Sumber |
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar". (al-Kahfi [18] : 98)
PADA ayat ke-98, Ibnu Kathir berkata:
"Iaitu untuk umat manusia. Allah telah menjadikan antara mereka dengan
Yakjuj dan Makjuj dinding pemisah yang menghalangi berlakunya kerosakan di muka
bumi."
Al-Maraghi berkata: "Sehubungan itu,
Zulkarnain berkata kepada penduduk negeri itu: Tembok ini suatu nikmat dan
rahmat daripada Allah kepada para hamba-Nya kerana dia menjadi benteng di
antara kamu dengan Yakjuj dan Makjuj serta menghalang berlaku kerosakan di muka
bumi."
Allah SWT memberi jaminan sekiranya mereka
hampir keluar dari balik tembok itu, maka dengan kekuasaan-Nya Allah akan
menjadikan tanah yang datar, lalu Allah menghapuskan mereka dengan memusnah dan
meratakan sama dengan bumi.
Hari berganti hari, lubang itu semakin
melebar sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya terbuka pada abad ke-7 Hijrah,
Yakjuj dan Makjuj keluar dan melakukan kerosakan seperti yang telah
diceritakan.
Sayid Qutub berkata: "Siapakah kaum
Yakjuj dan Makjuj? Di manakah mereka sekarang? Apakah tindak-tanduk mereka di
masa lampau dan apakah yang akan berlaku kepada mereka?
Semua pertanyaan ini sukar dijawab secara
pasti, kerana kita tidak mengetahui keadaan mereka melainkan apa yang diterangkan
dalam al-Quran dan beberapa hadis sahih.
Ayat ini tidak menyebut satu zaman yang
tertentu dan yang dimaksudkan dengan janji-Nya untuk menghancurkan tembok itu
yang mungkin telah berlaku sejak serangan kaum Tatar yang telah menyerbu dunia
dan menghancurkan berbagai-bagai kerajaan.
Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.(al-Kahfi [18] : 99)
Pada ayat ke-99, Ibnu Kathir berkata:
"Sebahagian manusia pada hari itu atau hari hancurnya dinding tersebut.
Kemudian mereka itu keluar dan bergabung bersama umat manusia serta melakukan
kerosakan harta kekayaan manusia dan segala sesuatu yang mereka miliki."
Ayat ini ditafsirkan dengan pelbagai
tafsiran. Yang demikian itu adalah pada saat mereka keluar ke tengah-tengah
umat manusia. Semuanya itu terjadi sebelum hari kiamat tiba dan sesudah
munculnya Dajjal. Itu adalah permulaan hari kiamat. Inilah pendapat al-Suddi.
Al-Maraghi berkata: "Pada waktu tembok
itu ditembusi, Yakjuj dan Makjuj telah keluar dari balik tembok itu. Mereka
telah (bertebaran) bercampur gaul di tengah-tengah manusia dengan merosakkan
tanaman serta harta mereka."
Iaitu mereka turun seperti helang dari
setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Gengis
Khan (sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis bahawa
peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah).
Apabila kiamat hampir tiba, Sangkakala akan
ditiup, (Allah SWT) akan mengumpulkan seluruh manusia untuk dihisab.
Sebenarnya, tanda-tanda kiamat amat banyak.
Terutamanya tanda-tanda besar disebut seperti keluarnya Dajjal, turunnya Nabi
Isa dan juga keluarnya Yakjuj dan Makjuj.
Ini menambahkan yakin dan keimanan kita
bahawa wajib beriman dengan hari kiamat. Semoga Allah selamatkan kita daripada
sebarang bala dan bencana yang boleh merosakkan akidah kita. Amin.
No comments:
Post a Comment