بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, November 25, 2011

Artis Terkenal Filipina Peluk Islam



Seorang artis terkenal Filipina telah memeluk agama Islam barubaru ini, dan Islamlah yang mendamaikan hidup dan batin kata nya.

“Islam adalah jalan hidup saya sekarang. Selama ini, saya hidup penuh dengan dosa. Namun, Allah SWT memanggil saya pada Islam. Kini, aku begitu dekat dengannya,” tambahnya lagi. Sebagaimana yang dilaporkan abs-cbnnews, 22/11.

Queenie Padilla juga berkata, ayahnya antara orang yang paling sabar dan gembira dengan keputusan yang dibuatnya. Beliau juga berkata “Dalam dunia hiburan seolah berada di persimpangan jalan, antara bahagia dan tersesat”.

Queenie Padilla juga merupakan anak kepada aktor Robin Padilla, “Ayah begitu gembira menunggu saya mengucapkan dua kalimat syahadat,” katanya lagi. Malah dia membuat keputusan untuk mengerjakan haji. Baginya, ibadah haji membantu menyempurnakan keIslamannya.

Beliau juga menyatakan ia mempunyai kewajipan untuk menyebarkan Islam dan ingin bersama sama menikmati keindahan Islam itu bersama masyarakat Filipina khas nya. Beliau menyatakan itu ketika berada di Mekah.

Sekarang beliau sudah berubah dengan mendalami Islam serta berpakaian menutup aurat dan berjilbab. “Saya harus berubah sepenuhnya untuk hidup dengan cara Islam,” tegasnya. Alhamdulillah.

Nabi Ibrahim rela korbankan dunia

Mohd.Zawawi YusohMohd.Zawawi Yusoh

KITA mungkin ada kisah cinta apa lagi kepada remaja yang sedang asyik bercinta hingga hilang rasa segan dan malu. Melihat kepada gelagat mereka rasa mual dan malu dibuatnya.

Ketika masih dalam suasana Aidiladha dan jemaah haji mula pulang ke tanah air elok rasanya kita menyingkap cinta sekeluarga Nabi Ibrahim supaya jadi perbandingan dan teladan. 

Ia kisah cinta yang perlu dijadikan kisah cinta paling sejati sepanjang masa mengalahkan kisah cintanya Romeo kepada Juliet yang rela mati ketika melihat Juliet diam tidak bergerak atau mengalahkan cinta Shah Jahan terhadap isterinya, kemudian ketika isterinya mati dan membina Taj Mahal bagi mengenangkannya. 

Ini adalah sebuah kisah yang lebih indah dari semua pengorbanan atas nama cinta yang pernah ada di atas muka bumi ini. Kisah cinta Nabi Ibrahim pada Pencipta-Nya.


Kisah cinta yang penuh dengan ujian, pengorbanan dan cubaan. Kisah cinta yang mungkin menjadi cubaan terberat yang pernah terjadi sepanjang zaman.


Pengorbanan demi pengorbanan yang dilalui Nabi Ibrahim as. adalah bagi membuktikan cintanya kepada Allah s.w.t. Pengorbanan pertama adalah ketika Nabi Ibrahim diharuskan Allah s.w.t untuk berhadapan dengan ayahnya serta menyampaikan kebenaran keesaan Allah. 

Tentu sekali ayahnya yang ketika itu menjadi pembuat patung berhala akan berasa amat marah apabila mengetahui anaknya tidak menyembah berhala. 

Ia jelas bertentangan dengan keyakinan dan mata pencarian ayah yang dicintainya. Memang amat berat dugaan yang ditanggungnya, akhirnya bukan saja ayahnya tetapi baginda juga perlu berhadapan dengan kekuasaan Raja Namrud serta perlu berhadapan dengan jilatan api yang panas. 

Namun, Nabi Ibrahim berjaya melakukan semua itu kerana cintanya kepada Allah begitu besar. Dan setelah Nabi Ibrahim membuktikan cintanya, api pun menjadi dingin atas perintah-Nya. 

Sekarang, kita lihat yang lain lagi di mana selepas bertahun-tahun tidak mempunyai anak akhirnya Nabi Ibrahim mendapatkan seorang anak melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar. 

Setelah kelahiran anaknya itu, Allah kembali mengujinya dengan memerintahkan supaya baginda meninggalkan Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail di gurun pasir yang tandus. 

Ia ujian yang sangat berat bukan? Isteri dan satu-satunya anaknya perlu tinggalkan di tengah-tengah padang tandus. Mampukah kita melakukan hal sedemikian? 

Begitu juga bagaimana baginda perlu meninggalkan anak yang amat baginda inginkan di tengah terik matahari dan dinginnya angin malam? 

Atas nama cinta yang dimiliki Nabi Ibrahim pada Allah baginda melakukan semua hal itu kerana ia adalah wahyu daripada Allah. 

(Dan setelah Nabi Ibrahim membuktikan cintanya, atas perintahNya, air zam-zam pun keluar untuk menghidupi kedua orang itu, disusuli kemudian dengan kedatangan orang-orang untuk bermukim di sekitar mata air zam-zam). 

Apa lagi yang lebih hebat? akhirnya ketika Nabi Ibrahim bertemu dengan anaknya selepas bertahun lamanya berpisah, turun lagi wahyu yang meminta Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya. 

Cinta nabi Ibrahim diuji lagi. Dengan linangan air mata Nabi Ibrahim meletakkan pisau tajam ke leher anaknya dan bersiap sedia melakukan segalanya demi pembuktian cintanya kepada Yang Maha Kuasa. 

Baginda tetap melaksanakan perintah untuk menyembelih leher puteranya yang begitu dicintainya demi cinta sejatinya. Dan saat itulah, Nabi Ibrahim berjaya membuktikan keinginan Allah adalah segala-galanya. 

Sesungguhnya bukan darah Nabi Ismail yang dikehendaki Allah, bukan juga ketakutan Siti Hajar yang dikehendaki-Nya, bukan pula tubuh Nabi Ibrahim yang dikehendaki-Nya, tetapi yang diuji adalah cinta Nabi Ibrahim. 

Yang dilihat adalah bagaimana Nabi Ibrahim boleh ‘menyembelih’ cinta-cinta lain yang ada di hatinya. Menyembelih cintanya pada harta, cintanya pada orang lain termasuk kepada isteri dan anaknya. 

Baginda berjaya ‘menyembelih’ cintanya pada diri sendiri, pada dunia dan nafsu sehingga yang ada hanya cintanya pada Allah. Justeru, mari sama-sama kita buktikan cinta kita pada yang Maha Kuasa.

Kalam Imam Muda - Tawakal selepas usaha

Kalam Imam MudaMohd Hassan Adli Yahaya

“SAYA dah berusaha kumpul duit untuk sampai ke Makkah ni, harapnya sihatlah sampai pulang ke Malaysia nanti, tawakal aje la...”. Itu salah satu dialog yang tiba-tiba terkeluar apabila saya berbual dengan seorang jemaah haji di Tanah Suci baru-baru ini.


Namun pada masa sama, dia mempersoalkan tindakan saya yang memakai topeng hidung dan mulut bagi mengelak dimasuki debu. Baginya, saya tidak sepatutnya terlalu berlebihan dalam menjaga kesihatan kerana Allah yang sebenarnya memelihara kesihatan kita di Tanah Suci ini.


Secara tidak langsung, ia membawa maksud bahawa Allah akan memberi kesihatan kepada mereka yang sampai ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji. Justeru, kita hanya perlu bertawakal kepada Allah.


Dalam Islam, tawakal bermaksud berserah diri kepada Allah dan berpegang teguh kepada-Nya dalam perkara wajib sebagaimana perintah Allah SWT di dalam surah al-Imran ayat 122 yang bermaksud: 
“Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).” 
Definisi tawakal menurut kacamata ulama tersohor dunia, Prof Dr Yusuf Al-Qardawi pula ialah, apabila seorang manusia menyusun dan mengatur persiapan, persediaan, strategi dan daya usaha, lalu dia menyerahkan hasilnya kepada Allah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, bahawa pada zaman Nabi Muhammad SAW dulu, ada seorang Arab Badawi yang datang ke masjid dan meninggalkan untanya tanpa diikat. Kemudian dia terus masuk ke masjid dan menganggap tindakannya itu sebagai tawakal kepada Allah.


Rasulullah yang melihat kejadian berkenaan segera datang kepadanya dan bersabda: “Ikatlah unta itu dan bertawakallah kepada Allah.” Salah faham mengenai konsep tawakal ini dapat dilihat dalam lapisan masyarakat pada hari ini. Malah, saya juga secara tidak sedar pernah menyalah erti maksud tawakal itu sendiri.


Sewaktu menuntut di universiti, saya pernah kehilangan komputer riba yang diletakkan di dalam masjid. Ketika berkejar untuk solat berjemaah, saya letakkan beg galas yang mengandungi komputer riba berkenaan di tepi dinding masjid dan terus masuk ke dalam saf. Sangkaan saya tentulah tiada orang yang berniat jahat untuk mengambil komputer riba itu di rumah Allah ini, tambahan pula ia disimpan di dalam beg biasa.


Tetapi, selesai solat, saya lihat beg itu sudah tiada di tempatnya dan mula menggelabah mencari di sekitar masjid. Baru saya sedar bahawa pencuri tidak memilih tempat untuk mencuri.


Itulah salah satu contoh salah faham mengenai konsep tawakal. Seharusnya saya berikhtiar dengan meletakkan beg itu di hadapan saya ketika solat dan kemudian baru bertawakal. Samalah juga seperti senario jemaah haji yang menegur saya memakai topeng penghalang debu di atas.


Apa akan jadi sekiranya kita ditakdirkan tidak sihat untuk melakukan ibadah di Tanah Suci ini sedangkan peluang untuk berada di Tanah Suci ini adalah sesuatu yang amat istimewa. Pastinya, jika terlantar sakit dan hanya mampu berehat di kamar hotel, si fulan ini mungkin akan berkata pula; ”Nak buat macam mana, Allah tak izinkan aku untuk beribadah.” Secara tidak langsung, kita meletakkan beban kesalahan itu kepada Allah iaitu secara tidak sedar Allah yang memberinya sakit, justeru Allah seharusnya dipersalahkan. Kerana itu sebagai manusia yang diberikan akal, kita perlu berikhtiar. Tawakal bukan bermaksud menyerahkan diri kepada Allah secara pasif, sebaliknya tawakal kepada Allah menuntut kepada daya usaha dan ikhtiar. Tawakal juga hendaklah seiring dengan usaha.



Dengan erti kata lain, tawakal perlu ada dalam setiap keadaan sama ada sebelum atau selepas berusaha dan kemudian barulah tawakal itu menepati apa yang dimaksudkan oleh Islam.



Kita ambil contoh konsep tawakal dalam berniaga pula. Katakan seorang peniaga makanan itu berusaha mengumpul modal membuka restoran, mempelajari pelbagai resipi masakan, membeli perkakas dapur dan akhirnya berjaya membuka restoran.



Tetapi, malangnya masih tiada pelanggan yang berkunjung ke restorannya dan akibat terlalu kecewa, dia menyalahkan takdir dengan berkata: “Dah macam-macam aku buat, penat aku berusaha nak buka restoran ni, tapi Allah tak buka pintu rezeki untuk aku berniaga. Aku sememangnya tiada bakat untuk berniaga.” Masalahnya di sini, adakah cukup dengan hanya membuat persiapan untuk membuka restoran saja? Bagaimana pula dengan usaha untuk memasarkan produk yang disediakan oleh restoran berkenaan.



Sepatutnya peniaga ini perlu belajar pula mengenai teknik yang betul untuk memperkenalkan restorannya dengan membuat pelbagai promosi untuk menarik orang ramai. Untuk mempelajarinya, peniaga itu seharusnya mengambil ikhtiar dengan belajar daripada seorang yang pakar.



Saya tertarik untuk berkongsi kisah antara Imam Abu Hanifah dan seorang lelaki yang terkenal dengan sikap malas. Suatu hari, sewaktu Imam Abu Hanifah berjalan melintasi rumah seorang miskin, dia terdengar keluhan lelaki itu: “Aduhai, alangkah malang nasib ini, tiada yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini, sejak pagi tiada seorang pun yang sudi memberi curahan air walaupun setitik.” Imam Abu Hanifah yang mendengar keluhan itu kemudiannya mencampakkan bungkusan kecil yang mengandungi wang. Namun keesokannya, Imam Abu Hanifah sekali lagi melintasi rumah si miskin itu dan terdengarlah pula keluhannya: “Ya Allah Yang Maha Belas Kasihan, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti semalam, sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika tidak Tuhan beri, akan lebih sengsaralah hidupku.” Sekali lagi Imam Abu Hanifah mencampakkan bungkusan yang mengandungi wang, tetapi kali ini dengan nota: “Hai sahabat, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian ‘malas’ namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak reda Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. “Jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak sepatutnya duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. “Allah tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan memenuhi doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedaya mungkin dengan pertolongan Allah. Insya-Allah, kamu akan dapat memiliki pekerjaan selama kamu tidak berputus asa.” Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan tawakal. Sesuatu yang perlu kita muhasabah selalu, adakah sudah cukup dengan ikhtiar dan usaha yang kita lakukan untuk sesuatu perkara mahupun atas sesuatu yang menimpa diri kita? Atau adakah kita termasuk dalam golongan orang yang menyalahkan Allah dan takdir secara tidak sedar. Renung-renungkanlah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...