بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, August 27, 2011

Kualiti ibadat puasa diukur menerusi nilai positif dalam jiwa


Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh
2011/08/27


KEHIDUPAN dunia hanya beberapa hari jika dihitung dengan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Di sana akan dihitung segala amalan dan masing-masing akan menuai hasil tanaman mereka semasa di dunia. 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

 “Segala apa yang di langit dan di bumi adalah milik Allah SWT dan akan memberi balasan setiap kejahatan yang sesuai dengan apa yang mereka kerjakan. Begitu juga balasan terhadap kebaikan yang dilakukan.” (Surah An-Najm, ayat 31).


Hadis Qudsi menyebut: “Wahai hambaku, sesungguhnya ia adalah amalan yang akan diperhitungkan satu persatu. Sesiapa menerima kebaikan, unjurkanlah kesyukuran kepada-Nya dan sesiapa yang mendapat sebaliknya maka salahkanlah diri kamu sendiri.” (Hadis riwayat Muslim dari Abu Zarr).

Pada akhir Ramadan di mana langit, bumi dan malaikat bersedih dan menganggap satu ia satu musibah kepada umat Nabi Muhammad SAW

Kita berada di penghujung suku terakhir Ramadan, masa pembebasan dari azab neraka Allah SWT seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan penghujungnya adalah pembebasan dari azab neraka.” (Hadis sahih).

Ramadan bakal ditinggalkan diharap menjanjikan sesuatu yang baik untuk bekalan di sana. 

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menggembirakan seorang Muslim atau kesusahan seseorang, maka Allah SWT akan menghilangkan kedukaannya dan memudahkan urusannya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim).

Jika direnung sejenak dalam ibadat haji, Allah SWT himpunkan amalan umrah di dalamnya untuk kesempurnaan haji, maka Allah SWT mengumpulkan segala kebajikan pada Ramadan terdiri dari ibadat puasa, amalan solat, zikir, tilawah al-Quran, amar makruf nahi munkar, bersedekah, zakat dan silaturahim sebagai pelengkap kepada ibadah puasa itu sendiri. 

Semuanya akan menghasilkan natijah serta petanda baik sebagai bakal menerima kejayaan abadi di akhirat seperti dirakamkan Allah SWT yang bermaksud: 

“Mereka yang terbaik di sisi Allah SWT adalah yang berjalan di muka bumi dengan rendah diri dan tidak suka melayan kerenah orang yang bodoh. Mereka yang menghabiskan malamnya dengan beribadah. Mereka yang berdoa supaya dijauhkan azab neraka. Mereka yang tidak boros dalam berbelanja dan tidak kikir. Mereka tidak melakukan syirik terhadap Allah SWT. Mereka juga tidak membunuh dan berzina kerana azabnya kehinaan adalah kekal buat mereka kecuali dengan bertaubat dan melakukan kebaikan.” (Surah al-Furqan, ayat 63-70).

Ramadan masih berbaki dan ingatlah bahawa kejayaan di penghujung adalah petanda baik buat ahli ibadat. Kita masih berpeluang mengecapi lailatul qadar seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang beribadat pada lailatul qadar dengan penuh keimanan dan kesungguhan, akan terampun dosa kesalahannya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Baginda Nabi SAW memperlihatkan kesungguhan ketara pada saat akhir sebegini pada Ramadan bagi mendapatkan peluang menambahkan amalan khusus pada lailatul qadar. 

Diriwayatkan daripada Jabir, satu peristiwa berlaku pada akhir Ramadan di mana langit, bumi dan malaikat bersedih dan menganggap satu ia satu musibah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Apabila ditanya, Baginda menjawab: “Musibah itu adalah berlalunya Ramadan yang penuh keberkatan padanya di mana doa diangkat dan pahala kebajikan dilipat gandakan.”

Pada saat yang mulia ini, jangan sekali-kali berputus asa terhadap rahmat dan keampunan dari Allah SWT kerana kita mendapat jaminan melalui firman-Nya yang bermaksud: 

“Katakanlah, wahai hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa terhadap rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Allah akan mengampunkan segala kesalahan dan Allah maha pengampun lagi penyayang.” (Surah Az-Zumar, ayat 53).

Kualiti ibadat puasa seseorang dapat dinilai dengan kesan ditinggalkan dalam jiwa masing-masing melalui sifat terpuji. Semoga dengan ibadat ini, kita tergolong di dalam kelompok manusia yang disebutkan oleh Allah SWT:

 “Wahai hambaku, tiada lagi ketakutan dan kesedihan bagimu pada hari itu. Mereka ialah yang beriman dan taat menunaikan perintah-Ku. Masuklah kamu ke dalam syurga bersama pasangan masing-masing.” (Surah Az-Zukhruf, 68-70) 

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...