Oleh Ashraf Muslim
Umat Islam diseru tingkat amalan sepanjang bulan mulia
RAMADAN datang lagi dan hari ini umat Islam di seluruh dunia sudah mula berpuasa. Pastinya kita yang sentiasa merindui bulan mulia ini bersyukur kepada Allah kerana diberi kesempatan menunaikan ibadat puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam serta meraih ganjaran dijanjikan sepanjang bulan mulia ini.
Kedatangan Ramadan juga memberi peluang kita bermuhasabah diri dengan lebih mudah kerana setiap perlakuan atau tindakan kita ketika berpuasa adalah bukti tahap keimanan kepada Allah yang begitu pemurah terhadap hamba-Nya yang bersedia berkorban untuk mencari keredaan-Nya.
Maklumlah, selain berlapar dan menahan dahaga banyak kebajikan digalakkan kita lakukan dengan ganjaran pahala berganda, mahu atau tidak, kita juga yang menetapkannya. Pada bulan ini kita disarankan memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, menunaikan solat sunat dan bersedekah.
Bukanlah bulan lain amalan baik itu tidak dianjurkan, tetapi keistimewaan Ramadan semua orang tahu dan sentiasa ingin mengambil peluang untuk memanfaatkannya kerana seperti yang selalu kita dengar orang berkata, tidak pasti apakah kita masih diberi peluang bertemu Ramadan akan datang.
Pengalaman menunaikan ibadat puasa pada minggu terakhir Ramadan di Makkah pada 2009 sentiasa subur dalam jiwa dan memang menjadi harapan saya mengulangi saat indah berada di Tanah Haram bersama umat Islam lain berjihad meningkatkan iman mencari rahmat, keampunan serta pembebasan daripada api neraka. Inilah istimewanya Ramadan khususnya kepada mereka yang berpeluang berpuasa di kota suci Makkah.
Sebagai makluman kepada semua, Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 3 petang sepanjang Ramadan ini. Seperti umat Islam lain, kami tidak mahu ketinggalan merebut kelebihan bulan mulia ini. Bagi saya sendiri, menunaikan solat tarawih adalah saat ditunggu-tunggu. Maklumlah, solat sunat tarawih adalah pengiring setia Ramadan.
Besar harapan saya, mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan akan maklum dengan waktu operasi pusat rawatan kami ini dan memberi kerjasama supaya kakitangan Al-Hidayah juga dapat berkhidmat kepada masyarakat dan pada masa sama, memastikan tanggungjawab hakiki dapat dilaksanakan sebaiknya.
Kepada yang sentiasa mengamalkan bacaan surah dalam usaha mengubati penyakit, selain mengharapkan doa untuk sembuh dimakbulkan Allah, amalan membaca al-Quran setiap hari itu sudah menyediakan ganjaran berlipat kali ganda untuk mereka. Apa yang diharapkan selain surah diberi, mereka akan memanjangkan masa meneroka wahyu Allah dengan membaca al-Quran hingga dapat khatam pada penghujung Ramadan nanti. Insya-Allah.
Apabila datang Ramadan, saya seronok dan tidak sabar untuk berjemaah di Masjid Universiti Islam Antarabangsa di Gombak kerana suasana di sana terasa seperti kita bersolat di Masjidil Haram di Makkah. Imam akan membaca ayat al-Quran satu juzuk setiap malam. Betapa indahnya kerana jemaah berpeluang untuk turut membaca ayat al-Quran serta menghabiskan satu juzuk dalam satu malam.
Lagi satu amalan yang saya ingin ajak pembaca laksanakan ialah memanjatkan doa kepada Allah sebelum berbuka puasa. Ketika itulah masa sebaiknya untuk memohon kepada Allah supaya dilimpahkan segala kebaikan, diberi kesihatan supaya dapat menunaikan ibadah dengan sempurna serta diberi kekuatan bagi melawan segala godaan yang mungkin akan mencacatkan amalan kita.
Perkara ini sering terlepas daripada ingatan serta jarang dijadikan amalan. Mungkin rasa lapar dan makanan yang sudah terhidang di depan mata menyebabkan kita terlupa untuk memohon hajat kepada Yang Esa sedangkan ia mudah dilakukan. Sementara menanti azan, mohon dengan bersungguh-sungguh kepada Allah apa saja yang kita hajatkan. Apa pun, setiap dilakukan mesti dimulakan dengan niat ikhlas kerana Allah.
Hakikatnya, terlalu banyak kegembiraan terdampar di depan kita kerana janji Allah adalah jelas untuk mereka yang sedia berkorban. Selepas penat dengan kerja dan aktiviti pada siang hari, tambahan pula berpuasa, agak mencabar juga untuk berjaga malam menunaikan solat sunat. Tetapi itulah syaratnya kerana bukan mudah untuk mendapatkan kekayaan terutama kekayaan yang tidak nampak depan mata, hanya akan diperlihatkan di akhirat nanti.
Justeru, mari kita memasangkan niat dan menguatkan azam supaya kita bersama mereka yang berjuang habis-habisan memastikan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka menjadi milik kita semua. Semoga Ramadan kali ini memberi kejayaan kepada kita kerana pastinya kita tidak mahu termasuk dalam golongan mereka yang rugi.
Berita Harian2011/08/01
No comments:
Post a Comment