بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, August 11, 2011

Takwa himpunan sifat luhur


Oleh Dr Abdullah Zain
Kawalan cegah tingkah laku daripada berbuat dosa 

BERADA pada Ramadan bererti kita berada di pusat latihan dan pendidikan kerohanian yang mampu mengeluarkan graduan berakhlak mulia serta berkeperibadian tinggi.

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Wahai orang beriman, telah difardukan puasa ke atas kamu sebagaimana difardukan ke atas umat sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu dengan perantaraan puasa itu memperoleh takwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Allah mengaitkan kefarduan puasa dengan faedah diperoleh daripadanya iaitu puasa boleh mewujudkan sifat takwa dalam diri seseorang yang menyuburkan keimanan dalam hati nurani manusia. 

Oleh itu, timbul dua persoalan yang harus diberi jawapan dan penjelasan iaitu apakah yang dimaksudkan sifat takwa itu dan apakah huraian serta penjelasan berhubung takwa itu?  Takwa ialah suatu kesan positif yang timbul dalam hati seseorang apabila ia menunaikan ibadah puasa dengan mengikut syarat, peraturan dan adab yang telah ditetapkan Islam.

Ibadat puasa mampu menggerakkan hati supaya bertakwa kepada Allah. Hati yang bertakwa adalah pangkalan bagi segala kebaikan dan boleh melahirkan sifat luhur seperti semangat jihad melawan hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan dan pelanggaran perintah Allah.Semangat jihad menentang bisikan jahat syaitan yang sentiasa mengajak kepada kejahatan dan kemungkaran, munculnya sifat sabar dengan pengertiannya luas iaitu sabar kerana taat menanggung kesusahan dan kesukaran semasa mengerjakan ibadat. 

Begitu juga sabar dengan tidak melakukan maksiat iaitu menahan diri daripada melayani kehendak hawa nafsu seterusnya sabar menanggung penderitaan yang menimpa diri, menghadapinya dengan tabah, tidak mengeluh dan tidak menyalahkan takdir. 

Lahir sifat amanah dengan pengertian, bertanggungjawab serta menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. Sentiasa muraqabah kepada Allah sama ada di tempat terbuka atau tertutup. Sifat ini adalah kesedaran dalaman yang tinggi iaitu sifat ihsan.  

Berpuasa boleh menguatkan iradah seseorang dalam menjayakan sesuatu pekerjaan yang baik, dapat mendidik diri sentiasa berdisiplin, selalu patuh kepada undang-undang dan peraturan. Ibadat puasa juga dapat melahirkan perasaan kasih sayang, ukhuwwah dan sifat ta’awun.  Oleh itu dapatlah ditegaskan bahawa sifat takwa adalah himpunan semua sifat luhur yang dilakukan individu Muslim sama ada sifat luaran ataupun dalaman. Sifat takwa juga berfungsi sebagai pengawal dan penjaga kepada gerak laku individu supaya tidak berlaku perlanggaran terhadap perintah Allah.  

Timbul pula persoalan, bagaimanakah mengamalkan puasa yang berfungsi melahirkan pembentukan akhlak dan peribadi terpuji? 

Cara Rasulullah SAW menyambut kedatangan Ramadan adalah jawapan terbaik.  Ibn Khuzaimah meriwayatkan daripada Salman katanya: “Rasulullah SAW pada hari terakhir dari bulan Syaaban telah berkhutbah kepada kami, maka Baginda bersabda antara lain: (Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah hampir dinaungi oleh bulan yang hebat lagi berkat iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu yang fardu dan mengerjakan ibadat di malam harinya suatu yang sunat).  

Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan (sunat) pada Ramadan, maka samalah pahalanya dengan orang yang menunaikan pekerjaan fardu di bulan lain. Sesiapa yang menunaikan fardu pada Ramadan, maka samalah pahalanya dengan orang yang mengerjakan tujuh 70 fardu pada lain.  Ramadan itu bulan sabar, manakala sabar itu pahalanya adalah syurga. 

Begitu juga Ramadan itu adalah bulan memberi pertolongan dan bulan yang Allah menambahkan rezeki kepada mukmin.  

Sesiapa yang memberi makan ketika berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia akan mendapat keampunan dosanya dan pelepasan dari api neraka. Orang yang memberi makanan berbuka puasa akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa tanpa sedikit pun berkurangan.  

Sahabat bertanya Rasulullah, tidaklah kami semua ada memiliki makanan berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, lalu Rasulullah bersabda: “Allah memberikan pahala kepada orang yang memberikan sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu.”  Perbanyakkan melakukan empat perkara dalam Ramadan iaitu dua perkara boleh menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara lagi yang kamu sangat perlu. 

Dua perkara yang boleh menyenangkan Tuhanmu ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan memohon keampunan daripadanya. Dua perkara lagi yang kamu sangat berhajat ialah memohon syurga dan berlindung dari neraka.  

Sewajarnyalah setiap Muslim mengambil suri teladan daripada apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Kita juga seharusnya mendapat kesedaran dari apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. supaya fadilat Ramadan akan ada tempiasnya kepada umat Islam.  

Alangkah baiknya jika sunnah ini dapat dihidupkan kembali dan kita jadikan budaya Ramadan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan sunnahku pada masa umatku telah rosak, maka dia akan mendapat pahala seratus syahid.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Berita Harian2011/08/11

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...