بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, September 21, 2012

Kecelakaan besar


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI

SETELAH Allah SWT menyampaikan tanda peringatan dan ancaman kepada orang kafir bahawa hari keputusan itu pasti berlaku dan Dia bersumpah kepada mereka dengan para Malaikat-Nya yang terdekat dengan para rasul-Nya yang suci bahawa hari itu pasti akan berlaku. Pada hari itu terdapat kengerian-kengerian yang tidak dapat difahami hakikatnya kecuali oleh Allah sahaja Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.

Oleh itu Allah SWT menambahkan perkara itu dengan menakut-nakutkan mereka bahawa Dia telah membinasakan orang yang kafir sebelum mereka, kerana kekafiran mereka. Apabila kamu menempuh jalan mereka, maka kamu pun akan mendapat balasan seperti balasan yang didapati mereka dan kamu juga akan diseksa di dunia dan di akhirat.

Kemudian Allah SWT mengakhiri perkara itu dengan memperingatkan mereka tentang keingkaran mereka terhadap kebaikan-Nya kepada mereka, kerana Dia telah menciptakan mereka daripada setitis air yang hina di dalam rahim dalam tempoh waktu tertentu, lalu Dia membentuk mereka menjadi makhluk lain. Kemudian Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati agar mereka mensyukuri segala nikmat-Nya yang dikurniakan kepada mereka.

Akan tetapi mereka telah mengkufurkannya, mengingkari keesaan-Nya dengan menyembah berhala dan patung. Kemudian Allah SWT mengingatkan mereka tentang segala nikmat-Nya yang terdapat di setiap tempat kerana Dia telah mencipta bumi untuk mereka dan dapat menampung mereka sama ada yang mati atau yang hidup.

Seterusnya Dia menjadikan bumi itu dengan gunung-ganang agar bumi tidak bergoncang bersama mereka. Dia juga menjadikan padanya sungai-sungai dan mata air-mata air agar mereka dapat minum daripadanya air tawar yang segar. Maka mereka menerima azab dan kehinaan kerana mengingkari nikmat-nikmat yang besar ini.

Firman Allah SWT: Bukankah kami Telah membinasakan orang-orang yang dahulu? (al-Mursalat: 16)

Al-Maraghi berkata: "Bukankah Kami telah membinasakan orang yang mendustakan para rasul sebelum kamu, dan Kami seksa pula mereka di dunia dengan pelbagai azab seperti ditenggelamkan sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh a.s, dengan gempa bumi sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Lut a.s dan contoh-contoh serupa yang telah menimpa umat sebelum kamu sebagai balasan terhadap keburukan amalan perbuatan mereka."

Ibnu Kathir berkata: "Yakni dalam kalangan orang-orang yang mendustakan para rasul serta menentang apa yang dibawa oleh para rasul tersebut kepada mereka."

Sayid Qutub berkata: "Demikianlah umat-umat terdahulu yang ramai itu kelihatan gugur binasa dengan satu pukulan Ilahi."

Firman Allah SWT: Lalu kami iringkan (azab kami terhadap) mereka dengan (mengazab) orang-orang yang datang kemudian. (al-Mursalat: 17)

Al-Maraghi berkata: "Kami timpakan pula perkara yang sama terhadap orang lain yang sama dengan mereka. Seterusnya Kami kenakan terhadap mereka apa yang Kami kenakan terhadap orang yang sebelum mereka, kerana mereka itu melakukan perbuatan yang sama dengan perbuatan orang yang sebelum mereka."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu daripada orang-orang yang seumpama dengan mereka."

Sayid Qutub berkata: "Dan dengan satu pukulan Ilahi yang lain, gugur dan binasa pula umat-umat yang datang selepas mereka."

Firman Allah SWT: Demikianlah kami berbuat terhadap orang-orang yang berdosa. (al-Mursalat: 18)

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya sunah Kami terhadap orang yang berdosa adalah sama. Apabila Kami telah membinasakan orang terdahulu kerana dosa dan pendustaan mereka maka Kami pun membinasakan orang yang terkemudian (yang mengikut langkah dan menempuh jalan mereka), kerana sunah Kami berjalan dengan satu model."

Sayid Qutub berkata: "Itulah undang-undang Allah SWT yang tidak dapat dihindari. Dan ketika manusia yang berdosa itu menduga akan menerima balasan kebinasaan seperti yang diterima oleh umat-umat terdahulu dan umat-umat yang datang selepas mereka."

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 19)

Al-Qurtubi berkata: "Azab dan kehinaan yang disebut dalam surah ini diulang banyak kali pada setiap ayat untuk orang yang mendustakan sesuatu, kerana Dia memberikan azab dan kehinaan itu di antara mereka menurut kadar pendustaan mereka. Seterusnya diberikan azab kepada setiap pendusta tidak termasuk azab yang dikenakan kerana pendustaan yang lain."

Sayid Qutub berkata: "Seruan yang mendoakan kebinasaan dan janji azab yang mengancam dengan kemusnahan.

utusan.ARKIB : 07/09/2012

Tuesday, September 18, 2012

SURAH AD-DHUHA

Bismillahirrahmanirrahim


Terjemahan surah ad-Dhuha adalah seperti di bawah:

Dengan menyebut nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.


[1] Demi waktu Dhuha (waktu pagi sepenggalahan matahari.

[2] Dan malam apabila ia sunyi-sepi. 

[3] (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

[4] Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

[5] Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau redha (berpuas hati). 

[6] Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? 

[7] Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? 

[8] Dan didapatiNya engkau kekuarangan miskin, lalu Dia memberikan (kecukupan) kekayaan? 

[9] Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. 

[10] Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik. 

[11] Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.



Di sini dicatatkan apa yang didengar melalui kuliyah tafsir oleh ustaz Zahazan yang dimuatkan dalam mp3 di bawah:


Tujuan kita memahami isi al-Quran ialah untuk menimbulkan kemanisan beribadah kepada Allah SWT. Seorang pemikir Islam yang terkemuka pada abad ini iaitu Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menulis sebuah buku yang bertajuk kaifa ta'allamuna-al-quran (bagaimana kita nak beramal dengan al-Quran). Bagaimana nak memahami dan menghayati isi al-Quran. Bolehlah kita fahamkan seperti ini, iaitu selepas kita membaca dan memahami isi al-Quran maka proses seterusnya ialah mengamalkannya. Itulah tuntutan yang diberikan kepada kita. Al-Quran diturunkan untuk menjadi pengajaran kepada manusia bukan untuk hiasan dan sebagainya. Allah berfirman yang maksudnya:

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;(Yaa Siin 36:69Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar. (Yaa Siin 36:70)
Al-Quran ini diturunkan untuk memberi inzar kepada yang masih hidup dan ketetapan bahawa hukuman akan dikenakan kepada orang yang derhaka. Ertinya umat yang cemerlang atau umat yang hebat ialah umat yang beramal dengan isi kandungan al-Quran bukan dengan menghias atau menggantungkan ayat-ayatnya di dinding dan sebagainya.

Surah yang istimewa kerana memberitahu kita tentang pengalaman Nabi Muhammad saw.. Surah Makiyyah diturunkan sebelum nabi hijrah.

Dr Yusof al-qaradhawi kata surah penegasan tauhid.

Memberi peringatan tentang waktu dhuha.. waktu matahari sedang naik.. solat dhuha 9 pagi- 12 tgh hari lbh kurang. Waktu ini nikmat Allah begitu banyak sekali. Kenapa Allah sebut dhuha awal dan malam disebut  kemudian ..Ini menunjukkan ada hikmah di sini. dhuha waktu gembira, girang dan aktif.. malam pula waktu gelap dan takut. Hamka kata cuba lihat waktu pagi atau dhuha panjang 3 jam sedangkan malam 12 jam gelap dan takut.. Mengapa Allah mendahulukan sebut waktu pendek dan kemudiankan waktu malam yang panjang?..  Dr Yusuf al-qaradhawi dan Hamka menyebut bahawa Allah nak mengajar kita manusia bahawa waktu bergembira hendaklah kita berwaspada.. waktu bergembira amatlah pendek dan terbatas..sedangkan kerja yang kita lakukan dengan berhati-hati atau serius lebih berpanjangan.

Bagaimana? Lihat contoh; kita berpuasa 30 hari kemudian Allah beri kita 1 hari bergembira. Haji bermula pada bulan syawal, zulkaedah, dan zulhijjah tak kiralah ifrad, tamatuk, qiran tempohnya adalah satu waktu yang agak lama lalu 10 zulhijjah hari raya qurban.. selepas panjang beribadah diberikan waktu raya singkat. falsafah di sini kita kena serius bila lakukan kerja dan gembira hendaklah kita bataskan.

Sebab turun surah ini ; sekumpulan orang-orang yahudi datang bertanya bbp soalan kepada nabi lalu nabi kata datanglah esok untuk dapatkan jawapan. tiba-tiba wahyu tak turun untuk beberapa tempoh..orang-orang yahudi datang menempelak nabi kata nabi berdusta lalu Allah turunkan ayat daripada surah al-kahfi (23 dan 24) mengajar nabi agar sentiasa mengatakan insyaAllah.
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti".(Al-Kahfi 18:23Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini". (Al-Kahfi 18:24)
Hendaklah kata dengan izin Alah SWT.. Allah nak didik nabi dan juga mengajar kita semua bahawa al-quran itu sememangnya daripada Allah SWT.

Namun orang-orang musyrikin mekah termasuk isteri kepada Abu Lahab masih berkata.. Wahai Muhamad ! Tuhan kamu meninggalkan kamu.. Allah tak sayang kamu.

Jadi dalam surah ini Allah nyatakan Allah tak benci kepadamu wahai Muhammad. Hikmah disebalik kematian keluarga terdekat nabi menunjukkan bahawa Allah sangat sayang kepada nabi dan nak tunjukkan ilmu yang ada pada nabi serta kebijaksanaan yang dimiliki nabi adalah anugerah Allah tanpa sdikitpun campur tngan keluarga nabi.

Allah mengingatkan sebelum ini kamu bingung wahai Muhammad. sebelum kedatangan wahyu baginda tidak beriman. ini nak tunjukkan nikmat iman sangat bernilai. Sebelum ini kamu dalam keadaan miskin Allah cukupkan.. nikmat dalam pelbagi bentuk bukan harta wang ringgit sahaja tapi lebih daripada itu.

Allah ingatkan tentang kepentingan hablun minannaas, anak yatim dan ajar kita supaya bersyukur dengan nikmat bukan takabbur dengan anugerah yang kita ada.

Sekian...

Boleh juga baca di: 

Saturday, September 1, 2012

Janji Allah


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SURAH al-Mursalat dikategorikan dalam surah Makkiyah kecuali ayat 48 yang mana dikategorikan sebagai ayat Madaniyyah. Surah ini keseluruhannya mempunyai 50 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Humazah. Hubungannya dengan surah sebelumnya ialah di dalam surah ini Allah SWT bersumpah akan menunaikan isi yang terkandung dalam surah sebelumnya, yang mengandungi berita ancaman terhadap golongan yang derhaka dan janji kepada orang Mukmin yang mengerjakan kebajikan.

Firman Allah SWT: Demi malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Dan (malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya. Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan (rahmat Tuhannya) dengan seluas-luasnya. Dan (malaikat-malaikat) yang membezakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan sejelas-jelasnya. (al-Mursalat: 1-4)

Al-Maraghi berkata: "Sumpah Allah SWT dengan para Malaikat:

* Yang diutuskan untuk menyampaikan kebaikan dan ihsan agar disampaikan kepada para Nabi dan Rasul-Nya.
* Para Malaikat yang meninggalkan kebatilan dengan cepat sebagaimana angin kencang menerbangkan tanah dan debu.
* Yang menyebarkan pengaruh-pengaruh mereka kepada umat-umat dan jiwa-jiwa yang hidup.
* Para Malaikat yang turun membawa perintah Allah SWT untuk memisahkan di antara yang hak dengan yang batil dan di antara petunjuk dengan kesesatan.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, mursalaati 'urfa iaitu para Malaikat.

Abu Hurairah berkata: "Yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah Malaikat-Malaikat."
Ibnu Mas'ud berkata: "Mursalaat itu ialah angin-angin. Maksudnya angin-angin itu dilepaskan berturut-turut seperti jajaran bulu tengkuk kuda yang berjuntai.Faariqaat dan Mulqiaat pula bermaksud Malaikat-Malaikat."
Maksud ayat ini ialah Malaikat-Malaikat itu turun membawa perintah-perintah Allah kepada rasul iaitu perintah-perintah yang membezakan di antara yang hak dan yang batil dan mencampakkannya kepada para rasul dalam bentuk wahyu untuk menolak dalihan manusia dan memberi amaran kepada mereka.

Ibnu Jarir berkata: "Al-mursilaat iaitu Malaikat atau angin. Manakala al- 'Asifaatitu ialah angin-angin dan an-Nasyirat itu pula ialah angin-angin yang menyebar awan di merata penjuru langit."

Firman Allah SWT: Dan (malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan. Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti terjadi. (al-Mursalat: 5-7)

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan para malaikat yang menyampaikan kepada para rasul tentang wahyu yang mengandungi peringatan kepada makhluk dan ancaman tentang azab-Nya, apabila mereka melanggar perintah-Nya dan sumpahan Allah SWT dengan semua sumpah ini ialah merupakan janji Allah SWT iaitu berlakunya hari kiamat itu merupakan perkara yang benar dan bukanlah perkara yang mustahil."

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu Malaikat yang turun atas perintah Allah SWT untuk menemui rasul-rasul-Nya dan menyampaikan wahyu. Para rasul menerima wahyu, baik dalam rangka memberi alasan kepada umat manusia atau memberi peringatan kepada mereka tentang seksaan Allah SWT sekiranya mereka menyalahi perintah-Nya."

Dan apa yang dijanjikan Allah SWT kepada kamu semua yang berupa hari kiamat, peniupan sangka kala, pembangkitan jasad dan pengumpulan kembali manusia daripada yang pertama hingga yang terakhir, serta balasan kepada umat manusia yang sesuai dengan amal perbuatannya, semua itu pasti berlaku dan tidak mungkin tidak berlaku.

Firman Allah SWT: Maka apabila bintang-bintang telah dihapuskan.Dan apabila langit telah dibelah. (al-Mursalat: 8-9).

Al-Maraghi berkata: "Maksudnya, apabila cahaya bintang-bintang mula lenyap dan apabila langit pecah dan terbelah."

Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, apabila bintang-bintang telah hilang cahayanya dan apabila langit pecah dan terbelah serta ujung-ujungnya telah digulung."

Sayid Qutub berkata: "Pada hari berlakunya kiamat itu bintang dihapuskan dan hilanglah cahayanya dan langit dipecahkan."

Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu.(al-Mursalat: 10)

Al-Maraghi berkata: "Ketika gunung-ganang diterbangkan angin sehingga tidak lagi meninggalkan kesannya."
Ibnu Kathir berkata: "Yakni dibawa menghilang sehingga tidak ada sedikitpun sisa yang tinggal dan tidak pula ada bekasnya."

Firman Allah SWT: Dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka). (al-Mursalat: 11)

Al-Maraghi berkata: "Apabila telah ditentukan kepada para rasul waktu untuk pengadilan dan pemutusan urusan di antara mereka dengan umat mereka."

Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas: Iaitu dikumpulkan.

Mujahid berkata: "Yakni ditangguhkan waktunya."

Sayid Qutub berkata: "Surah ini mengemukakan satu lagi perkara yang amat besar yang telah ditangguhkan Allah kepada hari kiamat ini, iaitu masa para rasul dipanggil untuk mengemukakan hasil pencapaian dakwah Allah SWT yang diperjuangkan mereka di bumi di sepanjang generasi-generasi manusia."

Marilah sama-sama kita bertekad untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan mengamalkan segala perintah agar kita layak menghuni syurga-Nya.

utusanARKIB : 31/08/2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...