بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, August 8, 2012

Beribadah seolah-olah mati esok



06:57:23 AM Oleh Hashim Ahmad

Meneliti perilaku dan corak hidup sesetengah manusia yang menghuni alam fana ini, kita dapati ada antara mereka bertindak seolah-olah tidak akan mati, akan kekal hidup buat selama-lamanya. 

Ada antara mereka yang bebas melakukan apa saja sesuka hati. Mereka tidak menghiraukan haram atau halal, baik atau buruk. Hidup mereka seolah-olah berajakan nafsu dan bermenterikan syaitan. 

Tak fikir soal dosa, pahala 

Soal dosa, pahala, syurga, neraka serta pembalasan di hari akhirat sudah tidak diambil pusing. Mereka sewenang-wenangnya meninggalkan ajaran Islam. 

Keadaan ini menjadi lebih buruk lagi apabila mereka didedahkan dengan corak hidup serba moden dan canggih. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan menyebabkan berlakunya kelahiran anak luar nikah. 

Ini terjadi lantaran berpengaruhnya pendedahan fahaman kebendaan kepada masyarakat kita. Saban hari kita dianjurkan supaya mengejar masa dan hidup dengan berlumba-lumba untuk mengumpul harta kekayaan. 

Masa untuk akhirat 
Jika dianalisis, sumbangan masa untuk kerja akhirat berbanding kerja dunia amatlah menyedihkan. Purata, setiap orang memerlukan enam jam sehari untuk tidur dan jika seorang pegawai, ia akan menggunakan paling kurang lapan jam sehari untuk bekerja. 

Makan, mandi, masa ke pejabat, bersiar-siar dengan keluarga, membaca dan berhibur paling kurang kita memerlukan empat jam lagi. Ini bermakna, telah luput 18 jam kita menggunakan masa dalam sehari untuk kerja keduniaan. 

Baki enam jam lagi itu tidak semuanya kita gunakan untuk beramal dan beribadah. Paling banyak kita hanya menggunakan empat jam saja sehari untuk mendampingi Allah SWT. 

Jika kita hidup hingga 60 tahun, masa terluang untuk beribadat ialah 50 tahun. Sepuluh tahun pertama hidup, kita dianggap belum baligh. Dalam masa 50 tahun ini, kita hanya menggunakan empat jam atau satu perenam daripada masa sehari untuk beribadah. 

Bekalan akhirat 

Jadi jumlah masa beribadah untuk tempoh 50 tahun, hanya lapan tahun setengah saja. Yakinkah kita akan memperoleh lapan tahun setengah untuk beribadah? Apakah dalam lapan tahun setengah itu hati kita dapat menumpukan seratus peratus perhatian dan khusyuk. 

Oleh itu, beramallah sedaya mungkin seolah-olah kita akan mati esok hari. Tetapi janganlah kita abaikan tugas untuk dunia. Memastikan hidup senang dan bahagia di akhirat, kita perlu menyediakan bekal amal soleh di dunia ini.


Kiamat pasti datang


06:58:46 AM Oleh Mona Ahmad

Kiamat pasti datang, masa dan saatnya, hanya Allah saja mengetahuinya. Bagaimanapun, tanda-tanda awal kiamat sudah berlaku tanpa kita sedari. Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri banyak kali mengingatkan umatnya tentang tanda dan kedatangan kiamat. 

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: Belum akan terjadinya kiamat sebelum banyak haraj. Bertanya sahabat: Apakah itu haraj ya Rasulullah? Jawab Baginda: Pembunuhan! Pembunuhan! 

Kes pembunuhan bukan lagi menjadi perkara luar biasa pada zaman ini. Malah, saban hari media memaparkan pelbagai kes pembunuhan. Justeru, seperti diramalkan Rasulullah SAW, kiamat semakin hampir dengan tanda yang berlaku. 

Tokoh agama, Datuk Hassan Din al Hafiz menjelaskan 16 tanda kecil kiamat sudah berlaku seperti yang diutarakan dalam kitab Udratul Nasihah Fi Asrar Assaat. 

Pertama, dunia mengalami kemelesetan ekonomi. Ini sudah terbukti ketika ini, banyak negara Eropah termasuk Greece, Sepanyol, Ireland dan Portugal masing-masing mencatatkan kemelesetan ekonomi yang teruk sejak beberapa tahun dengan beban hutang terlalu tinggi. 

Kedua, apabila negara dipimpin oleh pemimpin kejam. Ini juga sudah berlaku jika dilihat punca kebangkitan di negara Arab adalah disebabkan rakyat bangun menentang pemerintah mereka yang kejam. 

Ketiga, apabila ramai orang kaya yang berhutang. Rumah besar, kereta besar dan perniagaan maju tetapi hutang keliling pinggang, katanya ketika dihubungi baru-baru ini. 

Tanda awal kiamat yang keempat pula apabila ramai wanita dipilih menjadi pemimpin negara dan mereka ditaati. Sejak kurun ke-20, banyak negara di dunia ini pernah atau masih diperintah golongan wanita antaranya Australia, United Kingdom, Sri Lanka, India, Israel, Argentina dan Portugal. 

Tanda lain ialah apabila umat Islam saling kutuk mengutuk, salam hanya diberikan kepada orang yang dikenali dan orang agama lari ke bukit serta hutan seperti sekolah pondok atau pusat pengajian agama dibina jauh daripada penempatan penduduk, di atas bukit dan dalam hutan. 

Banyak bangunan pencakar langit 

Selain itu, kewujudan banyak persatuan buruh juga antara tanda awal kiamat, bangunan pencakar langit banyak dibina, diikuti semakin ramai anak menderhaka kepada ibu bapa, ramai wanita berkahwin yang tidak mahu anak atau anak ramai dan mereka lebih suka memandulkan diri. 

Ramai wanita di dunia ini yang suka mendedahkan aurat serta kegiatan homoseks berleluasa, ibu lebih menghormati anak berbanding anak menghormati ibu, berlakunya perbuatan bapa merogol anak sendiri atau sumbang mahram, banyak berlaku gempa bumi dan tsunami. 

Hassan berkata, sepuluh tanda besar kiamat pula seperti lahirnya Imam Mahadi, keluarnya Dajjal yang menyesatkan manusia, turun Nabi Isa, muncul Yakjuj Makjuj, Kaabah diruntuhkan, matahari terbit sebelah barat, keluar asap di merata-rata tempat, tiupan angin sepoi bahasa yang mematikan orang beriman, al Quran diangkat dan tiupan sangkakala oleh Malaikat Israfil. 

Daripada Huzaidah bin Asid al Ghifari, Rasulullah SAW menjenguk kami semasa kami sedang ingat mengingati satu sama lain, lalu Baginda bertanya: Apa yang kamu sedang fikirkan? Kami menjawab: Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya. 

10 tanda besar kiamat 

Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan selepas kamu melihat sebelumnya 10 alamat. Lalu Baginda SAW menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj. 

Hassan menasihatkan umat Islam supaya sentiasa bersiap sedia kerana walaupun kiamat besar belum tiba, tetapi kiamat kecil iaitu kematian boleh berlaku pada bila-bila masa. 

Kiamat kecil bagi manusia adalah kematian. Waktu dan saatnya tidak dapat diketahui manusia. Justeru, kita haruslah sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dengan memenuhkan masa beramal dan patuh kepada tuntutan agama, katanya.




Allah swt berfirman:
Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya?  Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?  Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya.  Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.  (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja. (surah An-Nazi’at [79] : 42 - 46)

Tuesday, August 7, 2012

Keistimewaan Ramadan


ARKIB : 01/08/2012


Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Umat Islam berpeluang memperoleh pahala orang yang berpuasa apabila menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa. - Gambar hiasan

RASULULLAH SAW telah ditaklifkan oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Taklifan dan bebanan tanggungjawab yang perlu dibawa oleh baginda ini tentunya lebih berat kerana menjadi penyempurna dan pelengkap kepada ajaran syariat-syariat terdahulu.

Sebagai umat kepada Nabi akhir zaman, kita perlu menerima hakikat bahawa umur yang diperuntukkan oleh Allah SWT terlalu singkat berbanding umat-umat terdahulu. Rata-rata umur umat Rasulullah SAW ialah 60 hingga 70 tahun sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis yang bermaksud; "Umur umatku di antara 60 sehingga 70 tahun. Dan sedikit sahaja di kalangan mereka yang melebihi tempoh tersebut." (riwayat al-Hakim Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Peruntukan umur ini jelas terlalu singkat berbanding umur umat-umat terdahulu. Sebagai contoh, tempoh Nabi Nuh a.s berdakwah mencecah 950 tahun sebagaimana yang tercatat dalam al-Quran. (rujuk al-Ankabut: 15)

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya, Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai motivasi kepada Rasulullah SAW agar tidak berdukacita dan berputus asa dengan penentangan kafir Quraisy kerana Nabi Nuh a.s sendiri terpaksa berhadapan dengan penentangan kaumnya walaupun telah melakukan dakwah selama 950 tahun. Namun, hanya segelintir sahaja yang beriman kepada Baginda. Tempoh tersebut hanyalah jangka masa berdakwah, tidak termasuk jangkauan umur baginda yang sebenar, mungkin melebihi 1,000 tahun. Wallahu a'lam.

Jelas di sini bahawa jika dibandingkan dari sudut masa dan tempoh hidup, tentunya umat Nabi SAW mempunyai ruang yang terlalu sedikit. Bukan itu sahaja, apabila berada di penghujung zaman, masa seakan-akan cepat serta pantas berlalu.

Lihat sahaja kepada hadis Nabi SAW yang menggambarkan fenomena ini pasti berlaku di akhir zaman. Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api." (riwayat Tirmidzi)

Dalam kerangka untuk berhadapan dengan kondisi umur pendek dan masa singkat ini, Nabi SAW telah berpesan kepada Ibn Umar r.a: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu. (riwayat al-Bukhari)

Apabila seseorang itu seimbas berfikir, seiring dengan kedangkalan ilmu, dia akan merasakan kerugian menjadi umat Nabi akhir zaman. Umur yang pendek hanya memberikan ruang yang sedikit kepada umat Nabi SAW untuk melakukan ibadah. Begitu juga masa yang pantas berlalu akan menyebabkan umat Islam tergesa-gesa dalam melakukan ibadah serta kerja-kerja sehariannya.

Namun, sekiranya diamati dengan sebenar-benarnya, rupa-rupanya di sana terdapat hikmah yang terlalu tinggi di sebalik kondisi umat akhir zaman ini. Umur yang singkat dan masa yang pantas sebenarnya akan menjadikan manusia yang benar-benar beriman tidak mempunyai waktu untuk melakukan maksiat dan dosa.
Ini kerana waktu yang ada semuanya dimanfaatkan untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT. Tidak pernah amal ibadah yang dilakukannya diselangi dengan maksiat kepada Allah SWT. Umur yang singkat juga dimanfaatkan benar-benar untuk memastikan kehidupannya menuju ke syurga Allah SWT.

Orang yang mempunyai kesedaran sebegini, tidak akan mempersia-siakan masa sebagaimana kebanyakan manusia yang lain. Sabda Rasulullah SAW: Terdapat dua kenikmatan yang kebanyakan manusia mensia-siakannya (terhalang daripada mendapat kebaikan dan pahala) di dalamnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang.(riwayat Al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...