Artikel di bawah disalin daripada ; BLOG CEMERLANG
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramadan adalah bulan yang mulia disisi Allah SWT. Kehadiran Ramadan umat Islam diwajibkan berpuasa dan melaksanakan ibadah dengan penuh kusyuk semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.
Namun begitu dibulan Ramadan ini juga mengandungi rahsia kejayaan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya dan juga para mujahid Islam dalam usaha untuk mempertahankan Islam dan mengembalikan balik kedaulatan Islam . Islam hanya mampu dihayati sepenuhnya apabila wujud Daulah Islamiah dan melaksanakan hukum-hukum Allah SWT di dalamnya.
Perlulah kita faham bahawa kewajipan berpuasa dengan kewajipan berjihad tidak ada bezanya. Malah puasa yang sedang umat Islam lakukan benar-benar menjadi penguat rohiyah yang jauh melebihi kekuatan fizikal. Semasa berpuasalah semangat jihad dan pengorbanan akan terbentuk didalam hati dan jiwa orang mukmin.
Terdapat beberapa peristiwa dalam sejarah Islam, kejayaan umat Islam berjaya dalam jihad dan peperangan ketika berhadapan dengan tentera kuffar ianya berlaku didalam bulan Ramadan. Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Perang Badar al-Qubra .
Dengan pertolongan Allah SWT Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya telah berjaya mengalahkan pasukan kafir Quraish meskipun secara fizikal dan material memihak kepada Quraish.
Perang Badar al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan Ramadan. Perang itu berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir musyrikin seramai 1,000 orang.
Jumlah tentera yang tidak seimbang itu menyebabkan Rasulullah berdoa kepada Allah SWT sambil bermunajat: "Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika Jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini."
Baginda terus berdoa sehingga selendangnya jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah SAW seraya berkata: "Wahai Nabi Allah! Cukuplah doamu itu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu."
Selepas itu, turun wahyu yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): 'Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut." (Surah al-Anfal ayat 9)
Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan muslim. Setiap muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah SWT. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba dhaif. Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Kepada-Nya setiap muslim bergantung harapan dan memohon bantuan sebagaimana maksud daripada surah al-Fatihah yang diulang-ulang sekurang-kurang 17 kali sehari semalam maksudnya: "Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan." (Surah al-Fatihah, ayat 5)
Maka tidak hairan baginda sentiasa menggalakkan umat Islam agar tidak putus-putus berdoa kepada Allah SAW dalam semua keadaan tidak kira pada masa senang atau susah, kaya atau miskin dan seterusnya. Baginda pernah bersabda maksudnya: "Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi." (Hadis riwayat Abu Ya'la)
Kedua : Perang Khandak .
Pada bulan Ramadan tahun 5H pula, Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan persiapan untuk Perang Khandak. Persiapan dilakukan dengan menggali parit (khandak) di sekeliling kota Madinah. Taktik yang diusulkan oleh Salman Al-Farisi ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Peperangan Khandak akhirnya terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah dengan kemenangan berpihak kepada kaum muslimin setelah Allah SWT menurunkan bantuan-Nya berupa angit ribut menghancurkan kekuatan tentera kafir Quraish.
Ketiga : Pembukaan Kota Mekah .
Satu lagi peristiwa penting berlaku pada 21 Ramadan 8H yakni Fathul (pembukaan) Mekah. Rasulullah SAW. keluar dari Madinah pada 10 Ramadan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Mereka berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukaddid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Peristiwa penting ini telah menyaksikan berapa ramai dari para sahabat khasnya golongan muhajirin menitiskan air mata gembira kerana kejayaan mereka menawan¡ kembali kota yang dulunya menjadi tempat mereka dihina dan diseksa di dalam perjuangan menegakkan agama Allah.
Kisah yang terjadi pada 10 Ramadan tahun ke-8 Hijrah adalah Pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) di mana umat Islam telah berjaya menakluki Mekah dan ia merupakan kejayaan yang terbesar kepada umat Islam apabila berjaya menguasai Mekah dan Madinah sekaligus menjadikan kedua-duanya sebagai pusat yang penting bagi Daulah Islamiah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.
Kejayaan umat Islam pada waktu itu bukan sahaja dapat menakluki Mekah, bahkan hasil penaklukan kota Mekah itu telah menyebabkan penduduk Mekah yang dahulunya kafir telah berbondong-bondong memasuki agama Allah SWT. Ini terkandung di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT maksudnya : "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah) . Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan padaNya, Sesungguhnya, Dia Maha Penerima Taubat".(Surah an-Nasr ayat 1-3)
Ayat ini jelas menceritakan kisah Fathul Makkah (pembukaan Kota Mekah) dan dalam ayat ini juga, Allah SAW. menyeru agar hamba-hambaNya bertasbih kepadaNya apabila beroleh kemenangan sebagai tanda mensyukuri atas nikmat yang diberikan. Seperti yang kita sedia maklum, kita juga akan bertasbih, bertakbir dan bertahmid meraikan hari kemenangan seperti pada Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha khususnya.
Ibnu Qayyim Al-Jauzi telah berkata : "Ianya satu pembukaan teragung yang dengannya Allah SWT memuliakan agama-Nya, Rasul-Nya, tentera-Nya dan parti-Nya yang beramanah, dengannya juga Allah SWT telah menyelamatkan negeri-negeri-Nya dan rumah-Nya yang telahpun ditetapkan sebagai tempat hidayah untuk seluruh alam, menyelamatkan dari tangan-tangan kafir dan musyrikin, ianya pembukaan yang turut bergembira olehnya penghuni-penghuni langit, lanjutan kemuliaannya melimpah ke angkasa cakerawala hingga dengannya maka berduyun-duyunlah manusia menganut agama-Nya, hingga dengan-Nya wajah bumi terukir seribu senyuman mekar".
Keempat : Tentera Islam mendarat di Pantai Andalusia (Sepanyol).
Pada bulan Ramadan tahun 91H, pasukan tentera Islam mendarat di selatan Pantai Andalusia (Sepanyol) dan terus berjihad. Kemudian pada Ramadan tahun berikutnya Panglima Thariq bin Ziyad berjaya mengalahkan Raja Roderick.
Kelima : Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera salib di Baitul Maqdis.
Pada Ramadan 584H pula menyaksikan Panglima Islam yang terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Oleh kerana bulan Ramadan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba, tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang kuat.
Keenam : Tentera Islam mengalahkan tentera Mongol .
Seterusnya dalam bulan Ramadan 658H, tentera Mongol berjaya dikalahkan di Ain Jalut dan Palestin kembali ke tangan kaum muslimin.
Banyak lagi peperangan lain yang berlaku di masa Rasulullah SAW dan juga para khalifah Islam semasa bulan Ramadan yang tidak dapat diungkapkan di sini. Catatan sejarah membuktikan kepada kita bahawa bulan Ramadan bukan sahaja dipenuhi dengan ibadah khusus tetapi juga penuh dengan perjuangan untuk menyebarkan agama Allah SAW dan meninggikan syiar Islam.
Beberapa peristiwa yang tercatat juga menunjukkan betapa Rasulullah SAW. dan para khalifah sentiasa berusaha menyebarkan rahmat Allah di muka bumi dengan jalan dakwah dan jihad meskipun mereka dalam keadaan lapar dan dahaga. Mereka tidak rela melihat dan membiarkan umat Islam terus berada di bawah kekuasaan musuh mereka. Mereka sentiasa memerangi kaum kuffar demi menjaga nasib umat Islam dari ditindas dan diancam oleh musuh Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu apakah kita sebagai umat Islam saat ini terfikir akan nasib yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin, Iraq, Afghanistan, Khasmir, Selatan Filipina (Philipine) dan Selatan Thailand yang sedang ditindas dan mereka menjalani kehidupan yang sukar dan terpaksa mempertahankan maruah diri untuk mempertahankan negara mereka yang diceroboh oleh tentera kuffar. Penderitaan ini yang datang berpanjangan adalah kerana umat Islam telah kehilangan Khalifah Islamiah sejak jatuhnya Khalifah Islamiyah di Turki pada 3 Mac 1924 hinggalah kini.
Sudah 82 tahun Khilafah Islamiyah (Daulah Islam) dihancurkan oleh musuh-musuh Allah dengan kerjasama oleh para pengkhianat dari pemimpin-pemimpin umat Islam sendiri. Sekarang ini, muncul pula para pengkhianat lain yang mewarisi dan mempertahankan negara masing-masing yang telah dihadiahkan oleh penjajah kuffar.
Mereka bersungguh-sungguh mempertahankan negara masing-masing walhal apa yang sepatutnya mereka pertahankan ialah Islam dan umatnya. Mereka takutkan musuh Allah, Amerika dan sekutunya, walhal apa yang sepatutnya mereka takutkan ialah Allah SWT dan azabNya. Mereka mencari perlindungan, kemuliaan dan kekuatan dari orang-orang kafir yang jelas-jelas merupakan musuh Allah dan musuh mereka sendiri, walhal sepatutnya mereka mencari kemuliaan dan kekuatan dari Allah. Mereka menjadi lemah dan pengecut dan tunduk kepada kaum kuffar, walhal Allah SWT. berfirman maksudnya : "Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui!¨(Surah Al-Munafiqun ayat 8).
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita mengambil iktibar di sini bahawa bulan Ramadan bukan sahaja dituntut kita mengerjakan ibadah puasa sahaja tetapi dan melahirkan hubungan iman kita dengan Allah SWT tetapi ibadah puasa juga bertujuan memberi keyakinan kepada kita bahawa perlu dikembalikan balik Daulah Islamiah dan meletakkan Islam sebagai satu kuasa yang dapat memerintah dan Islam pastinya akan beroleh kejayaan sekali lagi seperti zaman kegemilangannya sebelum ini. Hanya Allah SWT yang mengetahui masanya.
Alangkah indahnya jika kita dapat hidup mengikut syariat Islam di dalam semua kehidupan kita dan Islam dapat dikembalikan ditempatnya yang sebenarnya dan seluruh muka bumi Allah ini dimakmurkan dengan keadilan Islam.
No comments:
Post a Comment