بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, August 14, 2011

Persoalan Agama: Suami sebagai pemimpin pikul tanggungjawab




Bersama Ustaz Zahazan
2011/08/07
USTAZ, saya ada baca al-Quran yang menyatakan kaum lelaki adalah pemimpin ke atas kaum perempuan. Persoalannya apakah ciri kepemimpinan suami? Jika seorang suami tidak mampu memenuhi keperluan keluarga, sedangkan isterinya bekerja dan mampu memenuhi keperluan keluarga, adakah kuasa kepemimpinan akan beralih kepada isteri.

Rahmah,
Kelantan. 

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. 

Ayat yang saudari maksudkan itu ialah surah an-Nisa’ ayat 34: 
“Kaum lelaki (suami) adalah qawwamun (pemimpin) atas kaum perempuan (isteri) kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka (suami) memberi nafkah dari harta mereka...”. 

Sebenarnya kalimah qawwamun yang biasa diterjemahkan sebagai pemimpin, terlebih dulu perlu ditegaskan bahawa suami diberi tugas sebagai pemimpin kerana keistimewaan dimiliki suami sebagai lelaki yang tidak dimiliki isteri sebagai perempuan.

Kedua, kewajipan suami memberi nafkah kepada keluarga. Dalam kitab Huquq al-Mar’ah fi al-Islam oleh Murtadha Muthahhari, beliau mengutip pandangan ramai pakar dan ahli psikologi Barat mengenai perbezaan sifat lelaki dan perempuan.

Satu perbezaan ditonjolkan adalah lelaki mudah untuk kelihatan dalam satu penampilan pada setiap masa sementara perempuan ingin kelihatan dalam bentuk manusia baru setiap hari. Ia menulis ‘wanita ingin bangun daripada tidurnya setiap hari dengan wajah baru.’

Selanjutnya beliau menulis lagi ‘mudah bagi wanita mengubah gelar dan namanya seperti gelaran suaminya bila dia berkahwin, begitu juga tidak sukar baginya mengubah agama dan kewarganegaraannya demi lelaki yang dicintainya.” 

Agaknya inilah sebabnya mood pakaian dan rambut wanita selalu berubah. Ini berbeza dengan lelaki. Memang ramai yang mengakui perempuan secara umum sangat mudah terasa dan sensitif, kalau enggan dikatakan emosional. Ini berbeza dengan lelaki.

Kita boleh bayangkan bagaimana jadinya hubungan kekeluargaan jika dipimpin orang yang memiliki sifat seperti itu. Bukankah kepemimpinan perlu konsisten, ketenangan dan tidak emosional? Mungkin ada yang mengatakan bahawa tidak semua perempuan bersikap demikian. Ada saja isteri lebih bijaksana, pandai dan kaya daripada suaminya.

Akan tetapi, ayat di atas berbicara mengenai keadaan yang bersifat umum. Dari sudut lain, kita harus menyedari bahawa kepemimpinan (qawwamah) selalu diperlukan dalam setiap unit. Nabi SAW berpesan: “Tidak dibenarkan bagi tiga orang, walaupun di padang pasir, kecuali mereka mengangkat salah seorang di antara mereka sebagai pemimpin.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abdullah bin ‘Amr.

Dengan demikian, kepemimpinan dalam rumah tangga sangatlah diperlukan melebihi kepemimpinan dalam satu perusahaan atau syarikat yang hanya bergelut dengan angka. Dalam rumah tangga, perasaan, cinta, kasih, pembinaan dan pendidikan adalah hal yang mutlak. Di sinilah pentingnya kepemimpinan.

Kepada siapa tanggungjawab ini dibebankan? Al-Quran memilih suami atau ayah kerana faktor terbabit dalam ayat di atas. Perlu juga disedari kepemimpinan perlu kepada musyawarah dengan pasangan.

Nabi juga bermusyawarah dan menerima pandangan isteri Baginda kerana al-Quran berpesan kepada suami isteri dalam surah Ali Imran ayat 159, bermaksud: “... Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu...” serta surah al-Baqarah ayat 187: “… Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagimu dan kamu (suami-suami) adalah pakaian bagi mereka...”

Dalam keluarga isteri juga diberi tanggungjawab memimpin urusan rumah, sekali gus memelihara harta suami dengan cara mengurus dan mengatur keseimbangan belanja dan pendapatan. Dengan demikian, kemampuan isteri dalam membiayai kehidupan rumah tangga tidaklah menjadikan atau mencabut hak kepemimpinan suami.

Dari sudut lain, jika seorang isteri yang tidak mampu dibiayai secara wajar kehidupan rumah tangganya oleh suami, dia diberi hak oleh agama untuk meminta diceraikan. Namun perlu diingat bukan hanya faktor material yang dipertimbangkan dalam pemberian hak kepemimpinan, tapi lebih penting adalah jaminan kelangsungan hidup keluarga. Demikianlah, wallahualam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...