Oleh SYED NAZMI TAUFEK
SETIAP orang yang berpuasa perlu mematuhi peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting ialah menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya.
Mata dan telinga pula perlu dipelihara daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syarak dan yang sia-sia.
Mengawal perutnya daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur subahat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam ada berpesan: "Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbuka dan di manakah kamu akan berbuka?"
Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.
Sepanjang menjalankan ibadat puasa semua pancaindera dan anggota tubuh badan perlu dijada daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara sia-sia.
Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna.
Ramai yang hanya mendapat penat, lapar dan dahaga kerana membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda. Puasa mereka menjadi rosak binasa dan keletihan yang ditanggung tidak berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah "Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga (riwayat an-Nasaei)."
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada setiap orang Islam. Apatah lagi bagi yang berpuasa ia sangat dituntut dan diwajibkan.
Sabda Rasulullah: "Puasa itu adalah 'perisai', sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: Saya sedang berpuasa (riwayat al-Bukhari dan Muslim)."
Sebab itu sepanjang bulan Ramadan kita tidak digalakkan banyak tidur pada siang hari dan makan berlebihan pada sebelah malamnya.
Kita perlu bersederhana dalam kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga.
Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsu kurang dan hati ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapa.
Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat.
Tidak perlu ada perbezaan daripada segi hidangan pada bulan puasa dengan bulan-bulan yang lain.
Diri perlu digembleng supaya dapat mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan yang mana ia akan memberi kesan positif terhadap kecerahan hati yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang menjadikan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka hingga menyalahi kebiasaan sebenarnya terpedaya dengan pujukan dan rajuan Iblis yang bertujuan menghilangkan berkat ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan dari Allah. kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanan sehingga terserlah kesan puasa itu. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah.
Sabda Nabi: "Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya (riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)."
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: "Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang."
Para ulama yang terdahulu selalunya akan mengurangkan perkara yang bisa dilakukan sebaliknya memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadan. Bahkanmereka tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan. Sebaliknya kesempatan yang ada digunakan untuk beribadat dan mengingati Allah sebaik mungkin. Justeru, mereka tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan harian atau yang menjadi tanggungjawab di bawah tanggungannya.
Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.
Amalkan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya. Berbuka dengan buah dan jika tiada memadailah dengan segelas air selain melambatkan makan sahur.
Amalan Nabi ialah baginda berbuka dahulu sebelum baginda mengerjakan solat Maghrib.
Sabda baginda: Ummatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur.
Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air juga amat digalakkan.
Sabda Nabi: "Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa) (riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)."
Malam sepanjang bulan Ramadan pula perlu dipenuhi dengan amalan sunat seperti solat Terawih, witir dan sebagainya.
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Terawihnya seperti mana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat itu kerana meninggalkan perbuatan wajib ketika solat seperti tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya.
Amalan Terawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain. Sempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula, disyorkan supaya sentiasa bersama imam dalam mengerjakan solat Terawih sehingga selesai sama ada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat.
Sabda Rasulullah: "Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman (riwayat an-Nasaei)."
No comments:
Post a Comment