بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, May 24, 2012

Kebaikan tidak sempurna tanpa memohon rahmat daripada Tuhan




SETIAP kali berhajat menggembirakan ibu, ada kalanya kita merancang untuk pulang bertemu dan menghabiskan masa, ada juga yang suka menjamu ibu dengan makanan lazat hasil tangan sendiri, tidak kurang membawa ibu melancong ke merata dunia. Apa pun caranya, setiap ibu pasti gembira apabila dihargai anak yang mengenang jasa.


Namun, semua itu tiada bermakna jika anak tidak mendoakan supaya kehidupan ibu lebih baik di akhirat kelak. Doa begitu sinonim dengan hajat untuk mendapatkan sesuatu yang diingini. Doa juga satu permohonan kepada Allah SWT supaya diberi perlindungan daripada malapetaka dan bencana.

Lazimnya manusia berdoa apabila sudah berusaha dan berikhtiar, ada juga yang berdoa tanpa melakukan apa-apa. Yang pasti, doa hanyalah kepada Allah yang satu, bukan selain-Nya.


Paling utama buat seorang ibu ialah doa daripada anak. Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa meminta dan memohon sesuatu daripada-Nya, pemilik segala perbendaharaan di dunia dan akhirat. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Al-Mu’min, ayat 60)

Sebagai seorang anak, tentulah doa untuk ibu menjadi ulam bicaranya dengan Ilahi setiap waktu mengadap-Nya. Biarpun ibu tidak mengetahuinya, itu tidak pernah menjadi halangan untuk anak meminta yang terbaik daripada Allah SWT supaya ibu yang melahirkannya sentiasa bahagia, diberi keberkatan dan kerahmatan, juga digolongkan bersama mereka yang salihah di akhirat kelak. 

Perlu diingat, tiada siapa yang paling bermakna doanya kepada ibu melainkan anak yang dilahirkannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam wafat, putuslah amalnya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Banyak peristiwa malang berlaku hari ini kepada anak yang dilahirkan tanpa disengajakan. Mereka akhirnya dibuang merata, tiada pula kasih dan simpati tertumpah pada mereka. Ada yang menyerahkan anak kepada orang lain untuk dijaga, sehingga akhirnya tidak lagi mengenali zuriat darah daging sendiri, ada juga yang tidak pernah mengendahkan kasih sayang dan keperluan patut dicurahkan buat anak, malah menyalahkan anak yang lahir tanpa ‘dijemput’ itu. 

Apa pun berlaku dan bagaimana latar belakang kisahnya, setiap anak harus menyebut nama ibunya dalam doa, paling tidak mohonlah supaya dosa mereka diampunkan, sebagaimana terakam dalam surah Ibrahim, ayat 4 yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, ampunkanlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).”

Kepada yang sedari kecil dikasihi dan dilimpahkan dengan sepenuh kasih sayang, mohonlah: ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Surah Al-Israa, ayat 24) 

Sesungguhnya doa ini membuktikan kita adalah makhluk yang hina dan lemah serta sentiasa mengharapkan pertolongan Allah SWT. Walaupun di dunia ini kita memiliki ibu yang sangat penyayang, mereka akan pergi juga meninggalkan kita apabila sampai waktunya. Kala itu, carilah pengganti di seluruh pelusuk dunia ini, mustahil kita akan temui orang yang sama.

Sebab itulah sebagai seorang hamba yang tidak mempunyai apa-apa, kita harus bermohon supaya diperkenankan permintaan kita untuk ibu. Pada masa sama, kita hendaklah taat dan patuh perintah Allah SWT kerana kita menginginkan sesuatu yang hanya ada padaNya. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka: Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah Al-Baqarah, ayat 186) 

Sebaik-baik doa untuk ibu adalah yang ditadahkan seorang anak yang dicintai Allah SWT, memelihara makan minum dan pakaiannya daripada sumber yang haram, tidak mengabaikan tanggungjawab menyeru amar makruf nahi mungkar sesama manusia, sentiasa bertaubat, positif dan bersangka baik serta bersungguh-sungguh dengan apa yang dipohon. 

Walau apapun kebaikan yang kita lakukan kepada ibu, ia tidak lengkap tanpa doa supaya mereka dilindungi daripada seksa neraka di akhirat kelak, kerana doa anak yang baik tidak akan terputus walau jasad ibu terpisah dari rohnya.

Justeru, berdoalah untuk ibu, supaya mereka gembira menghabiskan usia masih bersisa, dilindungi Dia walau di mana berada dan sentiasa akur kepada perintah dan larangan-Nya, kerana tiada siapa yang diharapkannya untuk memohon melainkan cinta hatinya yang dilahirkan ke dunia. 



  Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

HADIS PALSU BULAN REJAB



Oleh Mohd Shukri Hanapi, Berita Harian Online, 17 Ogos 2005: 

UMAT Islam ini berada dalam Rejab iaitu bulan yang ketujuh dalam kalendar Islam. Bagi sesetengah masyarakat Islam, mereka menganggap Rejab adalah bulan teristimewa kerana menyangka mempunyai banyak kelebihan. Sebenarnya tidak thabit dalam hadis sahih yang menyatakan kelebihan Rejab. Cuma bulan ini termasuk dalam salah satu daripada empat bulan yang dilarang berperang padanya selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Tidak dinafikan ada beberapa hadis yang sering kita dengar dalam ceramah dan penulisan mengenai kelebihan bulan ini. Malangnya, kebanyakan hadis itu berkisar sekitar dhaif, palsu atau tiada sandaran.

Antara hadis yang sering digunakan untuk menyatakan kelebihan bulan ini ialah: 

"Dalam syurga ada sebuah sungai yang bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya akan diberi minum air sungai itu." - Hadis ini sebenarnya bertaraf daif.

Selain itu, hadis berbunyi: 

"Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan, sesiapa berpuasa tujuh hari nescaya ditutup daripada tujuh pintu neraka jahanam. Sesiapa berpuasa lapan hari, nescaya dibuka baginya lapan pintu syurga." - Taraf hadis ini juga daif.

Dalam pada itu ada hadis lagi yang berbunyi "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku." Hadis ini munkar, malah ada sesetengah ulama mengatakan ia hadis palsu, tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.

Ibnu Hajar al-Asqalani telah berusaha mengumpul mengenai kelebihan Rejab dalam kitabnya, Tabyin al-'Ajaib bima warada fi fadl Rajab. Namun menurut beliau, tiada satu pun hadis sahih yang menyatakan mengenai kelebihan dan fadilat puasa pada Rejab.

Tanda dhaif atau palsu dalam hadis kelebihan Rejab ketara sekali, terutama apabila menjanjikan pahala yang terlalu besar bagi mereka yang berpuasa atau beribadat padanya. Ulama menyatakan, janji yang terlalu besar tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan kemungkinan hadis itu dusta atau palsu.

Bagaimanapun, tiada hadis yang melarang umat Islam berpuasa pada Rejab

Oleh itu, hukum berpuasa sunat dalam bulan ini sama saja dengan berpuasa pada bulan lain, seperti puasa pada Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan.

Namun begitu, soal kethabitan atau ketulenan sesebuah hadis perlu diambil kira. Adalah tidak wajar apa saja yang dikatakan hadis terus disebarkan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) ulama hadis terhadap kedudukannya.

MindaSuper.com - Membentuk Kecemerlangan Minda Dengan Al-Quran.

http://mindasuper.com/v2 Powered by Joomla! Generated: 24 May, 2012, 02:30

Sumber : Minda super


Boleh juga baca :

Saturday, May 19, 2012

Tegahan mencontohi orang bukan Islam


Berfesyen itu tidak salah tetapi biarlah menepati syariat-Nya. - Gambar hiasan
Soalan:

SAYA mempunyai sedikit kemusykilan mengenai umat Islam yang berpakaian menyerupai seorang paderi, biarawati, atau pope. Perkara ini terlintas apabila saya berpeluang menyaksikan satu demonstrasi membantah kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin baru-baru ini.

Ada seorang dua yang saya kira sebagai pelajar institusi pengajian tinggi berpakaian seperti seorang paderi dan penganut Yahudi, sedangkan jelas pada raut wajah mereka adalah orang Melayu dan apabila saya bertanya namanya, ternyata mereka beragama Islam.

Persoalannya apakah sebagai umat Islam kita boleh berpakaian sebegitu dengan tujuan berlakon menjadi penganut agama lain?

Jawapan:

Daripada Abdullah bin Umar, baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dikira daripada kaum tersebut." (riwayat Abu Daud, no: 4031, al-Tabraniy di dalam al-Awsath).

Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Anas bin Malik apa persiapan kamu untuk menghadapi hari Kiamat? Anas menjawab tidak banyak wahai Rasulullah, akan tetapi saya sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya, lalu baginda bersabda: Seseorang itu akan bersama orang yang cintainya di akhirat kelak. (riwayat Imam al-Bukhari, Adab al-Mufrad, no:270).

Perkataan "menyerupai", dalam hadis yang pertama menjadi kunci perbahasan dalam persoalan yang ditimbulkan.

Adakah dikira menyerupai Yahudi atau Nasrani sekiranya ada di kalangan orang Islam yang berpakaian seperti mereka? Sebelum dijawab ada baiknya kita lihat dulu, kepada beberapa permasalahan. Antaranya, adakah pakaian yang dipakai oleh orang Islam, pakaian yang dikhususkan kepada golongan Yahudi atau Nasrani sebagai pakaian yang khusus untuk ibadat mereka.

Melalui pakaian tadi makruf bahawa ia adalah pakaian ibadat Yahudi dan Nasrani. Sekiranya pakaian tadi tidak berbentuk pakaian khusus untuk ibadat Yahudi dan Nasrani, maka ia tidak menjadi masalah, sekiranya dipakai oleh orang Islam.

Namun dalam lakonan yang dilakonkan oleh beberapa orang pelajar dalam menunjukkan protes mereka terhadap Yahudi yang tidak kenyang dalam menindas orang Islam.

Watak Yahudi dilakonkan, mungkin dengan tidak ada watak tersebut tidak sampai mesej yang hendak disampaikan. Paling penting dilakonkan bukan dengan niat mengajak orang ikut Yahudi, tetapi supaya orang Islam tahu yang menindas orang Islam di Palestin ialah bangsa Yahudi.

Keadaan ini hanya untuk tujuan menyampaikan mesej kepada khalayak. Namun, tidak boleh menjadikan pakaian seperti lelaki Yahudi, Pope dan biarawati.

Di sini kita berpendirian bahawa perbuatan menjadikan pakaian khusus ibadat agama lain sebagai fesyen adalah menyerupai bangsa tersebut, malahan menyerupai pendeta dan ahli ibadat adalah haram.

Dengan demikian orang yang mencontohi mereka akan dibangkitkan bersama mereka. Sedang orang Islam telah ditegah daripada mengikut atau mencontohi orang bukan Islam.

Pada masa yang sama, seolah-olah orang Islam lupa bahawa bangsa Yahudi dan Nasrani tidak akan berdiam diri selagi mana umat Islam tidak hancur.

Cukuplah dengan apa yang kita lihat hari ini, bagaimana orang Islam tunduk dan patuh kepada Yahudi dan Nasrani dalam banyak keadaan, janganlah sampai mencontohi mereka dalam sistem kehidupan.

Puncanya kurangnya ilmu agama dalam diri orang Islam. Cuba sama-sama kita perhatikan banyak mana sunnah Rasulullah SAW yang dapat kita buat dalam sehari semalam.

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesebuah kaum itu selagi mana mereka tidak mengubahnya… ( al-Ra'd: 11). Maksudnya, apa yang kita lihat hari ini kebanyakannya adalah dengan kehendak kita sendiri.

Pada masa yang sama perkataan "menyerupai" boleh diluaskan lagi dengan memahaminya menyerupai para solehin dan ulama dari kalangan orang Islam. Menyerupai mereka dalam kesungguhan menimba ilmu, dalam menyampaikan dan beramal. Dengan demikian, Allah SWT akan membangkitkannya bersama orang yang dicontohinya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...