بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, March 19, 2013

Rawat kanser cara Islam



DAN kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (al-Israa: 82)

Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail secara berperingkat selama 23 tahun. Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai kebenaran kitab suci tersebut dan beriman segala isi kandungannya.

Tidak dinafikan al-Quran mempunyai pelbagai syariat yang mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi larangan seperti mana difirman oleh Allah dalam panduan utama umat Islam.

Bukan hanya tuntutan syariat, kitab suci al-Quran turut mengandungi mukjizat dan keistimewaan termasuklah daripada segi syifa (perubatan). Cuma kita tidak mengetahui sebab masyarakat kini melihat al-Quran sekadar berfungsi untuk bacaan solat, tadarus bulan Ramadan, majlis khatam al-Quran sedangkan ia mengandungi pelbagai manfaat.

Namun, atas kesedaran orang ramai, masyarakat umat Islam negara ini telah yakin dengan kemampuan ayat-ayat suci al-Quran untuk menjadi penawar termasuk dalaman dan luaran di samping mendapatkan rawatan moden.

Kanser merupakan antara penyakit utama rakyat negara ini. Penyakit itu boleh menyerang sesiapa sahaja dengan pelbagai cara. Bahkan kanser bukan seperti demam yang boleh diubati dalam tempoh singkat tetapi memerlukan penjagaan dan rawatan rapi.

Sehubungan itu, bagi merungkai rahsia al-Quran termasuk penyembuhan pelbagai penyakit, Must Read Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah buku bertajuk Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser yang ditulis oleh tokoh perubatan Islam terkenal, Lokman Abdul Hamid.

Lokman yang berpengalaman 12 tahun merawat pelbagai penyakit termasuk kanser, menggunakan perubatan Islam sebagai penyembuhan penyakit tetapi dengan izin Allah.

Buku setebal 258 muka surat itu mengupas definisi kanser, apakah faktor yang menyebabkan kanser dan rawatan moden yang digunakan untuk merawat kanser. Menariknya dalam buku itu, Lokman menyelitkan ayat-ayat suci al-Quran antaranya seperti surah al-Anbiya, al-Nahl, al-Zumar dan lain-lain lagi.

Selain bacaan ayat-ayat al-Quran, berdoa, tahajud, solat taubat, solat hajat dan zikir merupakan antara penawar yang disentuh oleh Lokman dalam buku tersebut.

Buku ini juga dilihat mengajak penghidap kanser selain mendapatkan perubatan moden, ikhtiar dengan memohon kepada Allah SWT untuk menyembuhkan penyakit berkenaan merupakan usaha paling tepat sekali.

Orang ramai perlu mendapatkan buku ini di pasaran berhampiran apa lagi kaedah penyampaiannya dilakukan melalui ilustrasi gambar.

Monday, March 18, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Bukti kebesaran, kekuasaan Allah

Para mufassir mempunyai banyak pendapat tentang kedudukan gua Ashab al-Kahfi.


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SAYID Qutub berkata, kemudian tirai dilabuhkan menutupi pemandangan ini dan disingkapkan kembali untuk menayangkan satu senario yang lain, di mana anak-anak muda itu telah ditidurkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: 

18:17
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah daripada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka Dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkannya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepada-Nya. (al-Kahfi [18] : 17)

Ibnu Kathir berkata, dalam hal ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa pintu gua ini menghadap ke utara, kerana Allah menceritakan bahawa ketika matahari terbit, maka akan condong dari gua tersebut: "Ke sebelah kanan."

Yakni, bayang-bayang daripada sinar matahari itu berada di sebelah kanan. Sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Sa'id bin Jubair, dan Qatadah: Tazaawaru bererti condong. Yang demikian itu, kerana setiap kali matahari semakin meninggi, maka bayang-bayang itu pun berpindah sehingga tidak ada yang tersisa daripadanya pada saat zawal(tergelincir).

Al-Maraghi berkata: "Wahai orang yang diajak berbicara, jika kamu dapat melihat gua itu, pasti kamu dapat melihat matahari ketika terbit condong di sebelah kanan. Begitu juga apabila kamu melihat matahari terbenam meninggalkan mereka, ia berpaling daripada mereka sebelah kiri. Sedangkan para pemuda itu berada di tengah gua dengan ruangannya yang luas sehingga mereka dapat menikmati udara yang nyaman dan sejuk."

Para mufassir mempunyai banyak pendapat tentang kedudukan gua tersebut. Ada yang mengatakan, terletak dekat Iliya' (Baitu al-Maqdis) di Syam.

Menurut Ibnu Ishaq ia terletak di Ninive iaitu negeri Mawsil dan ada yang mengatakan pula di Romawi. Namun, sampai sekarang belum ada petunjuk yang membuktikan kebenaran pendapat tersebut.

Barang siapa yang mendapat taufik daripada Allah SWT sehingga mengetahui ayat dan hujah yang menunjukkan kepada kebenaran sebagaimana yang dialami oleh penghuni gua tersebut, maka orang seperti itu akan mendapat petunjuk jalan kebenaran sehingga memperoleh rahmat yang besar sama ada dunia dan akhirat.

Ini menunjukkan gambaran bahawa Ashab al-Kahfi telah menempuh jalan kebenaran dan mendapat taufik dan rahmat sehingga mencapai apa yang mereka cita-citakan.

Hamka berkata: "Allah memperingatkan kita agar selalu memerhatikan ayat-ayat Allah di antaranya ialah dengan menambah ilmu pengetahuan, termasuk pengetahuan alam."

Dengan itu akan membawa kita kepada jalan iman, keteguhan kepercayaan kepada Ilahi dan keselamatan.
Lantaran itu, janganlah berani berjalan bersendirian dalam menempuhi kehidupan. Selalu bermohon kepada Allah agar kita selamat ke akhir destinasi.

Kisah Ashab al-Kahfi ini menunjukkan kekuasaan Allah. Kebenaran akan dizahirkan juga sekalipun pada episod awalan menunjukkan seolah-olah kebatilan menguasai medan pertempuran.


ARKIB : 15/03/2013

Persoalan alam ghaib urusan Allah



SETIAP makhluk yang dijadikan Allah tidak sesekali akan terlepas daripada kematian waima dia seseorang nabi, rasul atau orang mukmin. Setiap daripadanya tetap merasai saat hembusan nafas terakhir seperti mana disebut dalam ayat 185 surah ali-Imran.

3:185
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Kehadiran kematian amat menggerunkan dan menakutkan jika mendapat khabar berita bahawa salah seorang rakan paling hampir dengan kita dipanggil menyahut seruan Ilahi meskipun baru sahaja bertemu dengan individu berkenaan.

Hidup kita di muka bumi ini cukup singkat dengan nyawa dicabut tanpa mengira umur pada bila-bila masa oleh malaikat Izrail.

Sebaik disahkan kematian, bagi memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, jenazah itu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan seperti mana dituntut dalam syariat Islam.

Bagaimanapun di sebalik kegerunan tersebut, wujud persoalan dalam kalangan umat Islam berhubung saat menjelangnya kematian. Terdapat kalangan mereka bertanyakan bagaimana keadaan manusia sebelum menjelangnya kematian. Bahkan timbul kekeliruan destinasi roh selepas nyawa berpisah dari badan.

Maka wujud pelbagai pandangan, antaranya menyatakan roh berlegar-legar di kediamannya selama 44 hari selepas si mati meninggal dunia.

Malah ada mengatakan roh pulang pada bulan Ramadan. Selain itu, berlakunya amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara tersebut dibimbangi menyebabkan akidah umat Islam terpesong kerana kepercayaan samiyat (alam ghaib) sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya mengikut pemikiran manusia.

Bagaimanapun persoalan roh tidak wajar diperbahaskan terlalu panjang kerana sebagai umat Islam kita perlu menitikberatkan persiapan bekalan amalan sebelum menuju alam abadi bahkan perkara alam samiyat merupakan urusan Allah.

Hujah demikian berpandukan ayat 85 surah al-Isra': 

17:85

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan roh itu adalah urusan tuhanku dan tiadalah diberi kepada kamu ilmu pengetahuan kecuali sedikit.(Surah al-Isra' [17] : 85)

Pun begitu, bagi menjernihkan persoalan alam kematian agar umat Islam tidak terkeliru, para ulama telah mengarang tulisan berdasarkan nas sahih agar ilmu persiapan menuju destinasi kekal abadi berlandaskan akidah Islam.

Saat nazak

Perkara yang berkaitan dengan samiyat (alam ghaib) tergolong dalam satu cabang rukun iman iaitu percaya kepada hari kiamat.

Maksudnya, persoalan alam akhirat hendaklah berpandukan nas sahih dan tidak boleh sesekali mengikut kefahaman manusia sendiri.

Hal itu termasuklah saat-saat menjelangnya kematian atau juga dikenali sebagai nazak.

Menurut Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademi, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir, keperitan dan kesakitan sakaratulmaut hanya diketahui oleh orang yang mengalaminya.

Jelas Mohammad Nidzam, kenyataan tersebut berdasarkan ayat 83 sehingga 85 surah al-Waqi'ah:

56:83
56:84
56:85

Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang daripada kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkong. Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. Dan kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.(Surah al-Waqi'ah [56] : 83 - 85)
Mohammad Nidzam berkata, menerusi ayat tersebut, selain para ulama menafsirkan taubat manusia diterima selagi mana roh tidak sampai di bahagian halkum dan sanak-saudara berada di sekelilingnya hanya dapat menyaksikan kepayahan sakaratulmaut itu tetapi mereka tidak merasai kesakitan berkenaan.

Ketika menjelaskan dakwaan berlaku tanda-tanda menjelangnya kematian seperti dahi berdenyut, mata berkelip-kelip atau keluar peluh berwarna emas hasil pemerhatian sanak-saudara yang melihat seseorang sedang nazak, beliau berkata, itu merupakan perkara majhul (tidak diketahui hakikatnya). Lihat ayat di bawah:

31:34
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.(Surah Luqman [31] : 34)
"Berdasarkan ayat berkenaan, jelas menunjukkan Allah sahaja mengetahui bila tarikh kematian. Kita tidak boleh meneka waktu kematian akan kunjung tiba kerana perkara berkenaan adalah urusan Allah, hatta Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah pun tidak mengetahui bila baginda akan wafat.

"Jangan cuba berteka-teki alamat kematian. Paling utama kita mesti melakukan persiapan daripada segi bekalan pahala pada bila-bila sahaja," kata Mohammad Nidzam.

Mengenai dakwaan bahawa orang sedang nazak mengetahui destinasi seterusnya sama ada diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke neraka, Mohammad Nidzam menjelaskan dengan menyebutkan sepotong hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: "Sesiapa yang menyebut kalimah Lailallahillah sebelum akhir hayat akan masuk syurga."

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa amalan soleh bakal membantu selain memberi syafaat di alam seterusnya.

Ujar Mohammad Nidzam, seseorang sedang nazak menyedari dan yakin ganjaran seperti mana dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah kepada orang beriman. (rujuk An-Naĥl [16] : 31-32)

16:31
16:32
(Untuk mereka) Syurga-syurga " Adn ", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa, (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan".(Surat An-Naĥl [16] : 31-32)
Lain pula nasib menimpa orang yang ingkar, nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan dahsyat dengan dijelaskan oleh Allah dalam ayat 28 surah al-Nahlu 

16:28

Iaitu mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya). Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan. (Malaikat menjawab): Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan.(Surat An-Naĥl [16] : 28)

"Terdapat pula dakwaan yang mengatakan ibu bapa datang menjemput orang sedang nazak. Hal ini dijelaskan oleh Imam Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah dengan beliau menyatakan bahawa yang datang itu bukanlah ibu bapa tetapi syaitan menyamar sebagai manusia. Syaitan datang untuk menggoda keimanan manusia.

"Bagi menggelakkan perkara itu terjadi, kita digalakkan mentalkin orang sedang nazak dengan kalimah Lailallahillah agar ditetapkan keimanan dengan Allah," jelas beliau.

Mohammad Nidzam antara lain turut menyarankan adalah lebih baik mengajarkan kalimah di atas kepada mereka yang sedang nazak itu daripada sanak-saudara, ahli keluarga, ibu bapa, anak, isteri meraung kerana tindakan berkenaan merupakan amalan jahiliah.


Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
utusanARKIB : 15/03/2013

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...