بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, October 21, 2013

Sembelihlah egomu




ARKIB : 15/10/2013
HARI ini kita berada pada 10 Zulhijjah. Selain Hari Raya Aidiladha, hari ini juga merupakan hari pertama bagi kaum muslimin melakukan ibadah korban dan akan berakhir pada hari tasyrik yang terakhir iaitu pada 13 Zulhijjah.

Selama tiga hari ini kita disunatkan untuk menyembelih haiwan ternak sebagai korban. Sama ada kambing, lembu ataupun unta. Dagingnya lalu dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin yang memerlukan.

Sebahagiannya boleh dijadikan hadiah kepada rakan handai dan boleh juga dimakan untuk santapan keluarga.

Penyembelihan haiwan korban ini sebenarnya simbolik bagi kepatuhan seorang mukmin kepada tuhannya. Allah tidak menilai kesempurnaan ibadah ini dengan daging dan darah haiwan tersebut, akan tetapi memandang kepada kualiti takwa yang terdapat di dalam hati pelaku ibadah ini.

Allah berfirman: 

Daging dan darah haiwan itu tidak akan mencapai Allah, akan tetapi ketakwaan yang berasal daripadamu. (al-Haj: 37)

Ibadah korban mengingatkan kita kepada kepatuhan Nabi Ibrahim yang bersedia menyembelih Ismail anak kandungnya sendiri kerana memenuhi perintah Allah SWT.

Kesediaan ini menunjukkan tingkat kehambaan baginda yang menempatkan Allah SWT di tingkatan tertinggi di dalam lubuk hatinya.

Sebagai seorang bapa, Ibrahim tentu sahaja sangat mencintai anaknya. Beliau bersedia berpenat lelah untuk memenuhi keperluannya, bahkan bersedia mengorbankan nyawa jika diperlukan untuk melindunginya.

Bagi seorang ayah, perintah menyembelih anak lebih berat daripada perintah untuk mati demi anak. Sangat berat bagi seorang ayah melihat anaknya mati, lebih-lebih lagi jika mesti menerusi tangannya sendiri.

Namun Ibrahim berjaya lulus dalam ujian ini. Beliau telah membuktikan kepada dunia bahawa tuntutan Allah lebih ia turuti dan mengenepikan perasaan, ego dan emosinya sendiri. Justeru Allah lalu memberinya gelaran Khalilullah (kekasih Allah).

Pengajaran ini hendaklah hadir dalam hati apabila kita melaksanakan ibadah korban. Sewaktu menyembelih haiwan korban, sebenarnya kita sedang menyembelih nafsu dan ego yang selama ini memperhambakan kita.

Kita ingin membebaskan diri daripada kedua-duanya agar benar-benar menjadi hamba Allah SWT tanpa berbelah bahagi.

Kita juga mesti ingat bahawa pengorbanan sejati belum dapat diraih selagi mana kita belum mempersembahkan sesuatu yang paling kita cintai untuk Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: 

Kamu tidak akan mencapai darjat berbakti sehinggalah kamu memberikan daripada apa-apa yang kamu cintai. (Ali Imran: 92)
Kata kuncinya ialah meninggalkan nafsu kerana Allah SWT. Kita mesti selalu merujuk kepada hukum Allah SWT dalam setiap tindakan yang hendak kita lakukan dan ucapan yang hendak kita sampaikan. Mana yang melanggar syariat mesti dibuang dan mana yang selari dengan syariat boleh diteruskan.

Perkara ini memang berat di permulaan. Kita berpuasa apabila semua orang makan, bangun tahajud apabila semua orang tidur dan menjaga lisan apabila semua orang sangat ringan membicarakan aib orang lain. Namun jika diteruskan, sedikit demi sedikit kemanisan iman akan terbit di hati.

Ibrahim Al-Khawas berkata: "Barang siapa yang meninggalkan keinginan nafsu, namun ia tidak merasakan kemanisan di dalam hati, itu pertanda ia tidak ikhlas apabila meninggalkannya."

Balasan lain yang telah disiapkan bagi orang yang meninggalkan nafsunya kerana Allah SWT ialah ia akan mendapat ganti yang lebih baik daripada perkara yang ia tinggalkan itu.

Berkata Ubay bin Kaab: "Tidaklah seorang hamba meninggalkan sesuatu kerana Allah SWT, melainkan Allah SWT akan memberinya sesuatu yang lebih baik daripada sumber yang tidak disangka-sangka."

Perkara ini hanya terbukti bagi orang yang pernah melakukannya. Selamat mencuba.


Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR

PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...