بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, August 14, 2011

Persoalan Agama: Juruterbang diberi kelonggaran berbuka puasa




Jawapan oleh Ustaz Zahazan
bminggu@bharian.com.my
2011/07/31
Ibadat kena ganti ikut hari dibuka

Soalan: 

USTAZ, saya mempunyai beberapa soalan mengenai ibadat puasa. Saya juruterbang yang bertugas membabitkan perjalanan jauh. Adakah saya termasuk dalam golongan yang diberi kemudahan berbuka. Saya mendengar ada orang mengatakan tidak boleh berbuka kerana kapal terbang itu kenderaan mewah dan tugasan pula selalu dibuat. Kedua, apakah hukum menggosok gigi selepas gelincir matahari dan soalan terakhir, bagaimana cara terbaik mendapatkan manfaat Ramadan?

Johari,
Putrajaya.

Jawapan

Alhamdulillah wassoalatu wassalam ‘ala rasulillah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 184: 
“(Puasa yang diwajibkan ialah) beberapa hari yang tertentu (29 atau 30 hari), maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (haruslah dia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dia buka) itu pada hari lain.”
Walaupun puasa Ramadan adalah kewajipan, Allah masih memberi keizinan kepada mereka yang sakit atau musafir untuk berbuka kerana Islam agama rahmat. Keizinan ini diberikan kepada mereka yang jarang musafir atau selalu musafir. Seperti Allah memberikan kelonggaran untuk jamak dan qasar solat bagi musafir, begitu juga puasa diberi keizinan untuk berbuka, tetapi hendaklah menggantikan bilangan hari yang dibuka itu pada bulan lain.

Dalam hadis riwayat Muslim daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Saya musafir bersama Rasulullah SAW pada Ramadan. Orang berpuasa tidak mengingkari orang berbuka dan yang berbuka tidak mengingkari yang berpuasa.” Begitu juga hadis riwayat Muslim daripada Jabir RA, beliau berkata, Rasulullah SAW keluar ke Makkah ketika pembukaan Makkah pada Ramadan. Baginda SAW berpuasa hingga sampai di Kura’ Ghanim. Orang ramai juga turut berpuasa. Lalu dikhabarkan kepada Baginda SAW: “Sesungguhnya puasa membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang tuan akan buat.” Kemudian selepas Asar, Baginda meminta sebekas air lalu meminumnya. Dalam hadis itu, jelas bagi mereka yang musafir, harus untuk berbuka.

Untuk soalan kedua, bersugi selepas gelincir matahari (sesudah masuk waktu Zuhur) makruh menurut pandangan mazhab Syafii. Bau mulut orang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Justeru menghilangkannya adalah makruh seperti dinyatakan dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada digenggaman-Nya, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” Tetapi ada juga pandangan ulama mengatakan tidak makruh kerana Baginda SAW menggalakkan bersugi setiap kali solat. Seperti dalam hadis riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersugi setiap kali hendak solat.”

Sebenarnya, antara hikmah ibadat puasa adalah menyuburkan rasa ketakwaan yang sebenarnya kepada Allah SWT. Ramadan adalah bulan rahmat, bulan maghfirah (keampunan) dan bulan yang penuh keberkatan. Sudah selayaknya umat Islam rasa gembira dikurniakan Ramadan.

Dalam satu hadis riwayat an-Nasa’i daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sudah datang kepada kamu Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Di mana diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa. Pada bulan inilah pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya sementara ditutup rapat pintu neraka, diikat pula syaitan. Pada bulan inilah juga ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang terlepas keberkatan dan kebaikan malam itu, maka dia adalah orang rugi yang terlepas daripada segala kebaikan malam itu.”

Justeru, marilah kita berusaha untuk mendapat kebaikan Ramadan dengan melakukan amalan yang dapat meningkatkan ketakwaan serta dapat mendekatkan diri kita dengan syurga Allah SWT. Marilah kita berubah daripada orang yang lemah iman kepada teguh iman dengan berpuasa. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa seperti diwajibkan kepada orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Syeikh Said Hawwa mengatakan jika kita tidak dapat menjadi orang yang bertakwa pada Ramadan dan bulan selepasnya, maka tiada puasa buat kita atau sebenarnya kita tidak berpuasa. Wallahua’lam. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...