بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, August 6, 2011

Menuju Puncak Ibadah Puasa


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Bulan Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan di antara sebab disebut demikian adalah kerana bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang di dalamnya diwajibkan puasa, sementara bulan-bulan lain tidak seperti itu.

Bagi kaum muslimin yang diberi kesempatan hidup pada bulan ini, maka wajib atas mereka menjalankan ibadah puasa kecuali bagi yang memiliki uzur syar’ie, seperti sakit atau sedang dalam musafir. Ini sebagaimana firman Allah swt :

“Barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain.” (QS Al-Baqarah : 185) 
Secara umumnya, umat manusia sentiasa memerlukan adanya tuntunan untuk peningkatan jati diri menuju:

a.       Kebaikan.

b.      Keindahan.

c.       Kesempurnaan.

Semua ini memerlukan latihan dan pembinaan pada perkara-perkara berikut:

1.      Kekuatan dan kehendak.

2.      Kesabaran.

3.      Keteguhan dalam memikul bebanan.

4.      Terhindar dari hawa nafsu serta kejahatan yang merosakkan hubungan antara manusia dengan Alah dan antara manusia dengan yang lainnya.

5.      Terhindar dari sikap menghancurkan keindahan dan kebersihan dunia yang fana ini.

Adapun yang dimaksudkan dengan keperluan tersebut adalah Puasa, iaitu ibadah yang merupakan pusat pembinaan umat yang ingin tegak berjalan dan bergerak di atas manhaj Allah dan syariatNya.

Puasa juga merupakan keistimewaan dan kemuliaan bagi orang-orang beriman di sepanjang sejarahnya sehingga dengan keutamaan puasa tersebut diharapkan umat Islam menjadi lebih :

a.       Teguh dan lebih kuat dalam memikul bebanan dakwah yang berat.

b.      Bersabar dalam menjadi pemimpin serta menjadi tauladan kepada umat lain.

c.       Jauh dari kegelinciran hawa nafsu.

Puasa merupakan keperluan tubuh dan jiwa sehingga memiliki kekuatan dan keteguhan serta perasaan sensitif terhadap orang-orang miskin.

Ia juga sebagai pusat pembelajaran bagi seorang mukmin bagaimana caranya menyingsingkan lengannya untuk membantu :

1.      Orang-orang yang menderita kelaparan.

2.      Orang-orang yang miskin dan ditimpa musibah.

Caranya ialah dengan berlapar pada siang harinya dan makan pada malam harinya, walaupun sebahagian dari orang-orang yang miskin tersebut, ada yang berlapar pada malam dan siang hari atau bahkan berhari-hari dan berbulan-bulan.

Begitu pula puasa merupakan pusat pembinaan yang di dalamnya seorang mukmin belajar:

1.      Untuk memiliki kekuatan kehendak dan tujuan yang mulia.

2.      Untuk membina kemampuan dalam:

a.      Memikul bebanan yang berat.

b.      Bersabar.

c.      Membangun sifat kebersamaan.

d.      Membangun jiwa yang bersih.

e.      Membangun masyarakat yang bersih.

Semua perkara-perkara di atas akan dapat diwujudkan ketika kita mampu menunaikan puasa secara maksimum sebagaimana yang disampaikan oleh Aisyah ra:

“Jika seseorang selamat dalam ibadah Ramadhan maka akan selamatlah satu tahun penuh selepasnya”.  

Sementara itu, orang-orang yang beriman sepanjang masa dan tempat merupakan para pelaku kebaikan dan pembawa bendera kebaikan kepada seluruh umat manusia.

Oleh kerana itulah Allah mewajibkan mereka berpuasa sebagai penghormatan kepada mereka akan peranannya sebagai pembawa kebaikan di dunia ini dan untuk menempatkan mereka pada kenikmatan abadi di akhirat kelak.

Pengajaran Rabbani tentang puasa merupakan kelembutan, kerinduan sekaligus tanggungjawab, hiburan dan arahan terhadap suatu pandangan dan misi yang agung.

Allah swt berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, agar kamu menjadi orang yang bertaqwa”. (QS Al-Baqarah:183)  
Allah swt memanggil kita semua dengan :

a.       Penuh kelembutan dan penghormatan serta kemuliaan.

b.      Panggilan yang paling mulia dari panggilan-panggilan lainnya.

c.       Sifat yang paling indah dari sifat-sifat yang lainnya.

Allah swt menyeru kita dengan untaian kata:

“Wahai orang-orang yang beriman”

Ini adalah sebagai seruan terhadap jiwa yang memiliki persiapan untuk menerima syariat yang akan ditentukan selepasnya;

1.      Baik perintah ataupun larangan.

2.      Untuk mengambil yang halal atau menjauhi yang haram.

3.      Untuk mencapai keridhaan Allah atau menghindarkan diri dari kemurkaanNya.

4.      Untuk mengajak kepada yang hak atau mencela kepada yang bathil.

5.      Untuk mengarahkan umat kepada yang ma’ruf atau mencegah yang mungkar.

Melalui seruan ini, Allah menyeru kepada orang-orang yang beriman terhadap ‘taklif’ yang memberikan:

a.       Kebaikan.

b.      Kemaslahatan.

c.       Keihsanan.

‘Taklif’ itu ialah “Diwajibkan ke atas kamu berpuasa” dengan menahan hawa nafsu dari makan, minum dan hubungan kelamin serta perbuatan yang melanggar peraturan Allah.

Allah menyediakan perintah dalam satu bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadhan untuk memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda, kebaikan yang banyak dan kemaslahatan yang melimpah serta ganjaran yang berlipat kali ganda.

Sehingga ‘taklif’ yang secara mata kasarmya berat ini terasa ringan dan menyenangkan bahkan dirindukan, sebagaimana yang sentiasa dirindukan oleh para salafusshalih sebelum kita, dan bahkan jauh sebelum Nabi Muhammad dibangkitkan, seperti firman Allah swt,“sebagaimana yang telah diwajibkan sebelum kamu” iaitu umat-umat sebelum Nabi Muhammad saw diutus seperti Nabi Nuh, Nabi Ibrahim,  Nabi Musa dan Nabi Isa yang juga diperintahkan untuk berpuasa.

Jadi puasa kita di bulan Ramadhan ini tidak berjalan sendirian namun merupakan salinan dari umat sebelumnya yang mana ada banyak umat yang melakukan perintah tersebut; iaitu mereka-mereka yang telah mendapatkan hidayah dari Allah dan berjalan di atas jalan yang lurus.

Begitu juga ungkapan “sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu” juga merupakan hiburan dan motivasi sehingga bagi seorang mukmin, ia tidak merasakan adanya bebanan dalam puasa, kerana ia merupakan kewajiban yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kita semua.

Kemudian dari setiap perintah dan kewajiban pasti ada misi dan tujuan.

Tujuan tersebut tidak lain kecuali darjat yang paling mulia dan tidak ada kemuliaan setelah kemuliaan ini; iaitu ‘Taqwa’.  

Allah swt berfirman:

”La 'allakum tattaqun” (agar kamu bertaqwa).

Taqwa yang membawa maksud :

1.      Melaksanakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

2.      Perasaan bahwa Allah melihat segala tindak tanduk dan perilaku kita; bila dan di mana sahaja kita berada; dalam sembunyi atau terang-terangan, ketika ramai atau sendirian.

Taqwa juga merupakan wasiat Allah yang paling utama terhadap hamba-hambaNya; samada ahlul kitab atau yang lain-lainnya :
“Dan sungguh Kami telah mewasiatkan (memerintahkan) kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan (juga) kepada kamu; bertaqwalah kepada Allah”. (QS An-Nisaa’ :131)  
Selain dari puncak ibadah puasa pada bulan Ramadhan iaitu ‘Taqwa’ ; Allah juga memberikan ganjaran lain yang berlimpah ruah; iaitu kecintaan Allah terhadap orang yang berpuasa sangatlah besar sehingga bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi disisi Allah dari minyak kasturi sekalipun.

Ganjaran orang yang berpuasa itu berbeza dengan ganjaran yang diberikan kepada setiap hamba yang melakukan ibadah lainnya, kerana puasa bagi Allah adalah milikNya dan DiriNya sendiri yang berhak memberikan ganjaran.

Ini adalah kerana puasa merupakan simbol dari kerja keras dalam melakukan ketaatan kepada Allah sehingga ganjarannya akan diberikan langsung oleh Allah kepada si pelakunya, yang tidak di ketahui oleh sesiapapun kecuali Allah, dan sekiranya Allah memberikan seisi dunia ini emas maka tidak akan sebanding dengan ganjaran yang akan diterima oleh orang yang berpuasa.

Ya Allah, jadikanlah Ramadhan kami pada tahun ini sebagai bulan untuk kami memperbaiki kelemahan-kelemahan kami di Ramadhan yang lepas dan mantapkanlah kefahaman kami terhadap Ramadhan dalam hati kami sehingga kami benar-benar merasakan kebesaran dan kemanfaatan Ramadhan untuk diri kami di samping ganjaran yang melimpah ruah yang menanti kami di akhirat nanti.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

“UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN”
“IKRAM WADAH PERJUANGAN”

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...