بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, August 12, 2011

Umat tak amal ajaran al-Quran umpama keldai - Khutbah Jumaat


IMAM al-Qurthubi menjelaskan, Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi manusia. 


Menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, peringatan dan hukum-hakam, serta perbezaan antara haq dan batil.



Sempena Ramadan, marilah kita dengan penuhi iman dan takwa bermuhasabah apakah selama ini kita mengambil al-Quran seperti Allah SWT perintahkan atau hanya beriman dengan sebahagian daripada al-Quran atau mengabaikannya?


Bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat Allah (al-Quran), dan di kalangan kamu ada rasul-Nya (Muhammad SAW). Sesiapa pegang teguh kepada (agama) Allah, ia beroleh petunjuk hidayah ke jalan betul (lurus) - Surah Ali-Imran, Ayat 101

Kebanyakan kita hanya berusaha menjaga jasad al-Quran. Kita tidak meletakkan al-Quran di lantai, di kerusi atau tempat lain yang tidak sesuai. Kita marah jika mendapati sesiapa saja tidak menjaga al-Quran.


Kita turut marah apabila mendengar dan melihat al-Quran dipijak, dikoyak, dibakar atau dibuang. Kita tidak berdiam diri jika al-Quran dihina atau dipermainkan dalam apa bentuk sekalipun. 

Amat dikesali kerana segelintir umat Islam hanya menjaga jasad al-Quran, tetapi tidak menghayati kandungannya, menerapkan segala perintah dan larangannya. 

Umat Islam sensitif dan marah apabila al-Quran dihina, tetapi perbuatan mereka sendiri seolah-olah ‘menghina atau mengetepikan’ al-Quran dengan tidak mengamalkan ajaran di dalamnya. 

Mimbar juga bimbang ada umat Islam hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan, disimpan di rumah dan hanya digunakan untuk hal mistik seperti menjadikannya azimat, tangkal, pelaris, penolak bala dan pengusir syaitan.

Mereka juga lebih suka mengambil al-Quran sebagai ‘kitab magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan kepentingan peribadi lain.

Mimbar ingin mengingatkan semua Allah SWT menurunkan al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih daripada itu. Membaca al-Quran adalah ibadah (sunat) dan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya wajib.Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah SWT yang diturunkan melalui al-Quran, Allah membuat perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah yang bermaksud: 

“Bandingan orang yang dipikulkan kepadanya Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti keldai yang memikul kitab besar. Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 5) 
Bayangkanlah jika ada orang yang mengatakan kepada kita, anda seperti keldai. Apakah perasaan kita? 



Apalagi yang menyatakan itu ialah Allah SWT yang kita harapkan keredaan dan keampunan-Nya. Orang beriman, bertakwa dan mengharapkan reda Allah tentu takut akan perumpamaan itu. 

Persoalan besar apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada mereka yang membaca al-Quran seperti dalam ayat 101, surah Ali-Imran. 

Firman Allah bermaksud: 
“Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat Allah (al-Quran), dan di kalangan kamu ada rasul-Nya (Muhammad SAW). Sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, sesungguhnya ia beroleh hidayah ke jalan betul (lurus).”
Ayat ini menunjukkan ada umat Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan sunnah di sisinya disebabkan mereka ingkar ayat Allah. 

Antara pendekatan yang mengangkat martabat umat ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh sebagai acuan kehidupan. 

Oleh itu, mimbar menyeru marilah bersama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk kita dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran supaya kehidupan kita lebih diredai Allah SWT

2011/08/12 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...