بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, August 14, 2011

Mari Ambil Iktibar Infak Saidina Uthman bin 'Affan RA


 


Khalifah Uthman merupakan khalifah Islam yang ketiga selepas Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dilantik menjadi khalifah melalui persetujuan orang ramai (syura).

Nama sebenarnya ialah Uthman b. ‘Affan b. Abul-As yang mana beliau dilahirkan ketika baginda Nabi Muhammad SAW berumur 5 tahun. Uthman merupakan seorang bangsawan dari golongan Quraisy dari Bani Umayyah.

Beliau terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, pemurah dan baik hati dan merupakan salah seorang  saudagar yang terkaya di Tanah Arab, sehingga beliau diberi gelaran “al-Ghani“. Selepas memeluk Islam beliau banyak mendermakan hartanya ke arah kepentingan agama Islam. Contohnya dalam peperangan Tabuk, beliau telah mendermakan sebanyak 950 ekor unta, 50 ekor kuda dan 1,000 dinar. Ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam menghadapi masalah untuk mendapatkan air minuman; Saidina Uthman telah membeli telaga Ruma daripada seorang Yahudi dengan harga 20,000 dirham untuk digunakan oleh umat Islam dengan percuma.

Suatu ketika Madinah mengalami masa kesusahan  yang sangat parah akibat  kemarau yang berpanjangan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan banyak yang mati. Ramai penduduk Madinah  mengalami kelaparan. Pada masa kesukaran itu, datang rombongan kafilah dari negeri Syam membawa barang dagangan yang sebahagian besar berupa makanan. Rupa-rupanya barang dagangan itu kepunyaan Ustman bin Affan. Para peniaga Madinah berebut-rebut ingin membelinya dengan maksud dijual kembali kepada masyarakat yang memang sangat memerlukankan dengan harga yang berlipat ganda . Mereka menawar barang dagangan itu dengan harga tiga kali ganda daripada harga pembeliannya.

Tetapi tawaran yang sangat menguntungkan itu ditolak oleh Ustman bin Affan, “Maafkan saya, barang dagangan ini telah terjual dengan harga yang lebih besar dari itu!” 

Tentu saja para peniaga itu menjadi hairan , siapa orang yang berani membeli dengan harga tinggi itu. 

Mereka pun bertanya , “Wahai sahabat, siapakah orangnya yang telah membeli barang daganganmu dengan harga sangat tinggi itu?”

Usman pun menjawab singkat; “Allah!”.

Dengan kehairanan mereka bertanya lagi; “Bagaimana caranya Allah memberikan keuntungan itu kepadamu?

Jawab Uthman, “Allah menjanjikan kepadaku keuntungan tidak kurang dari 700 kali ganda, tidakkah kalian ingat janji Allah itu dalam Al-Quran?” Lalu Uthman membacakan firman Allah SWT  maksudnya : 

“Perumpamaan  (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Al-Baqarah 2:261)

Para peniaga itu bertanya lagi; “ Apakah engkau akan sedekahkan seluruh dagangan yang sangat banyak ini?” 

Uthman pun menjawab , “Benar. Seluruhnya aku sedekahkan kepada masyarakat yang menderita kerana kesusahan yang parah ini!”

Kisah ini memberikan gambaran orang-orang yang memiliki kepercayaan penuh pada janji Tuhannya. Tidak ada sedikitpun ragu-ragu diatas janji-janji Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang sanggup menginfakkan hartanya dijalan Allah SWT. 

Saidina Uthman yakin sungguh-sungguh bahawa Zat Yang Maha Suci, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tidaklah mungkin akan ingkar janji-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : 

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (Al-Baqarah 2:245)

Firman Allah SWT maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar. (As-Saff 61:10-12)

Oleh kerana manfaat memberi sedekah sama ada sedekah wajib ataupun sedekah sunat adalah cukup besar maka janganlah kita abaikan sedekah yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Latihlah diri kita untuk mengeluarkan zakat dan juga bersedekah. Jangan tangguh-tangguh untuk bersedekah, mulakanlah dengan sedikit setakat kemampuan kita. Jangan fikir kita akan rugi kerana rezeki yang datang daripada Allah SWT itu kita tidak tahu dari mana puncanya. Dia akan beri rezeki dari jalan yang tidak di sangka-sangka apabila kita sahut seruan Allah SWT untuk sedekah dan infaq di jalan-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : 

.. dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaaq 65:2-3) 

Pelbagai Sumber 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...