2011/08/21
Bersama Ustaz Zahazan
SAYA ada membaca terjemahan al-Quran. Cuma saya tidak faham apa maksud satu firman Allah yang saya temui iaitu cahaya atas cahaya? Soalan kedua, bagaimana kita hendak memperoleh manfaat dari membaca al-Quran. Saya teringin belajar al-Quran tetapi saya sudah berumur.
Hamba Allah,
Rawang.
ALHAMDULILLAH wassolatuwasslam ‘ala rasulillah waba’d. Berkenaan cahaya atas cahaya adalah daripada firman Allah SWT surah an-Nur ayat 35 iaitu: “Allah, cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus yang dalamnya ada pelita besar. Pelita itu dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya atas cahaya. Allah membimbing cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki dan Allah SWT membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
Ayat tersebut diberi penafsiran yang melahirkan beberapa makna, tetapi yang paling agung adalah cahaya atas cahaya itu diertikan sebagai cahaya fitrah di atas cahaya kebenaran (haq) yang memberi petunjuk kepada fitrah iaitu al-Quran dan Iman.
Sebenarnya manusia lahir dalam cahaya fitrah, tetapi oleh kerana suasana melingkunginya sesat menyebabkan mereka menyeleweng dari kebenaran. Pada ghalibnya, seorang anak tidak akan berbuat jahat jika bukan kerana pengaruh orang sekelilingnya dan tentu saja tidak terlepas dari kehendak, hukum dan takdir Allah SWT. Cahaya kedua pula cahaya iman dan wahyu. Dua cahaya ini ada dalam diri seorang mukmin sejati teguh pada imannya. Cahaya Allah terdiri daripada tiga iaitu cahaya fitrah (cahaya ini tidak akan cukup tanpa cahaya iman), cahaya iman dan cahaya amal salih (iaitu sesudah adanya cahaya iman).
Menurut Syeikh Mutawalli asy-Sya’rawi, seorang Muslim membaca al-Quran untuk dua tujuan. Pertama keperluan akal dan kedua, keperluan hati. Ketika seseorang hamba membaca al-Quran diniatkan untuk keperluan jiwa, akan mendapat empat perkara:
Pertama, Ketenteraman hati. Allah SWT berfirman dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Kalangan orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
Kedua, menambah Iman. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang beriman itu hanya mereka yang apabila disebut Allah gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, bertambah iman mereka dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.”
Ketiga, menambah khusyuk dan ketakutan kepada Allah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud: “Kalaulah sekiranya Kami turunkan al-Quran ini atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung berkenaan tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah SWT.”
Keempat, menangis. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 109 yang bermaksud: “Dan mereka segera menundukkan mukanya dengan sujud itu sambil menangis, sedangkan al-Quran menambahkan mereka khusyuk.”
Sekiranya kita tidak tahu membaca al-Quran, maka pelajarilah. Ajak anak dan isteri belajar al-Quran. Sebuah hadis mengenai kelebihan belajar al-Quran daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Belajarlah kamu al-Quran, maka kelak pada Hari Kiamat akan datang pada ahlinya ketika sangat berhajat kepadanya. Lalu ia datang dalam bentuk yang seindah-indahnya, lalu bertanya: “Kenalkah engkau kepadaku? Ahli Quran menjawab: Siapakah engkau? Jawabnya: Akulah yang kamu cinta dan kamu sanjung. Bahkan kamu sudah bangun malam untukku dan biasa membacaku pada siang hari.
“Lalu ia berkata: Kemungkinan kau al-Quran. Kemudian ia membawa orangnya menghadap Allah, lalu diberi kerajaan di tangan kanan, kekal di tangan kiri dan dipakaikan mahkota di atas kepalanya serta kedua orang tuanya yang Muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walaupun berlipat kali ganda sehingga keduanya bertanya: Dari manakah kami mendapat ini, padahal amal kami tidak sampai ke sini? Lalu dijawab: Ini kamu dapat kerana anakmu telah mempelajari al-Quran, maka kamu berdua diberi ini. Demikianlah, wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment