بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, August 12, 2011

Jangan Kejar Khatam Sahaja


Soalan:
BUDAYA tadarus al-Quran memang menjadi amalan masyarakat Islam. Sayangnya, ramai yang bertadarus semata-mata hendak khatam, tanpa berusaha memahami makna-maknanya.
Lebih malang lagi ada yang berlumba-lumba untuk khatam tanpa ada usaha penghayatan terhadap isi kandungannya. Apa nasihat ustaz?

Jawapan:
Nampaknya budaya ini sudah menjadi suatu kebiasaan sejak kebelakangan ini, iaitu kejar mengejar untuk khatam tanpa ada usaha memahami ayat-ayat Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: 

Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW). (al-Maidah: 83)

Lihatlah sifat dan ciri para sahabat apabila turun al-Quran kepada mereka, ada yang menangis, ada yang gementar, sungguh hebat cinta mereka terhadap al-Quran.

Apa yang dimaksudkan dengan tadabbur? Maksud tadabbur adalah: Adalah renungan yang cermat, dan percermatan ayat-ayat al-Quran untuk dapat memahami makna, hikmah, ataupun maksudnya.

Asma' binti Abu Bakar memberitahu kita bagaimana orang dahulu terhadap bacaan al-Quran yang bermaksud: Dahulu para sahabat apabila dibacakan kepada mereka al-Quran, maka air mata mereka meleleh dan kulit mereka bergetar, sebagaimana Allah telah menjelaskan sifat mereka. (Tafsir Al Qurthubi).

Daripada ayat-ayat di atas dapat disimpulkan tanda tadabbur al-Quran:

  Menyatunya hati dan fikiran ketika membaca al-Quran, dibuktikan dengan berhenti kerana takjub dan mengagumi makna yang terkandung.
  Menangis kerana takut kepada Allah.
  Bertambahnya kekhusyukan.
  Bertambahnya iman, di antaranya diketahui dengan pengulangan ayat secara spontan.
  Merasa bahagia dan gembira.
  Gementar kerana rasa takut yang kemudian diikuti oleh rasa harap dan ketenangan.

Baginda Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Barang siapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, (maka) kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada Hari Pengadilan yang sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini". (riwayat Abu Daud & Ahmad).

Daripada Umar r.a, dia berkata: Nabi kalian telah berkata: Sesungguhnya dengan al-Quran ini Allah mengangkat suatu kaum dan merendah yang lainnya. (riwayat Muslim)

Di antara adab yang perlu dipelihara oleh setiap orang yang membaca al-Quran adalah:

1- Ikhlas kerana Allah SWT. Ini kerana amalan membaca al-Quran adalah ibadat, maka setiap ibadat yang dilakukan kerana Allah mesti dilakukan dengan hati yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar. (al-Bayyinah: 5)

Baginda bersabda yang bermaksud: "Bacalah al-Quran dan berharaplah kamu akan keredaan Allah azza wa jalla…". (riwayat Ahmad dengan sanad yang baik)

2- Membaca dengan hati yang hadir sambil memerhatikan ayat-ayat Allah SWT, serta memahami tuntutan-tuntutan Allah. Dengan demikian akan takutlah hati-hati yang hidup itu. Lantas setiap kali membaca ayat Allah dia merasakan bahawa ayat itu benar-benar ditujukan kepadanya.

Ini ternyata dalam ungkapan Imam al-Qurtubiy yang bermaksud: "Sesiapa yang sampai kepadanya al-Quran seolah-olah Allah SWT telah berbicara dengannya".

Berkata al-Hasan bin Ali yang bermaksud: "Generasi sebelum kamu melihat al-Quran sebagai surat-surat rasmi dari Allah SWT, lalu mereka bertadabbur pada malam hari dan mencarinya di siang hari". (Imam al-Nawawi, al-Tibyan)

3- Membaca al-Quran dalam keadaan suci daripada kekotoran, sama ada kekotoran hukmiy mahupun kekotoran maknawi.Tuntutan ini semata-mata bagi mengagungkan kalam Allah SWT.  

4- Hendaklah membaca al-Quran di tempat-tempat yang bersih, bukan ditempat yang tercemar kebersihannya.

5- Hendaklah memulakan bacaan dengan membaca Istia'azah ('Auzubillah). Ini berdasarkan saranan al-Quran di dalam surah al-Nahl, ayat 98 yang bermaksud: 

Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam. Mudah-mudahan dengan demikian dapat menjauhkan gangguan syaitan ketika seseorang membaca al-Quran.

6- Di antara tuntutan yang lain ketika membaca al-Quran adalah memperelokkan alunan bacaan dengan, kalau boleh dengan bertarannum. Galakkan ini dapat dilihat melalui sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang yang dibenarkan Allah kepada Nabi-Nya (Rasulullah SAW) bertarannum dengan al-Quran serta meninggikan suara dalam bacaan al-Quran. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat yang lain Jubair bin Muta'am r.a berkata yang bermaksud: Aku telah mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Thur dalam solat maghrib, Aku sama sekali tidak pernah mendengar bacaan yang seindah itu dari sesiapa pun sebelum ini. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun demikian kita dilarang mengganggu orang solat atau orang tidur dengan bacaan yang kuat.

7- Hendaklah membaca al-Quran dengan tartil, menurut saranan al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: …dan bacalah Al-Quran dengan tartil. (al-Muzammil: 4)

Membaca dengan penuh ketenangan tanpa tergopoh-gapah. Kadang-kadang ada di antara kita yang hendak mengejar khatam sampai lupa untuk menjaga hukum tajwid dan fasahah.

Apabila seseorang itu membaca al-Quran dengan terkejar-kejar pasti akan melakukan banyak kesalahan. Lebih rugi lagi apabila membaca al-Quran tidak sempat memahami maksud ayat-ayat Allah SWT.

Kebanyakan orang yang bertadarus kadang-kadang tidak begitu serius dalam membetulkan bacaan apa yang menjadi matlamat mereka adalah khatam al-Quran.

Apa ertinya saban tahun kita mengkhatam al-Quran tapi tidak ada yang berusaha memahaminya. Tidak faham bahasa al-Quran bukanlah alasan yang munasabah untuk tidak menghayati al-Quran.

Janganlah sampai kita dilaknat al-Quran gara-gara membaca tanpa ada usaha ke arah memahaminya. Soalan yang paling mudah untuk kita faham bersama, berapa lama kita sudah membaca surah Yasin?

Mungkin ada di antara kita yang membaca surah Yasin untuk 10 tahun atau lebih dari itu, dan mungkin juga kurang dari itu, tapi soalan ini saya tujukan kepada yang sudah lebih 10 tahun membaca Yasin.

Adakah mereka faham apa yang dibaca, dek kerana dah lama membaca Yasin dah ada yang menghafalnya pun, sayangnya dia hanya membaca dan menghafal tetapi tidak memahaminya.

Kita juga tidak mahu mendapat kerugian melalui al-Quran, kelak al-Quran akan berhujah ke atas orang yang membaca sahaja al-Quran tapi tidak beramal dengannya.

Apa yang kita harap, biar al-Quran yang berhujah mempertahankan kita di hadapan Allah SWT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...