Apakah Hukum Membaca Yasin 3 Kali Pada Malam
Nisfu Sya'ban?
Jawapan daripada Ustaz Abdul Kadir Al Jofree :
Sebagai menjawab persoalan yang diajukan,
Nisfu Sya'ban biasanya dimaksudkan 15 Sya'ban. Malam nisfu Sya'ban pula adalah
malam 15 Sya'ban (14hb siangnya, malamnya, dipanggil malam 15 ya).
Di negara Arab dan Nusantara, biasanya
dibacakan Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Sya'ban setiap satu dengan
niat tersendiri, yang akan diajarkan oleh para guru. Perkara ini hampir berlaku
ijmak padanya, memandangkan dilakukan oleh para Fuqaha' zaman berzaman dari
dahulu lagi.
Perkara ini tidak dinisbahkan kepada Rasulullah
sendiri. Akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadah tersebut tidak
bertentang dengan syara' (samaada dilakukan bersendirian mahupun beramai-ramai
itu sekadar satu teknik dakwah). Contohnya, zikir, doa, membaca Al-Quran,
membuat kelas ilmu dan sebagainya.
Para ulamak kita di tempat lain (di Mesir,
beberapa tempat di Saudi, Yaman, Siria, Nusantara, dan lain-lain) kebanyakannya
tidak bersetuju dengan fatwa tersebut (Fatwa Dr Yusof Al Qardhawi yang menolak
amalan Yasin 3 kali dan mengatakan ia adalah bid'ah yang diada-adakan). Oleh
kerana itulah amalan beramai-ramai pada malam Nisfu Sya'ban ini dilakukan oleh
para ULAMA' zaman berzaman di merata tempat sejak zaman salaf lagi.
Di bawah ana nukilkan tulisan Sidi Abu
Muhammad pada menceritakan Nisfu Sya'ban dengan jelas dan adil ya...
Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu
telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu'az bin Jabal radhiallahu
'anhu,
bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa
sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua
makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya
kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."
[Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban]
Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di
antara malam-malam yang dikabulkan doa.
Berkata Imam asy-Syafi'ie dalam kitabnya
al-Umm:
"Telah sampai pada kami bahawa
dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam
Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya 'Aidil Fitri, malam pertama di
bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."
Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang
penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kenyataan ini
dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabal radhiallahu
'anhu di atas.
Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu
Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku
pada zaman tabi'in dari penduduk Syam.
Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya
al-Mawahib al-Ladunniyah,
Bahawa para tabi'in daripada penduduk Syam
seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan
bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka
itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.
Para tabi'in tersebut menghidupkan Malam
Nishfu Sya'baan dengan dua cara:
* Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke
masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan
memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
* Sebahagiannya lagi melakukannya dengan
cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti
sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.
Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan
Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin,
berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah
persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh
berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi'in itu.
Berhubung dengan persoalan sholat khas
Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya
seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid'ah yang
keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu
sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk
keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah
sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya'),
sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq .
Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama
ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.
Sedikit tambahan lagi:
Amalan-amalan ini merupakan teknik yang
pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam
menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik
amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang
mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana
tidak melanggar syara'. Sama ada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca
Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.
Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali
diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedayanya
tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah
dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika
pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.
Malang sekali jika perkara-perkara besar
dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah
boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih
risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan
makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam
sahaja tidak diendahkan. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak
mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam
ilmu yang dimiliki.
Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan
malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan
mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.
Wallahu A'lam
Sumber: http://jomfaham.blogspot.com
No comments:
Post a Comment