بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, June 4, 2011

Zakat lambang kebesaran Allah

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

TANDA-tanda kebesaran Allah SWT sentiasa ada di mana-mana. Hadapkanlah wajah kita, sama ada ke Timur atau ke Barat, Utara atau ke Selatan.

Di situ, akan terpamer kehebatan Allah SWT yang berupa pelbagai ciptaan-Nya. Semuanya adalah untuk kita hayati, bertafakur dan merendah diri kepada-Nya.

Lalu Allah SWT berfirman yang mafhum-Nya: 

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin. (al-An'am: 75)

Hakikatnya, kebesaran Allah SWT bukan sekadar terpamer pada segala ciptaan-Nya. Kebesaran dan keagungan Allah ini juga terkandung di dalam pelbagai hukum-hakam dan perintah-Nya yang dinamakan sebagai syariat Allah. Tugas manusia yang beriman, ialah meyakini akan syariat ini dan melaksanakannya tanpa ragu dalam kehidupan sehari-hari.

Kita mestilah menjadi seorang pentadabbur (orang-orang yang menilai dan menghayati) penciptaan Allah SWT ini sehingga tumbuh di hati kita rasa keimanan dan ketakwaan. Apabila sudah menyubur rasa seperti ini, nescaya kita beroleh harapan untuk menjadi 'ulul albab'. Allah menyeru: 

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi ulul albab (orang-orang yang berakal). (Ali 'Imran: 190)

Kalimah ulul albab diulang-ulang sebanyak 16 kali di dalam al-Quran. Para ulama mempunyai interpretasi yang berbeza mengenainya. 

Imam an-Nawawi misalnya, menyebut bahwa ulul albab adalah mereka yang berpengetahuan suci, tidak hanyut dalam derasnya arus dunia serta yang terpenting, mereka mengerti, menguasai dan mengamalkan ajaran Islam. Ibn al-Mundzir pula menyatakan bahawa ulul albab sebagai orang yang bertakwa kepada Allah, berpengetahuan tinggi dan mampu menyesuaikan diri di segala lapisan masyarakat, elit ataupun marginal (orang awam).

Walau apa pun definisi dan huraiannya, secara mudah dapat dirumuskan bahawa ulul albab adalah manusia yang berjiwa halus dan hidup akalnya ataupun golongan yang berminda jernih, sehingga mampu menekuni keagungan Allah lewat hukum-hakam, perundangan dan syariat yang Allah SWT titipkan ke atas umat manusia di dunia ini.

Kaitan zakat dan kebesaran Allah

Golongan ulul albab menyedari, bahawa segala syariat ataupun peraturan yang Allah SWT nuzulkan kepada manusia (lewat al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SAW), bukanlah bermatlamat menyusahkan manusia; sebalik mempunyai seribu rahsia sebagai resepi bahagia. Persis kenyataan Allah SWT: 

Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah (dengannya). (Thahaa: 2)

Realiti sepanjang zaman menunjukkan, syariat Allah adalah suatu pedoman dan tatacara demi menuntun kehidupan manusia menuju sejahtera. Idealnya, hidup dalam kondisi serba cukup, bahagia dan selesa adalah suatu impian semua orang. Maka, demi melestarikan kesejahteraan inilah, syariat Allah itu perlu dipatuhi, diaplikasi secara tuntas dan dijadikan piawai dalam serba-serbi tindakan agar semua orang beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan yang merata.

Maka, di sinilah agungnya salah satu syariat Allah yang bernama zakat. Jika masakan, ia ibarat bumbu atau rencah yang mengenakkan. Dalam kehidupan bermasyarakat, zakat menjadikan resepi kebahagiaan.

Pelaksanaannya secara tuntas, bukan sekadar menjadi jambatan yang mampu merapatkan jurang kaya - miskin; namun terlebih utama ia menjadi perkakas bagi penyatuan dan kesejahteraan umat yang lestari sifatnya.

Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...