بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, May 27, 2011

Pusaka gugur bagi waris lain agama, pembunuh



2011/05/27
Golongan ada hubungan keluarga dengan bukan Islam perlu buat wasiat elak masalah

SUDAH banyak dibincang dalam siri sebelum ini mengenai syarat pewarisan, senarai waris berhak, bahagian-bahagian bagi waris berkenaan, proses pengurusan harta pusaka serta firman dan hadis yang menyokong. Minggu ini, kita akan membincangkan mengenai waris yang terhalang daripada mewarisi harta pusaka.

Umum perlu tahu bahawa ilmu faraid ini amat penting dan hendaklah dipelajari serta diamalkan kerana ia adalah ilmu yang mula-mula sekali akan dicabut oleh Allah SWT daripada umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid, dan ajarkanlah ia kepada orang lain. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu, ia adalah ilmu yang akan dilupakan  dan ia adalah suatu ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.”

Dalam situasi tertentu seseorang waris yang berhak mewarisi harta pusaka boleh terhalang daripada menerima harta pusaka si mati. Sebab-sebab yang menghalangnya daripada menerima pusaka ialah membunuh dan berlainan agama.

Ahli-ahli fekah bersepakat bahawa jika seseorang itu membunuh dan ia adalah waris kepada orang yang dibunuh, maka si pembunuh adalah tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka orang yang dibunuh itu. Sebagai contoh sekiranya seorang anak lelaki telah membunuh bapanya, anak lelaki itu adalah terhalang daripada mewarisi harta pusaka bapanya itu.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang pembunuh berhak mewarisi harta orang yang dibunuhnya.” Dalam Islam, membunuh itu terdiri daripada empat jenis iaitu pembunuhan sengaja (qatlu al-amad), mirip sengaja (shibhul amad), tersalah (khata’) dan tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’).

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (Surah An-Nisa (4):93).
Jika dilihat daripada firman Allah di atas, membunuh seorang Muslim itu satu perbuatan yang amat berat. Maka dengan itu, di dalam pewarisan juga, perbuatan membunuh itu juga dipandang serius. Justeru, ahli fekah telah bersetuju bahawa “siapa yang menyegerakan agar mendapatkan sesuatu sebelum waktunya, maka dia tidak mendapatkan bahagiannya.”

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli fekah mengenai apakah jenis pembunuhan yang menghalang seseorang itu dari mewarisi harta pusaka. Contohnya pada mazhab Maliki berpendapat bahawa hanya pembunuhan yang dilakukan dengan sengaja atau yang dirancang digugurkan hak waris. Menurut mazhab Syafie pula, segala jenis pembunuhan dapat menghalang seseorang itu daripada mempusakai harta pusaka termasuk pembunuhan yang tidak sengaja.

Firman Allah yang lain bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seseorang bukan kerana hukuman atasnya kerana telah membunuh orang lain atau kerana sudah melakukan kerosakan di muka bumi, maka sesungguhnya ia telah membunuh semua manusia.” (Al-Nisa:32).

AmanahRaya amat berhati-hati dalam pengendalian kes seumpamanya dan menerusi pengalaman selama 90 tahun penubuhannya, AmanahRaya dapat menyelesaikan kes seperti ini tanpa wujud keraguan di kalangan waris yang lain.

Selain daripada pembunuhan, satu lagi perkara yang boleh menghalang seorang yang layak menerima harta pusaka ialah dengan adanya perbezaan agama di antara si mati dan warisnya. Sebagai contoh, sekiranya si mati adalah seorang Muslim dan anak lelakinya bukan Muslim, anak lelaki si mati itu tidak berhak untuk mewarisi harta pusakanya walaupun dalam situasi biasa, anak lelaki adalah waris bagi si mati. Ini disokong oleh sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah berhak seorang Muslim mewarisi orang kafir, dan tidak pula orang kafir mewarisi Muslim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebagai contoh, baru-baru ini berlaku satu keadaan yang mana seorang bukan Islam telah memeluk agama Islam tetapi tidak membuat perancangan pewarisan. Apabila beliau meninggal dunia, ahli keluarganya menuntut harta pusakanya di mahkamah. Akan tetapi memandangkan beliau seorang yang beragama Islam sedangkan keluarganya bukan beragama Islam, maka harta pusaka beliau jatuh kepada Baitulmal negeri sesuai dengan pandangan mazhab Shafie seperti yang diterangkan di atas.

Sesungguhnya hakikat kehidupan, anak amat menyayangi ibu bapa mereka begitu juga sebaliknya. Harta pusaka pula dapat dilihat sebagai salah satu pemberian kasih sayang. Hari ini, banyak kes yang membabitkan anak atau ibu bapa yang memeluk Islam dan meninggalkan waris terdekat terdiri daripada bukan Muslim.

Sehubungan itu, seseorang yang mempunyai waris terdekat terdiri daripada bukan Muslim perlu mengambil berat mengenai perkara ini dan seterusnya perlu sedar bahawa mereka perlu membuat perancangan pewarisan yang sewajarnya. Melalui perancangan pewarisan, seseorang Muslim itu dapat memberikan 1/3 daripada harta pusaka peninggalan mereka kepada orang tersayang yang terhalang daripada mewarisi harta pusaka mereka, terutama dalam kes anak yang memeluk Islam, sedangkan meninggalkan ibu bapa yang masih beragama asal mereka.

Sememangnya kasih sayang tidak dapat diukur dengan pemberian harta pusaka tetapi ia cukup untuk melambangkan tanda ingatan atas segala pengorbanan ibu bapa kepada kita. Bertepatan dengan tuntutan Islam bahawa setiap dari kita perlu mendapat restu ibu bapa sebelum Allah merestui kita.

Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa”. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. (al-Nisa 4:36).

Dengan membuat perancangan pewarisan iaitu melalui penulisan wasiat, perbalahan atau ketidak puasan hati dapat dielakkan. Di Amanah Raya kami mempunyai kepakaran dalam Penulisan Wasiat mengikut undang-undang dan memenuhi keperluan syarak (bagi yang beragama Islam). Penulisan wasiat adalah antara mekanisme perancangan pewarisan harta yang menzahirkan keinginan seseorang terhadap strategi pengagihan harta yang dimiliki. 

Thursday, May 26, 2011

Nabi SAW luka dibaling batu


DI KALANGAN kita sudah tentu pernah mendengar bahawa Rasulullah mengalami luka yang agak parah ketika Perang Uhud. Walaupun dikelilingi pahlawan Islam namun dalam satu kejadian baginda parah apabila seketul batu yang agak besar melayang tepat mengenai baginda.

Batu itu dikatakan dibaling oleh pihak musuh iaitu Utbah bin Abu Waqqas (dalam setengah riwayat yang lain, baginda sebenarnya dipanah tepat mengenai topeng muka besi yang dipakai).

Batu tersebut tepat mengenai muka baginda menyebabkan luka yang teruk walaupun baginda memakai topeng besi ketika itu.

Bayangkan kuat dan besarnya batu yang dibaling sehingga topeng daripada besi itu pecah. Akibatnya serpihan batu yang pecah itu menusuk menembusi pipi Rasulullah dan sebatang gigi baginda turut patah.

Baginda juga dikatakan diserang oleh seorang tentera berkuda dari pihak musuh, iaitu Abdullah bin Qamiah.
Abdullah melibas pedangnya pada bahu baginda, namun tidak berhasil untuk mengoyak baju besi apatah lagi mencederakan baginda.

Namun akibat tetakan itu dikatakan baginda rasa sakit pada bahu itu lebih sebulan lamanya.

Akibat tidak puas hati baginda tidak berjaya dibunuh, Abdullah lagi sekali cuba menetak baginda dengan kuat sehingga perisai kepala dan muka daripada rajutan rantai besi terpecah dua dan menambahkan lagi kecederaan muka yang dialami oleh baginda.

Abdullah ketika itu berkata: "Rasakanlah kau wahai Muhammad, akulah anaknya Qamiah(Qamiah yang bermakna orang yang hina)!"

Sambil membersihkan darah di wajahnya, baginda Rasulullah pun menjawab: "Semoga Allah SWT menghina kamu!"

Ketika itu datanglah para sahabat yang lain membantu baginda. Namun dalam keadaan luka dan kesakitan itu, baginda terjatuh dalam sebuah lubang.

Lubang itu dikatakan digali oleh seorang musuh, iaitu Abu Amir Ar Rahib. Abu Amir sengaja berbuat demikian bagi memerangkap dan mencederakan tentera Muslim terutama baginda sendiri.

Lubang tersebut agak dalam yang menyebabkan baginda tidak mampu keluar. Datang seorang sahabat, iaitu Talhah bin Ubaidullah melompat masuk ke dalam lubang itu.

Lalu dia membongkokkan badannya bagi membolehkan Rasulullah memanjat dan memijak bahunya dan mengangkat nabi ke atas. Ali bin Abi Talib pula menyambut tangan nabi daripada atas lubang itu.

Kemudian Abu Ubaidah bin Jarrah membantu nabi dengan membukakan topeng muka besi pada baginda itu. Setelah dibuka didapati ada serpihan besi topeng itu yang mencucuk pipi baginda lalu Abu Ubaidah menggigit serpihan itu dan dicabutnya. Lalu baginda dibawa berlindung di penjuru Bukit Uhud untuk dirawat.

Pihak musuh berusaha pelbagai cara bagi menembusi benteng para sahabat yang mengelilingi dan melindungi baginda.

Namun, semua usaha itu gagal kerana kukuhnya 'benteng manusia' para sahabat.

Al-Quran 'sentuh' Dr. Miller



Susunan ZUARIDA MOHYIN
INILAH salah satu surah yang telah mengubah kehidupan seorang mubaligh kristian yang juga merupakan seorang pakar matematik serta mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian dari Kanada bernama Dr. Gary Miller.
Photo of Dr. Gary Miller
Dr. Gary Miiler Sumber Gambar
Dr. Miller atau nama Islamnya, Abdul-Ahad Omar mengakui kekagumannya dengan ayat-ayat al-Quran itu yang dianggap sebagai satu keajaiban.

Selain ia membicarakan persoalan duniawi dan ukhrawi manusia dalam segala aspek kehidupan, Dr. Miller turut terkesima waima dirinya seorang yang suka mencari bukti secara saintifik dan logik, disebabkan latar belakangnya.

Ditambah pula, ada antara ayat suci dalam al-Quran itu mencabar masa depan dengan hal-hal yang manusia sendiri tidak dapat meramal atau menjangkakannya.

Salah satu contohnya ialah daripada surah di atas ini. Ia berkenaan hubungan antara Muslim dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi Muslim. Hal itu berlaku sampai sekarang di mana musuh bagi umat Islam adalah orang Yahudi.

"Semuanya bermula sebaik saya menerima hadiah senaskah al-Quran pada 1978. Niat awalnya saya mengkaji dan ingin membaca al-Quran untuk menarik orang Islam masuk ke agama Kristian.

"Sebenarnya, saya mahu mencari kesalahan dalam al-Quran, agar dengan cara itu senang untuk saya menggoyahkan akidah umat Islam.

"Anggapan awal saya, kitab al-Quran adalah sebuah kitab kuno dan mengandungi cerita tentang padang pasir sahaja. Akhirnya, setelah mendalami satu demi satu helaian al-Quran, apa yang ditemui saya sendiri tidak pernah menjangkakannya," akui Dr. Miller.

Beliau akhirnya menyedari dan mengakui kebenaran al-Quran.

Kata Dr. Miller, beliau cuba mencari kisah kesukaran atau detik kesedihan Rasulullah apabila kematian isteri dan bapa saudaranya, tetapi tidak jumpa. Begitu juga dengan surah Aisyah, surah Fatimah dan surah Khadijah.

"Apa yang saya temui ialah tentang Maryam (surah Maryam). Sedangkan dalam kitab Injil tidak ditemui langsung.

"Malahan dalam al-Quran Al-Masih Isa disebut sebanyak 25 kali. Sedangkan Nabi Muhammad SAW disebut empat kali sahaja. Hal ini menyebabkan saya makin pening.

"Saya mencari lagi dengan harapan ada kesilapan di dalam al-Quran.

"Saya teruskan pembacaan dengan lebih teliti lagi. Namun sebaik sampai ke surah an-Nisaa' ayat 82, saya tambah terkejut," katanya.

Ujarnya, salah satu prinsip saintifik yang terkenal adalah untuk mencari kesalahan atau mencari kesalahan dalam teori sampai itu terbukti benar.

Apa yang menakjubkan Dr. Miller, bahawa al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan di dalamnya.

"Tidak ada penulis di dunia ini memiliki keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa hal itu sifar kesalahan.

"Namun al-Quran, sebaliknya. Ia memberitahu anda bahawa ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta anda untuk cuba mencari waima satu kesilapan. Yang pastinya, anda tidak akan menemui apa pun.

"Apabila saya bertemu pula dengan surah al-Anbiya' ayat 30, saya dapati ayat ini sama dengan kajian saintifik yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1973 dan ia adalah mengenai teori ledakan besar.

"Ia menjelaskan teori tentang alam semesta adalah hasil daripada sebuah letupan besar yang mengarah pada pembentukan alam semesta dengan langit dan planet," katanya.

Antara tulisan beliau yang menarik adalah The Amazing Quran (Quran Yang Mengagumkan).
The Amazing Qur'an Dr. Miller's famous work.. sumber gambar
Dalam karyanya ini, beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.



Boleh juga baca di sini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...