بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, March 18, 2011

pelangi luar biasa di Gunung Everest

OLEG BARTUNOV merakamkan gambar pelangi yang luar biasa di Gunung Everest, Nepal baru-baru ini.


KATHMANDU - Seorang ahli astronomi, Oleg Bartunov, 51, berjaya merakamkan imej pelangi luar biasa di Gunung Everest ketika dia menyertai ekspedisi ke Himalaya di Nepal di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Imej tersebut dirakamkan oleh Burtunov yang merupakan anggota Institut Astronomi Sternberg di Moscow, Rusia dengan menggunakan sebuah kamera biasa.

Fenomena yang pelik tersebut berlaku disebabkan oleh pantulan cahaya kristal ais yang kecil di dalam awan.
Orang tempatan juga dilaporkan jarang menemui pelangi luar biasa itu.

"Saya hanya merakamkan beberapa gambar disebabkan ingin melihat dengan mata saya sendiri terhadap kejadian pelangi awan yang luar biasa itu," kata Bartunov yang turut menyaksikan keajaiban itu bersama beberapa wanita Britain lain. - Agensi

Kosmo

Empat helikopter curah air di loji nuklear


TOKYO - Sebanyak empat buah helikopter tentera Jepun digunakan bagi mencurahkan bertan-tan air ke loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima semalam bagi tujuan menyejukkan batang bahan bakar daripada berlaku kebocoran radiasi.

Helikopter Pasukan Pertahanan daripada jenis CH-47 Chinooks berkuasa dua enjin itu memulakan misi pertama dengan membawa sebuah bekas yang berkapasiti tujuh tan air ke loji tersebut.

Operasi itu dilakukan bertujuan supaya batang bahan bakar dalam reaktor dan kolam penghadang ditenggelami air bagi mengurangkan pendedahan bahan pada udara dan menyebabkan bahan radioaktif tersebar ke alam sekitar.

Sebelum ini radiasi bocor dari reaktor nuklear itu tetapi dalam kadar yang masih tidak dianggap membahayakan kesihatan manusia.

Menteri Pertahanan Jepun, Toshimi Kitazawa berkata, sebanyak 11 kenderaan tentera juga akan dihantar bagi menyertai usaha untuk menyejukkan reaktor itu.

Agensi Keselamatan Nuklear Jepun menyatakan keutamaan akan diberikan kepada reaktor nombor tiga dan empat yang kemungkinan berada pada tahap terlalu panas.

DUA buah helikopter mengambil air laut di Jepun semalam dengan menggunakan sebuah bekas untuk dicurahkan ke reaktor loji nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima, Jepun.
Menurut seorang jurucakap loji nuklear itu yang dikendalikan syarikat Tokyo Elektric Power Co (TEPCO), kolam penghadang di reaktor nombor empat seperti sudah ditenggelami air pada Rabu lalu berdasarkan kepada pemerhatian dari helikopter.

"Kami tidak pasti berapa banyak air sudah berada di dalam reaktor tersebut dan kami juga tidak mempunyai informasi berapa banyak batang bahan bakar yang sudah terdedah," kata seorang jurucakap TEPCO.

Sebelum ini, pekerja-pekerja TEPCO sedang berusaha membaikpulih bekalan tenaga sistem penyejukan yang lumpuh ketika serangan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.

Loji itu pernah meletup sebanyak empat kali selepas ia rosak akibat gegaran gempa bumi yang berpusat di timur laut Jepun pada Jumaat lalu.

Gempa bumi kuat itu turut menyebabkan ombak tsunami setinggi 10 meter berlaku dan melanda kawasan di utara dan timur Jepun. - Agensi

Wednesday, March 16, 2011

Awan radioaktif bergerak ke Tokyo


SEORANG kanak-kanak diimbas untuk diperiksa kadar radiasi padanya di sebuah pusat pemeriksaan di bandar Koriyama, negeri Fukushima semalam
TOKYO - Igauan tragedi letupan loji nuklear Chernobyl di Ukarine yang mengorbankan hampir 9,000 nyawa kembali menghantui rakyat Jepun selepas awan radioaktif kesan daripada siri letupan di stesen tenaga nuklear Fukushima dibimbangi akan sampai ke ibu negara Jepun, dalam tempoh beberapa jam, lapor sebuah akhbar semalam.

Amaran itu dikeluarkan selepas kerajaan Jepun semalam membuat pengumuman bahawa radiasi dari loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) itu kini merupakan ancaman terhadap nyawa manusia.

Loji tersebut yang memiliki empat reaktor nuklear, terletak sekitar 245 kilometer dari Tokyo.

Tahap radiasi atau pencemaran radioaktif yang boleh menyebabkan kanser meningkat dengan mendadak di kawasan sekitar loji tersebut selepas reaktor No.4 terbakar semalam disyaki akibat satu letupan.

Sejak minggu lalu berlaku tiga letupan melibatkan beberapa reaktor di loji nuklear berkenaan.

Selepas kebakaran pada reaktor No. 4 berlaku, bacaan pencemaran radiasi di kawasan sekitarnya melonjak jauh melepas tahap selamat kepada 400 millisieverts sejam (mSv/j). Pendedahan radiasi yang selamat untuk manusia adalah cuma setakat 3mSv untuk setahun.

Tidak lama selepas itu, Kedutaan Perancis di sini pula memberi amaran bahawa awan radioaktif boleh sampai ke ibu negara Jepun itu dalam masa cuma beberapa jam.

Dalam nada serupa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), turut mendedahkan bahawa radiasi daripada reaktor nuklear itu telah dibebaskan ke udara.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan ketika berucap di televisyen tempatan, buat kali pertama mengakui bahawa radiasi telah tersebar dari loji nuklear Fukushima.

"Tahap radiasi itu amat tinggi dan risiko lebih banyak radiasi tersebar juga sangat tinggi," kata Kan.

"Kami sedang melakukan segala usaha untuk menghalang kebocoran radiasi itu daripada terus tersebar. Saya faham bahawa orang ramai kini bimbang tetapi saya merayu anda supaya bertenang," tambahnya.Radiasi boleh membunuh dan mengubah sel badan manusia yang menyebabkan penyakit barah. Setakat semalam, tahap radiasi yang tinggi dicatatkan di Ibaraki, sebuah bandar yang berada sekitar 128 kilometer dari sini.
Di bandar Saitama, dekat sini, tahap pencemaran radiasi yang direkodkan pula adalah 40 kali ganda lebih tinggi daripada normal.

Setakat ini, kerajaan Jepun telah mengkuarantin 150 orang kerana mereka dikhuatiri terdedah kepada pencemaran radiasi.

Pihak berkuasa turut mengambil langkah membersihkan pencemaran radiasi melibatkan 23 orang yang berada berhampiran loji nuklear di Fukushima.

Kerajaan Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 32 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya tinggal di dalam rumah, menutup semua tingkap dan berhenti menggunakan penghawa dingin sebagai langkah keselamatan.

Lebih 100,000 orang dipercayai berada dalam zon tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara luar bermula dengan China mula memindahkan rakyat mereka dari sini kerana bimbang tentang pencemaran radiasi. Setakat ini, beberapa negara asing termasuk Austria dan Perancis mengumumkan akan memindahkan kedutaan mereka ke bandar Osaka yang terletak 400 kilometer dari Tokyo.

Sementara itu, gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter yang melanda timur Jepun pada Jumaat lalu memusnahkan kawasan seluas sehingga berpuluh-puluh kilometer dan menyebabkan lebih 550,000 orang hilang tempat tinggal. - Agensi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...