بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, August 4, 2011

Cabaran generasi alaf 21

Oleh MOHD. FARID MD ALIAS
ALAF 21 dikenang sebagai alaf bioteknologi dan robotik. Sistem langit terbuka dan satelit memberikan pengaruh kepada kemajuan teknologi komunikasi dan telekomunikasi yang serba canggih. Kecanggihan itu telah menyebabkan revolusi maya berlaku. Kesannya amat besar kepada dunia ilmu, pendidikan, hiburan dan perhubungan antara manusia.
Revolusi ini telah menghasilkan jenis manusia yang berfikir dan bersikap lain daripada generasi sebelumnya.

Akibatnya berlaku jurang generasi yang sangat tajam antara bawaan generasi terdahulu dengan bawaan generasi Y pada masa kini.

Generasi terdahulu banyak terlibat dengan penerokaan ke negara-negara yang lebih terutama menjadikan Barat sebagai model untuk maju.

Peneroka kemajuan dan perubahan bagi bangsa yang pernah dijajah masih berkisar dalam kegiatan-kegiatan memperkukuhkan kembali makna perjuangan dan kemerdekaan yang berkait dengan sistem nilai ataupun agama.

Kemajuan Barat yang berorientasikan faham liberal dan sekular memberi kesan yang sangat kuat terhadap negara membangun.

Negara-negara Islam masih terkial-kial untuk mencari makna dan identiti pembangunan berasaskan acuan sendiri atau acuan yang Islami.

Daripada Iran yang penuh dengan revolusi kepada Arab Saudi yang mengamalkan sistem beraja hinggalah ke Mesir, Libya, Tunisia, Maghribi , Yaman dan Turki semuanya berada dalam pencarian dan pengukuhan bagaimana untuk ditadbir secara Islami atau sebaliknya.

Negara Islam memerlukan acuan dinamik tentang bagaimana pengurusan dan bina negara boleh berlaku di tengah-tengah gelombang globalisasi yang cukup mendesak.

Prasyarat pembangunan negara Islam

Prasyarat pembangunan negara-negara mengikut acuan Islam menuntut satu sistem pendidikan holistik yang mampu melahirkan modal insan yang integratif.

Dengan pengukuhan pendidikan tradisi semata-mata (turath) tidak mampu memberi respon kepada tuntutan perkembagan sains dan teknologi yang manjadi prasyarat kemajuan Barat hari ini.

Umat Islam dalam membina acuan pendidikan mesti mampu mengukuhkan aspek-asek rohaniah yang mendukung ketamadunan dan mengambil manfaat berbanding yang berfaedah daripada tradisi Barat (conventional) ketika ini.

Sinergi antara keduanya iaitu Barat dan Islam memungkin dimensi baru dalam proses keilmuan dan pendidikan berjalan.

Bagi generasi muda yang mengimpikan lahirnya sebuah negara Islam tidak cukup hanya dengan bersyarah dan beretorik yang emosional dan berapi-api.

Ia perlu diterjemahkan dengan keunggulan menguasai ilmu terutamanya ilmu mengurus diri (ilmu agama) dan ilmu mengurus sistem (ilmu sains dan teknologi).

Kedua-dua bidang ilmu pengetahuan ini amat penting diteroka dan dibina supaya jenis manusia yang bakal dilahirkan memiliki kekuatan ilmu dalam pelbagai bidang dan menjadikan asas etika nilai yang Islami sebagai sumber pedoman.

Hebat dengan idealisme semata-mata tidak akan membawa umat Islam ke mana-mana.

Kefahaman terhadap cabaran sebenar berlegar di sekitar keupayaan modal insan Islami menyusun kembali strategi bernegara dalam erti kata mampu menyusun semula arah perkembangan ekonomi, budaya, pendidikan, sains dan teknologi.

Ia supaya sifat pengembangannya mampu memberikan asas kestabilan kepada umat Islam dan umat manusia.
Cabaran besar ini tidak boleh terlerai hanya dengan demonstrasi silih berganti. Ia memerlukan pembinaan dan penampilan modal insan yang mampu menggerakkan perubahan dan dalam masa yang sama sentiasa cekal dalam mengukuhkan kestabilan.

Pertembungan aliran Sunni dan Syiah dikebanyakan negara Islam tidak dapat memberi jawapan ke arah maksud ini.

Keganasan yang dijadikan landasan menentang musuh tidak akan sampai ke mana.

Strategi dakwah bijaksana dan pengukuhan model-model alternatif yang Islami merupakan jalan terbaik bagi mengislamkan Eropah dan Amerika.

Dengan potensi sains dan teknologi yang ada pada mereka, model-moel Islami yang menyeluruh akan dapat dibina secara sistematik.

Oleh itu, remaja Islam pada hari ini jangan menghabiskan usia dengan persepsi-persepsi dangkal terhadap perubahan dan kemajuan sehingga terjebak ke dalam arus retorik dan label-melabel. Ia bakal menjadikan nasib umat lebih kusut dan terpinggir.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...