Susunan SITI AINIZA KAMSARI
TANPA memerlukan kekuatan dan bantuan peralatan muzik, cukup hanya dengan kekuatan suara, gemersik lagu-lagu dalam album nasyid yang bertajuk Patience (2008) dan The Journey (2010) mendapat sambutan di seluruh dunia.
Ia juga membuatkan penyanyinya diundang untuk mengadakan persembahan ke serata dunia terutama di Eropah, Kanada, Afrika Selatan, Kuwait, Qatar dan India.
Individu yang dimaksudkan ialah Bilder Von Abdullah Rolle atau lebih dikenali sebagai Rolle. Pada asalnya beliau adalah penyanyi kulit hitam terkenal di Britain dan mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam industri muzik.
Lewat 1980-an dan 1990-an menyaksikan Rolle kerap ke London, New York, Los Angeles dan Toronto kerana bertugas untuk pelbagai syarikat rakaman ternama.
Sehinggalah pada 2002, dia membuka syarikatnya sendiri di London dan pada 2004, Rolle mengejutkan ramai pihak apabila mengisytiharkan dirinya memeluk Islam.
Antara lagunya yang sangat meninggalkan kesan di hati peminat ialah Is It True - sebuah lagu yang digubah khas daripada sajak yang ditulis oleh seorang tahanan Teluk Guantanamo bernombor 651, Osama Abu Kadir.
Namun apakah yang membuatkan Rolle sendiri memeluk Islam? Sedangkan sebelum ini beliau mengakui tidak pernah tertarik dengan agama walaupun percaya tuhan adalah pencipta alam ini.
Tetapi beliau tidak pernah tahu mengenai Jesus (Nabi Isa), apatah lagi pernah mendengar mengenai Nabi Muhammad.
"Saya bukan orangnya yang tertarik mengenai persoalan agama ketika itu. Walaupun saya pernah berborak dengan seorang Muslim mengenai keesaan Allah tetapi saya tidak pernah berfikir untuk pergi lebih jauh mengenai Islam. Apatah lagi untuk memeluk agama tersebut.
"Saya juga jarang sekali berada dekat dengan mana-mana tokoh agama kerana yang selalu rapat dengan saya hanyalah mereka yang terlibat dalam industri muzik.
"Jadi pada saat itu, saya sama sekali tidak tertarik kepada Islam kerana bagi saya tidak ada apa yang menarik mengenai agama itu," ujar Rolle.
Sehinggalah Rolle berpindah ke Timur London yang mana beliau sering ke sebuah kedai buku, Darus Salam yang terletak di West End.
"Saya gemar membaca buku mengenai isu-isu pergolakan dunia dan konspirasi-konspirasi politik dan agama dalam isu-isu semasa.
"Walaupun daripada apa yang saya baca itu ada yang benar dan sebahagian lagi tidak. Tetapi semua itu tentu sahaja tidak membawa saya dekat kepada Maha Pencipta.
"Walaupun jiwa saya selalu mencari (kebenaran) namun saya tidak pernah sedar mengenainya," katanya.
Namun peristiwa Iraq diceroboh Amerika Syarikat pada 2003 membuatkan beliau bersimpati terhadap umat Islam.
"Saya bertanya pada diri sendiri mengapa dunia selalu menuduh, menyalahkan dan akhirnya menyerang Islam dan para penganutnya.
"Namun akhirnya saya sedari semua ini akibat media menggambarkan bahawa Islam itu sebagai agama keganasan. Mereka tidak menyiarkan fakta yang tepat dan lengkap mengenai Islam," katanya.
Bermula saat itu, timbul keinginan Rolle untuk menggali maklumat lebih mendalam mengenai Islam.
Pada suatu hari dia menonton sebuah cakera padat digital (DVD) bertajuk What is The Purpose Of Life oleh Khalid Yaseen.
"Tayangan DVD itu sangat memberikan saya inspirasi mengenai Islam. Seolah-olah saya sudah lama mengenali Islam kerana saya tahu agama itu penuh dengan kebenaran tanpa ada sebarang kesamaran, jauh sekali kepalsuan," katanya.
Rolle mula mengetahui bahawa Muslim mendirikan solat fardu lima kali dalam sehari. Namun dia sempat memikirkan kemungkinan kesukaran yang bakal dihadapinya ekoran terlibat dalam dunia muzik.
Sedangkan menunaikan solat-solat fardu itu adalah wajib. Seorang Islam tidak boleh meninggalkan solat sekalipun dalam keadaan sakit.
Namun pergaulannya dengan masyarakat Islam di sekitar tempat tinggalnya membantu beliau memahami dan mengenali Islam dengan lebih mendalam.
"Sebenarnya saya sangat kagum kerana umat Islam terdiri daripada Muslim dan Muslimat yang sangat sopan, dermawan dan baik hati.
"Walaupun mereka memiliki masalah yang berkaitan dengan pelbagai isu ummah di peringkat dunia, namun secara individu mereka selalu baik terhadap saya.
"Mereka membuatkan saya terdorong untuk menjadi soleh dan saya selalu mencuba untuk menjadi seperti mereka," katanya.
Kini, Rolle semakin meyakini Islam walaupun hanya mempunyai pengetahuan yang asas mengenai Islam.
No comments:
Post a Comment