بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, November 18, 2012

Hukum membaca surah Yasin untuk jenazah


2012/11/18 - 06:34:07 AM 
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Suatu yang menjadi kelaziman apabila berlaku sesuatu kematian ialah membaca ayat al-Quran di sisi mayat. Ia bermula sebaik saja mayat dibaringkan di rumah sehinggalah ke saat untuk memandikannya. Malah ada waris dan sanak saudara si mati mengkhatam al-Quran melalui bacaan yang dibahagikan mengikut juzuk. 

Sesiapa saja yang datang melawat jenazah akan mengambil buku bacaan surah Yasin atau al-Quran untuk dibaca bagi dihadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati. Surah yang dibaca bukan setakat surah Yasin tetapi juga surah lain dengan niat yang satu iaitu untuk dihadiahkan pahala bacaan kepada si mati. 

Melihat kepada apa yang diamalkan ini, ia tidaklah dilarang kerana memang terdapat beberapa nas dan dalil bahawa bacaan surah Yasin di sisi mayat adalah dituntut. 


Hadis daripada Maqil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu (Riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban).

Ramai ulama menyebut di dalam kitab mereka mengenai kewajaran membaca surah Yasin di sisi si mati. Mereka termasuklah al-Imam al-Nawawi, al-Khatib al-Syarbini, Wahbah al-Zuhayli, Sayyid Sabiq dan Daud al-Fatani.

Al-Imam al-Qurtubi ada menyatakan bahawa lafaz orang mati daripada kalangan kamu itu boleh membawa kepada dua tafsiran iaitu membacanya di sisi mayat selepas kematiannya dan membacanya di tanah perkuburan.

Berkaitan dengan saranan Rasulullah SAW agar surah Yasin dibacakan berhampiran dengan orang-orang yang hampir mati ialah supaya rohnya mudah keluar. 

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Surah Yasin itu ialah hati al-Quran, sesiapa yang membacanya dengan mengharap keredaan Allah dan kebahagiaan hidup di hari akhirat akan diampunkan dosanya dan bacalah surah Yasin ke atas orang mati daripada kalangan kamu.

Terdapat banyak hadis yang menerangkan kelebihan membaca surah Yasin di samping surah lain, antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa membaca Yasin pada malam hari kerana menuntut keredaan Allah, nescaya akan dihapuskan oleh Allah dosa-dosanya, bacalah ia di hadapan orang yang mati daripada kalangan kamu. (Riwayat at-Tirmizi)

Daripada Anas RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Bahawa bagi tiap-tiap sesuatu itu ada hati dan hati al-Quran ialah Yasin, maka barang siapa membaca Yasin, maka Allah akan mencatat seperti bacaan al-Quran 10 kali. (Riwayat at-Tirmzdhi).

Berhubung permasalahan ini juga, Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa manusia yang masih hidup boleh menjadikan perbuatannya sebagai pahala kepada si mati termasuk bacaan al-Quran. Walaupun pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie menyatakan bahawa pahala bacaan tidak sampai tetapi Ashab al-Syafie (pengikut mazhab Syafie) menyatakan bahawa pahala bacaan tersebut sampai. Pendapat ini turut dipegang oleh Imam Hambali.

Menurut seorang ulama besar Universiti al-Azhar Mesir iaitu al-Marhum al-Syeikh Atiyyah Saqar dalam himpunan fatwanya, tiga cara yang sepatutnya dilakukan berkaitan dengan hal sedekah pahala bacaan al-Quran adalah seperti berikut: 

Membaca ayat al-Quran dan kemudian berdoa supaya dirahmati dan diampunkan dosa si mati. Si mati hendaklah bertawassul dengan perbuatan salihnya iaitu membaca al-Quran dan kemudian doakan kerahmatan buat si mati;

Membaca ayat al-Quran dan kemudian dihadiahkan kepada si mati seperti bacaan Allahumma awsil thawaba ma qaranahu li fulan (Ya Allah sampaikanlah pahala apa yang telah kami baca kepada roh si polan);

Diniatkan terlebih dulu di permulaan bacaan atau ketika membaca ayat al-Quran bahawa pahala bacaan tersebut adalah untuk si polan bin si polan.

Seorang ulama Nusantara iaitu Syeikh Daud al-Fatani pernah ditanya apakah hukumnya membaca doa khatam al-Quran dengan meniatkan pahala bacaan kepada ruh si mati. Beliau menyatakan bahawa ia adalah dibenarkan, seperti terjemahan doa ini Ya Allah, jadikanlah pahala bacaan kami sebagai tambahan kemuliaan bagi Nabi SAW dan jadikanlah juga pahala yang sama dan gandakan untuk roh si polan atau dalam suratan amalannya.

Jika ada yang tidak mahu atau tidak mampu untuk membacakan ayat-ayat al-Quran kepada si mati, digalakkan juga mendoakan kepada si mati agar diberi keselamatan, kesejahteraan dan pengampunan daripada Allah buat orang yang meninggal dunia itu.



Thursday, November 8, 2012

Hati 'berpenyakit' hilang pertimbangan



Hati adalah cermin kepada segala perbuatan. Setiap kali melakukan sesuatu, hati kita akan mencerminkan niat sebenar daripada perbuatan itu. Berbeza dengan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya. 

Rasulullah SAW mengajar kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah. 


Justeru, agama Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Kalau hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya, meskipun perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.

Seluruh aktiviti ibadah kita bertujuan melembutkan hati. Hati yang lembut itulah yang akan menyelamatkan kita ketika di akhirat nanti, manakala hati yang kasar dan keras adalah hati yang terhijab daripada kebenaran. 

Firman Allah SWT: “Dan barang siapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.” (Surah al-Israa, ayat 72) 

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita seperti puasa, sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati menjadi baik. Tujuan berpuasa adalah untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa. 

Takwa adalah contoh kualiti hati. Orang yang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang yang bertakwa juga akan bersedekah sewaktu tiada mata yang melihat dan berbuat baik semasa ramai orang menjadi jahat. 

Dalam Islam, terdapat beberapa tingkat kualiti hati yang buruk iaitu hati yang berpenyakit, keras, membatu, tertutup dan mati. Orang yang di hatinya ada rasa iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati yang berpenyakit. 

Firman Allah SWT: “Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat 10) 

Hati yang pada awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan menjadi keras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatannya kerana sering diulang-ulang dan menjadi biasa. 

Firman Allah SWT: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah al-An’aam, ayat 43) 

Hati yang keras jika tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya. Al-Quran menyebutnya sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya. 

Allah SWT berfirman: “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 74) 

Sesuatu yang sudah mengeras menjadi batu sudah tentulah sukar untuk dilembutkan semula kerana sifat batu itu tidak akan lembut melainkan jika dihancurkan hanya menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukarnya melembutkan hati samalah seperti tidak mungkin melembutkan batu. 

Setelah itu, hati menjadi tertutup dan apabila hati sudah tertutup ia tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. Allah mengatakan hal itu dalam firman-Nya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (Surah al-Muthaffifin, ayat 14) 

Akhirnya hati bagai dikunci mati iaitu hati yang tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah SWT: “Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” (Surah al-Baqarah, ayat 6-7) 

Seketul hati yang kecil itu tinggi nilainya. Justeru, setiap Muslim wajiblah menjaga hati seperti menjaga harta yang tidak ternilai harganya. Kita tidak akan mempunyai hati yang kedua, yang boleh menggantikan hati yang mati. 

Bagaimanapun, kita mampu menghidupkannya kembali dengan iman dan takwa. Usaha menghidupkan hati perlu dilakukan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh. Ibarat menjaga harta paling mahal, kita tidak ingin hati rosak disebabkan kotoran yang tidak dibuang. 

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

2012/11/08 - 07:51:23 AM 

Wednesday, November 7, 2012

Kiraan tarikh hijrah



ISLAM mengikut tarikh hijrah dikira sejak hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah (622M). Pengiraan hari dan bulan hijrah adalah berdasarkan peredaran bulan. Oleh sebab itu, tarikh hijrah juga dinamakan tarikh Qamariah (Arab: al-qamar - bulan).

Nama 12 bulan yang kini digunakan sudah ada sebelum masa Islam. Nama bulan seringkali mengikut musim atau perilaku orang Arab (khususnya pemuda) dengan nama hari. Dalam bahasa Melayu digunakan nama (Isnin-Ahad) yang dipakai orang Arab pra-Islam.

Penetapan hijrah Nabi Muhammad SAW sebagai tarikh awal Islam bermula daripada keturunan Ali bin Abu Talib (khalifah ke-4) kepada Khalifah Umar (khalifah ke-2) kerana peristiwa hijrah merupakan kejayaan awal perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam.

Pengiraan hari, bulan dan tahun berdasarkan peredaran bulan (pengiraan Qamariah). Pengiraan waktu berdasarkan matahari dan bulan disebut dalam surah Yunus ayat 5. Manakala pengiraan satu tahun 12 bulan disebut dalam surah al-Taubah ayat 36 dan 37. Ada bulan yang terdiri dari 30 hari ialah bulan ganjil (1,3,5,7,9 dan 11) dan yang terdiri dari 29 hari ialah bulan genap (2,4,6,8,10 dan 12).

Tarikh Hijrah atau Qamariah adalah berdasarkan peredaran bulan (Arab: qamar) mengelilingi bumi. Satu tahun Qamariah terdiri dari 12 bulan, 354 hari, lapan jam, 47 minit dan 36 saat. Setiap bulan terdiri dari 29 hari, 12 jam, 44 minit dan tiga saat.

Tahun Gajah
Sebelum ada penetapan tahun hijrah, orang Arab menamakan sesuatu tahun mengikut peristiwa luar biasa yang terjadi pada tahun tersebut, misalnya Tahun Gajah pada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Tahun pertama (622), Baginda di Madinah disebut sebagai Tahun Azan kerana pada tahun itu disyariatkan azan.
Tahun ke-2 (623) Nabi Muhammad SAW di Madinah dinamakan Tahun Izin Perang, Tahun Puasa, Tahun Zakat (Tahun Korban) kerana pada tahun itu disyariatkan keizinan berperang, puasa, zakat dan korban.
Selain itu, tahun ke-9 (629), tahun Nabi Muhammad SAW menetap di Madinah disebut sebagai Tahun Taubah. Dalam surah ini dinyatakan bahawa Tuhan dan Rasul-Nya memutuskan ikatan dengan kaum musyrik di Mekah.

Tahun ke-10 (630) disebut sebagai Tahun Perpisahan kerana Baginda SAW mengerjakan haji di Mekah.

Penetapan tahun hijrah
Tahun Hijrah ditentukan oleh Khalifah Umar pada 17 H/638 M. Untuk menetapkan pengiraan tahun hijrah, Umar mengundang para sahabat. Ada sahabat yang mengusulkan tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW dikira sebagai permulaan tahun Islam.

Ada pula yang mengusulkan turunnya wahyu pertama. Yang lainnya mengusulkan Perang Badar (17 Ramadan) dan peristiwa penting Nabi Muhammad SAW. Ali bin Abu Talib kemudiannya mengusulkan peristiwa hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam.

Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah pada 8 Rabiulawal/20 September 622. Umar menerima usul ini kerana hijrah merupakan titik pemisah di antara masa Mekah dengan Madinah dan merupakan perjuangan awal Baginda SAW dalam menyebarkan Islam.

Bulan Arab kuno
Menurut sejarawan Islam, Abu Raihan al-Biruni (973-1048), di kalangan bangsa Arab kuno sudah terdapat nama 12 bulan yang kini tidak digunakan lagi dalam dunia Arab. Nama kuno ke-12 bulan ini ialah al-Mu'tamir (bersamaan dengan Safar dan dianggap sebagai bulan pertama), Najir, Khawwan, Bussan, Hantam (Hanam), Zaba' (Zubi), al-Asamm, Adil, Nafik, Waghl, Huwa' dan Burak.

Nama hari
Pada mulanya orang Arab membahagikan satu bulan kepada tiga bahagian: masing-masing 10 hari dengan nama: Gurar, Nufal, Tusa', 'Usar, Bid, Dura', Zulam, Hanadis (Duhm), Da'adi dan Mihak.

Permulaan hari ditetapkan dengan kemunculan hilal (al-hilal: anak bulan). Seterusnya dipakai satuan yang terdiri dari tujuh hari yang dikenali dengan satu minggu dengan nama: Awwal (Ahad), Ahwan, Jubar, Dubar, Mu'nis, Aruba' dan Siyar.

Mengikut masa Islam, nama ketujuh-tujuh hari ini ialah al-Ahad, al-Ithnian, al-Thulatha', al-'Arabia, al-Khamis, al-Jumu'ah dan al-Sabt yang diMelayukan menjadi Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.


ARKIB : 30/10/2012

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...