2011/08/19
HARI berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini kita sudah berada pada hari ke-19 Ramadan. Maka 10 terakhir Ramadan ini adalah masa berharga yang perlu direbut semua insan beriman kepada Allah SWT.
Masa terakhir inilah akan menentukan sama ada puasa kita mendapat keberkatan, menjadi penebus segala kesalahan dan dosa dilakukan selama ini. Masanya Allah SWT janjikan kepada kita semua jika kita benar-benar beriman kepada-Nya.
Ramadan mempunyai satu malam dinamakan lailatul qadar dan pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Allah SWT menganugerahkan pahala besar itu sempena penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzaah al-Quran beransur-ansur diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Jibril.
Berdasarkan hadis yang memetik penerangan Saidatina Aisyah, antara pengkhususan ibadat dilakukan Rasulullah SAW ialah Baginda mandi antara waktu Maghrib dan Isyak, berpakaian indah serta sentiasa berharuman sepanjang 10 malam terakhir
Jelaslah lailatul qadar mempunyai kelebihan besar, maka seharusnya kita tidak mensia-siakan peluang malam dijanjikan itu. Bagi orang beriman mereka berazam mencari peluang disediakan dengan berlumba-lumba bangun di malam hening dan mengharapkan pahala Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah lailatul qadar pada malam ganjil pada sepuluh hari terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Berdasarkan hadis yang memetik penerangan Saidatina Aisyah, antara pengkhususan ibadat dilakukan Rasulullah SAW ialah Baginda mandi antara waktu Maghrib dan Isyak, berpakaian indah serta sentiasa berharuman sepanjang 10 malam terakhir.
Rasulullah SAW juga melakukan iktikaf di masjid. Baginda memasuki masjid sebelum Maghrib, solat berjemaah di samping membaca al-Quran dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT.
Pada waktu beriktikaf, Rasulullah SAW memutuskan hubungan dengan manusia dan aktiviti lain bagi bermunajat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW tidur berasingan dengan isteri pada 10 malam terakhir untuk memberi tumpuan beribadat kepada Allah SWT.
Memasuki fasa ketiga bulan penuh keberkatan ini mimbar menyeru, marilah kita menggunakan peluang berharga ini menambah bekalan akhirat lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir yang banyak kelebihannya.
Lailatul qadar adalah malam ditunggu-tunggu mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku satu malam saja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa memperolehnya dan rugilah siapa melepaskannya.
Dalam fasa ketiga ini kita dituntut mempertingkatkan amal salih dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyak zikir, solat sunat dan sedekah selain dituntut memperbanyakkan doa khusus untuk lailatul qadar.
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa patut saya doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: “Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu, oleh itu maafkanlah segala kesalahanku.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Namun terdapat sebilangan umat Islam tidak memberi perhatian sebaliknya lalai dengan kesibukan urusan lain seperti membuat persediaan menyambut hari raya. Kebiasaannya pada malam 10 terakhir, masjid lengang dan sepi, jemaah tarawih semakin berkurangan.
Sebaliknya, pasar raya menjadi tumpuan, suri rumah sibuk membuat persiapan raya sehinggakan ada yang berpuasa kerana keletihan. Bahkan peniaga bazar Ramadan ghairah meraih keuntungan pada saat akhir.
Mimbar ingin menyatakan, suasana begini tidak sepatutnya berlaku di saat kita sepatutnya melipatgandakan ibadat, kerana kita belum pasti lagi sama ada berpeluang untuk menikmati Ramadan akan datang.
Ramadan kita tempuhi tahun ini sepatutnya menjadi titik perubahan dalam diri untuk menjadi insan bertakwa dan diredai Allah SWT di dunia dan akhirat.
Hayati firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Berita Harian
Di bawah ini disalin daripada blog http://nasbunnuraini.wordpress.com.
Cara Mendapatkan Lailatulqadar.
Apa Yang Perlu Dilakukan Pada Malam Itu?
Sekiranya Ditemukan Apa Yang Hendak Dimohon?
Bagimana Jika Tidak Ditemukan?
Bagaimana Seseorang Boleh Mengetahui Yang Dia Telah Mendapat Lailatul Qadar?
Cara Mendapatkan Lailatulqadar
Daripada Aishah r.a.
”Bahawasanya Nabi s.a.w beriktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan, sehinggalah baginda wafat, kemudian para isteri baginda meneruskan amalan beriktikaf selepas kewafatannya”.
Iktikaf bererti berhenti dan berada di dalam masjid, berhenti dari segala urusan dunia, disertai niat untuk berhenti di dalam masjid sambil melakukan amalan seperti membaca al-quran, bertasbih dan sembahyang. Kebiasaannya Nabi Muhammad s.a.w. beriktikaf dengan memasuki masjid mulai petang 19 Ramdahan selepas waktu Asar dan tidak keluar sehinggalah selepas Maghrib hari terakhir Ramadhan. Isteri-isteri Baginda Mulia pula beriktikaf di rumah masing-masing iaitu di tempat yang biasanya mereka bersembahyang.
Jika kita tidak dapat beriktikaf di masjid sepanjang 10 akhir Ramadhan, maka berdoalah agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar dan bangunlah beribadat di sepertiga akhir malam.
Apa Yang Perlu Dilakukan Pada Malam Itu (Lailatul Qadar)?
Bangunlah beribadah pada sepertiga akhir malam. Bangunlah kira-kira dalam pukul 2-3 pagi. Lakukan apa jua amalan misalnya membaca quran, sembahyang sunat, berzikir atau memikirkan kebesaran Allah kerana sesiapa yang bertemu dengannya dalam keadaan melakukan apa jua ibadat akan mendapat pahala seperti beribadat atau berfikir kebesaran Allah selama 1000 bulan atau 84 tahun.
Al-Qadr [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Boleh juga mengamalkanlah zikir berpahala 2 juta ini semasa berjaga malam mencari Malam Qadar (Lailatul Qadar).
Dari Abdullah bin Abi Aufa r.a., Rasulullah saw. bersabda, Sesiapa membaca Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariikalah ahadan somadan lam yalid walam yuulad walam yakun lahu kufuwan ahad, maka Allah akan menulis baginya dua juta kebaikan (Riwayat Thabrani).
Sekiranya Ditemukan Apa Yang Perlu Dimohon?
Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya,
“Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadar (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?”
Beliau menjawab,
“Ucapkanlah, Allahumma innaka ‘afuwwun karim, tuhibbull ‘afwa , fa’fu ‘anni (Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.)
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)
Bagaimana Jika Tidak Ditemukan (Lailatul Qadar)
Apa yang penting ialah menghidupkan malam, kerana walaupun tidak berjumpa dengannya orang yang menghidupkan malam itu tetap akan diberi tawaran pengampunan dosa oleh Allah s.w.t.
“Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimana Seseorang Boleh Mengetahui Yang Dia Telah Mendapat Lailatul Qadar?
Sebagai perumpamaan : Orang yang menembak akan mengetahui samada tembakannya itu telah mengenai sasaran (misalnya burung yang ditembak). Walaupun dia tidak melihat burung itu mati, tetapi dia boleh/dapat merasainya.
Selain itu boleh juga dengan melihat pada amalan kita di tahun berikutnya, adakah amalan kita semakin bertambah atau semaking berkurangan, misalnya kita semakin kerap berjemaah di masjid bagi kaum lelaki. Begitu juga dengan kejahatan, apakah kita mampu meninggalkan kejahatan atau dosa yang biasa dilakukan pada tahun sebelumnya.
Perubahan baik kepada amalan kita adalah tanda seseorang untuk Mengetahui Yang Dia Telah Mendapat Lailatul Qadar
No comments:
Post a Comment