Umat islam dianjurkan membanyakkan sedekah dalam bulan Ramadan walaupun hanya sebiji kurma. - Gambar hiasan |
NABI Muhammad SAW orang yang sangat pemurah. Sifat pemurah baginda menyerlah ketika datangnya Ramadan. Seorang sahabat, Abdullah bin Abbas menceritakan perihal Nabi Muhammad ketika berada di dalam bulan Ramadan.
Katanya: "Nabi Muhammad adalah manusia yang paling pemurah dalam kebaikan. Beliau juga adalah manusia yang paling pemurah pada bulan Ramadan lebih-lebih lagi ketika bertemu malaikat Jibril. Malaikat Jibril mengunjungi Nabi Muhammad pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan. Mereka berdua bertadarus al-Quran bersama-sama. Sifat pemurah Nabi Muhammad ketika bertemu Jibril laksana angin yang berhembus (riwayat Bukhari & Muslim)."
Sikap pemurah baginda menjadi teladan kepada para sahabat. Sejarah mencatatkan perjalanan awal dakwah Islam melalui penajaan harta isteri baginda Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan banyak sahabat lain.
Abdurrahman Samurah menceritakan satu peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan. Ketika itu umat Islam sedang bersiap-siap untuk Perang Tabuk.
Uthman Affan datang membawa 1,000 dinar untuk persiapan Perang Tabuk yang juga dikenali sebagai Jaisyu 'Usrah.
Nilai 1000 dinar pada ketika ini adalah lebih setengah juta ringgit. Uthman kemudiannya meletakkan semua wang itu di pangkuan Nabi.
Kemudian Nabi berkata: "Tidak ada apa-apa yang akan membahayakan Uthman walau apa pun yang dilakukannya selepas hari ini (riwayat Tirmidzi & al-Hakim)."
Kisah sifat dermawan Uthman itu memang diketahui umum dan dihargai oleh para sahabat yang lain. Seorang tabi'in, Muhammad bin Hathib pernah bertanya kepada Ali bin Abi Talib tentang Uthman.
Kata Ali: "Beliau termasuk orang yang beriman kemudian bertakwa kemudian beriman kemudian bertakwa (Fadailus Sahabat, Imam Ahmad)."
Tidak pernah mengatakan 'tidak'
Apabila orang datang meminta, Nabi tidak pernah berkata tidak jelas sahabat muda yang sering mendampingi Nabi iaitu Jabir bin Abdullah (riwayat Muslim).
Dalam satu peristiwa, selepas memenangi Perang Hunain, baginda memberi hadiah 100 ekor kambing kepada seorang lelaki bernama Safwan bin Umayyah.
Ketika itu Safwan belum memeluk Islam. Kemudian Nabi menambah 100 ekor lagi dan 100 ekor kambing lagi. Tindakan Nabi itu berjaya menambat hati Safwan untuk memeluk Islam.
Seperti mana yang disebutkan oleh seorang tabi'in bernama Said bin Musayyab" "Sofwan membuat pengakuan demi Allah, Nabi telah memberi aku dengan banyak sekali. Dahulu beliau adalah orang yang paling aku benci, namun beliau selalu memberi kepadaku sehingga sekarang beliau adalah orang yang paling aku sayangi (riwayat Muslim)."
No comments:
Post a Comment