal-hal yang syirik, hal-hal yang haram, serta hal-hal yang
maksiat lagi melampaui batas.
Musibah
Menjadi Nikmat
Dengan sebab sabar, setiap musibah yang
datang akan menjadi nikmat. Ia akan diberi pahala yang tidak terkira, darjatnya
dinaikkan, Allah mengasihinya, beroleh petunjuk, rahmat turun kepadanya, dan
dosa-dosanya pula disucikan.
Allah Ta’ala berfirman:
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ
أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang
bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tidak terkira.” (Surah az-Zumar, 39:
10)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ
وَصَبٍ، وَلَا نَصَبٍ، وَلَا سَقَمٍ، وَلَا حَزَنٍ حَتَّى الْهَمِّ يُهَمُّهُ،
إِلَّا كُفِّرَ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ
“Tidaklah menimpa seorang mukmin itu
penderitaan, kesusahan, penyakit dan juga kesedihan, sehinggalah kerisauan yang
merunsingkan, melainkan akan dihapuskan dari dirinya keburukan-keburukannya.”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 2573)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا مِنْ شَيْءٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ
حَتَّى الشَّوْكَةِ تُصِيبُهُ، إِلَّا كَتَبَ اللهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً أَوْ
حُطَّتْ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةٌ
“Tidaklah seseorang muslim yang tertusuk
duri atau yang lebih kecil dari itu, melainkan dituliskan baginya satu darjat
dan dihapuskan pula satu kesalahannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2572)
Selain dari itu, musibah juga adalah
termasuk peringatan bagi manusia yang terleka dan terlalai. Apabila ia tersedar
dan bersabar dengannya, maka pasti ia akan kembali mengingat Rabb-Nya.
Sebaliknya jika tiada kesabaran, pasti ia akan hanyut dan semakin lalai lalu
dengan musibah itu ia pun tersesat lebih jauh lagi.
Demikianlah sebahagian keindahan buah
tangan kesabaran. Ia terbentuk hasil dari keimanan yang benar lagi sempurna.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ
وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ
“…dan orang-orang yang sabar dalam
kesusahan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang
benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Surah
Al-Baqarah, 2: 177)
Orang-orang yang beriman dan beramal soleh
sentiasa mengharap pahala dari sisi Allah. Kebergantungan dan harapannya hanya
kepada Allah. Dan tidaklah diperolehi pahala itu melainkan dengan kesabaran.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ
وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا
يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ
“Berkatalah orang-orang yang dianugerahi
ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidaklah diperolehi pahala itu
melainkan bagi orang-orang yang sabar.”.” (Surah al-Qashash, 28: 80)
Wallahu a’lam…
No comments:
Post a Comment