بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, June 28, 2011

Rahmat lebih besar sesudah mati

Oleh Hizbur Rahman

2011/06/28
Insan beriman perlu yakin ada kehidupan abadi

MARI kita menjuruskan ingatan dan kesedaran untuk menghayati Allah Maha Besar dan Maha Pemurah. 

Dibentangkan-Nya alam ini untuk kita, dicurahkan rahmat-Nya siang dan malam, sejak dilahirkan hingga ke hari kematian kita.

Bahkan rahmat Allah yang lebih besar dan banyak adalah sesudah kita mati, jika kita termasuk di kalangan orang beriman, bertakwa serta banyak mengerjakan amal soleh selama hidup di dunia ini.

Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus apabila keluarnya nyawa dari tubuh. Orang yang beriman hendaklah meyakini ada kehidupan abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia yang menjadi fokus utama orang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah adalah perkara paling asas dalam Islam. Islam diibarat sebagai bangunan, manakala akidah pula asas atau tapak kepada binaan itu. Jika rosak akidah seseorang maka rosak semua amalan dibina diatasnya. 

Atas dasar ini Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran, namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait perkara ghaib yang tidak mampu dicapai akal manusia yang sangat terbatas. 

Istilah ‘kubur’ hanya kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia? 

Sudah pasti tidak kerana ada yang tidak diketahui kuburnya seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.

Namun, menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam antara alam dunia dengan akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: 

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka berkatalah ia: Wahai Tuhanku kembalikan daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal soleh dalam perkara yang sudah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? 

Sesungguhnya perkataannya itu hanya kata-kata yang ia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah al-Mukminun, ayat 99 -100) 

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hingga dibangkitkan. Ia juga bermakna dinding penghadang antara dua benda sejak waktu kematian hingga dibangkitkan. Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi tetap meyakini kewujudannya.
Contohnya, beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada bermimpi indah dan ketika bangun, jasadnya merasai nikmat dirasakan rohnya ketika bermimpi.

Demikian sebaliknya, orang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan saja rohnya tersiksa tetapi badannya juga rasa tersiksa. Sedangkan mereka tidur berhampiran tetapi tidak mengetahui apa dirasakan rakannya.

Jika perkara seperti ini diakui hakikat kewujudannya maka demikian juga alam barzakh yang lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur sesuatu yang wajib kita imani serta yakini kewujudannya walaupun tidak dapat dibuktikan secara nyata dan termasuk dalam perkara ‘sam’iyyat’ kerana Rasulullah SAW memerintahkan kita berdoa berlindung daripada azab kubur.

Kita wajib berlindung daripada azab kubur kerana alam kubur adalah persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itu tanda kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itu petanda orang itu akan mendapat kesulitan di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu, singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sebenarnya dalam al-Quran ada kira-kira 300 ayat menyatakan kematian dan keadaan kehidupan selepas mati seperti alam barzakh dan akhirat.
Nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW menerangkan roh itu kekal, ada roh mendapat nikmat dan ada roh terseksa.

Apabila kita mengingati kewujudan azab ditanggung selepas mati oleh orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut azab Allah dan akan mendekatkan diri kepada-Nya.

Penulis ialah naib juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis 

Monday, June 27, 2011

Hikmah Di Sebalik Israk dan Mikraj

Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang


Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.

Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.

Firman Allah Taala (maksudnya): 
"Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya): 
"Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (A-li Imran: 19).

Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): 
"Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85)

Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul 'alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.

Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.

Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam.

Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini. Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang.

Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara.

Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.

Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT.

Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.

Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam

Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam.

Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.

Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat.

Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah (maksudnya): 
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (A-li Imran: 102).

Saturday, June 25, 2011

Suruhan menjaga lisan



Soalan: 
SAYA agak bimbang dengan sikap segelintir umat Islam yang suka ‘bawa mulut’ sehingga adakalanya membawa kepada permusuhan sesama Islam. Apakah kepentingan menjaga lisan menurut Islam?

Jawapan:
Lisan adalah alat komunikasi sesama manusia bagi mengetahui tujuan dan kehendak dalam kehendak seharian. Kemampuan seseorang dalam bertutur merupakan nikmat Allah SWT yang tidak terhingga.

Sebab itu iktibar perlu diambil apabila melihat seseorang itu tidak dikurniakan kemampuan untuk bertutur. Saya sendiri kadang-kadang rasa sangat simpati dengan insan-insan istimewa ini.

Namun itu adalah takdir Allah SWT yang mencipta makhluk dengan kehendaknya. Walaupun demikian, daripada kebisuan seseorang bukanlah penghalang untuk beroleh kejayaan dunia, lebih-lebih lagi akhirat.

Daripada satu sudut, orang bisu beruntung kerana kurang berbicara dan selalunya orang bisu ini pekak, dua pancaindera yang tidak berfungsi memungkinkan insan bertuah ini tidak mendengar umpatan orang dan tidak mengerti mengumpat orang dengan lisannya.

Secara tidak langsung walaupun orang melihat insan-insan istimewa ini ada kekurangan pada fizikalnya tetapi beruntung daripada sudut yang lain.

Lain pula keadaan orang yang diberi kemampuan bercakap. Kadang-kadang banyak bercakap perkara yang tidak perlu. Malahan kata-kata mereka juga boleh membawa kepada kerosakan dalam masyarakat.

Saya yakin ramai di antara kita gagal mengawal lisannya yang tidak bertulang. Hal ini termasuk dalam perbuatan tercela yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Jauhilah perbuatan keji. Kerana sesungguhnya Allah tidak suka sesuatu yang keji dan perbuatan keji.” Dalam riwayat lain: “Syurga itu haram bagi setiap orang yang keji”. (riwayat Ibnu Hibban)

Sabda baginda lagi yang bermaksud: “Orang mukmin bukanlah orang yang suka menghujah, mengutuk, berkata keji dan buruk (riwayat al-Tirmidzi).”

Ada seorang lelaki Badwi datang bertemu dengan Rasulullah SAW meminta wasiat yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah, jika ada orang yang mencela kekuranganmu, maka jangan kau balas dengan mencela kekurangannya. Maka dosanya ada padanya dan pahalanya ada padamu. Dan janganlah kamu mencaci maki siapapun. Kata A’rabiy tadi: “Sejak itu saya tidak pernah lagi mencaci maki orang”. (riwayat Ahmad)

Maksud sabda baginda lagi: “Termasuk dalam dosa besar adalah mencaci maki orang tua sendiri.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana seseorang mencaci maki orang tua sendiri?” Jawab Nabi: “Dia mencaci maki orang tua orang lain, lalu orang itu berbalik mencaci maki orang tuanya (riwayat Ahmad).”

Perkataan yang kotor jelas daripada hati yang kotor. Rasulullah SAW bersabda: “Di antara ciri kesempurnaan Islam seseorang adalah ketika ia mampu meninggalkan sesuatu yang tidak ia perlukan (riwayat al-Tirmidzi).”

Penyakit ini disebabkan keinginan kuat untuk mengetahui segala sesuatu. Atau basa-basi untuk menunjukkan perhatian dan kecintaan, atau sekadar mengisi waktu dengan cerita-cerita yang tidak berguna. Perbuatan ini termasuk dalam perbuatan tercela.

Terapinya adalah dengan menyedarkan bahawa waktu adalah modal yang paling berharga. Jika tidak dipergunakan secara efektif maka akan merugikan diri sendiri.

Selanjutnya menyedari bahawa setiap kata yang keluar dari mulut akan dipertanggungjawabkan. Ucapan yang keluar boleh menjadi laluan ke syurga atau jaring ke neraka. Sepatutnya, kita cuba melatih diri sentiasa diam dari hal-hal yang tidak diperlukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Qaf: 16-18)

Daripada Abdullah dia telah memanjat bukit Safa lalu memegang lidahnya lantas berkata: “Wahai lidah katalah yang baik nescaya engkau beruntung dan hendaklah engkau dia supaya selamat sebelum engkau menyesal. Kemudian berkata lagi, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “kebanyakan kesalahan anak Adam adalah pada lisannya…”(al-Thabariniy, Ibn Abi al-Dunya, al-Baihaqi, al-Iraqiy selepas analisis hadis ini berkata: Hadis ini darjatnya hasan).

Daripada al-Hasan al-Basri berkata: “Mereka mengatakan bahawa ungkapan lisan seorang mukmin adalah dari hatinya. Apabila si mukmin ingin mengatakan sesuatu maka ditapis dulu dalam hatinya kemudian barulah diungkap pada lisannya, manakala si munafik pula lisannya mendahului hatinya, apabila ingin menyatakan sesuatu terus diungkapkannya tanpa ditapis melalui hatinya. (al-Kharaithy di dalam Makarim al-Akhlaq)

Daripada Thauban berkata: “Apabila turun ayat 34 dari surah al-Taubah yang bermaksud: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Berkata al-Tahuban: “Ketika mana kami bersama Rasulullah SAW dalam beberapa perjalanan baginda, maka berkata sebahagian daripada kami kepada sebahagian yang lain: sesungguhnya ayat ini turun dalam membicarakan mengenai emas dan perak, kalau kita tahu mana harta yang lebih baik supaya boleh kita menyimpannya. Lantas baginda bersabda: sebaik-baik harta ialah lisan yang sentiasa mengingati Allah dan hati yang sentiasa syukur dan isteri yang beriman yang membantu memperkasa imannya (riwayat al-Tirmidzi, hadis hasan).”

Imam al-Nawawiy dalam kitab al-Azkar berkata: “Ketahuilah bagi setiap orang mukallaf hendaklah memelihara lisannya dari segala bicara melainkan perbicaraan yang ada maslahah (kemaslahatan) padanya.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Qaf: 18)

Tanda bersyukur pada nikmat lisan adalah menggunakannya pada jalan yang diredai Allah 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...