بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, June 14, 2011

Penyakit Hasad

Ketahuilah, bahawa di dalam diri manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati memainkan peranan penting dalam tubuh badan manusia kerana jika hati elok maka eloklah manusia itu. Jika hati kotor maka buruklah akhlak manusia itu. Oleh itu hati perlu dibersihkan selalu. Apabila hati sihat maka rohani akan sihat.

Allah tidak melihat manusia berdasarkan paras wajah yang cantik atau tampan. Allah tidak juga melihat akan kehebatan atau terkenalnya manusia itu dalam masyarakat atau negara. Tetapi yang akan dilihat oleh Allah S.W.T adalah pada hati-hati manusia.

Sabda Rasulullah S.A.W daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badanmu, rupamu, tetapi langsung melihat kepada hati dan perbuatanmu.” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu Allah sangat membenci orang yang membutakan hatinya. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami jadikan sebagai isi Neraka Jahanam kebanyakan di antara jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat Allah. Dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah. Dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.”  (al-A'raaf [7]  : 179)

Orang yang disebut Allah dalam firman-Nya itu ternyata rohaninya (hatinya) tidak sihat dan tentunya berpenyakit. Apabila rohani berpenyakit maka berlakulah sifat bertentangan dengan tuntutan agama dan lebih buruk lagi boleh mengakibatkan manusia itu ingkar kepada Allah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada beberapa penyakit, lalu Allah menambah penyakit itu, dan untuk mereka itu azab yang pedih kerana mereka telah berdusta.” (al-Baqarah [2] : 10)

Salah satu penyakit rohani yang cukup akrab menghinggapi orang Islam ialah penyakit hasad dengki. Penyakit ini adalah sifar mazmumah yang boleh menjadi sebagai kayu yang akan membakar (menghapuskan) amal-amal soleh seseorang.

Maka hasad adalah musuh utama masyarakat. Lebih buruk daripada segala jenis penyakit. Hasad berasal daripada bahasa Arab, dalam bahasa kita disebut dengki atau kita gabungkan Arab dan Melayu menjadi hasad dengki. Hasad secara mudahnya bermaksud perasaan inginkan agar nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada insan lain terhapus.



Seseorang yang hasad selalu gelisah atau tidak puas hati melihat apa yang dimiliki oleh pihak yang dihasadnya. Jika perasaan itu dilayan, maka si pendengki akan menyusun strategi agar hasrat buruk itu tercapai. Maka lahirlah angkara-angkara buruk terhadap individu yang dihasadnya, tanpa dosa dan kesalahan melainkan kerana memiliki kelebihan. Masyarakat yang dipenuhi hasad akan dipenuhi berita utamanya; jatuh-menjatuh, umpat-mengumpat, fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh, maki-memaki, kata-mengata dan segala macam perkara yang mendengarnya sudah memenatkan jiwa apatahlah lagi mengalaminya.

Nabi s.a.w. bersabda: Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama (riwayat al-Bazzar dengan sanad yang sahih, juga diriwayatkan oleh al-Tirmizi).

Orang yang punya sifat hasad dengki hidupnya tidak akan bahagia dan orang yang bakhil tidak akan berbudi, dan tidak dapat dijadikan kawan bagi orang yang selalu merasa jemu dan tidak ada jiwa kemanusiaan bagi seorang pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.

Sifat hasad dengki  adalah sifat yang banyak membawa keburukan dan kemusnahan. Orang berpenyakit hasad dengki ini tidak suka melihat orang lain berjaya daripada dirinya, tidak kira dalam apa juga bidang. Dia akan berusaha sedaya upaya menjatuhkan atau menggagalkan orang yang lebih daripadanya itu. Dia akan melakukannya sehingga berjaya, iaitu sehingga musuhnya jatuh gagal dan tewas.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : ".. ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) kerana kurnia yang telah diberikan Allah kepadanya? Sungguh , Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepada mereka kerjaan (kekuasaan yang besar)."
(an-Nisa' [4] : 54)

Sebab turunnya  ayat 54 surah an-Nisa'.

Ibnu Abbas r.a menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan apabila kaum Nasrani dan Yahudi yang suatu ketika berkata : "Muhammad menganggap dirinya telah diberi kenabian, kemenangan dan al-Quran dengan sifat tawaduk, sedangkan ia suka wanita. Maka raja manakah yang lebih utama daripada dia?
(Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim)

Terdapat 10 perkara yang boleh mengubati hati yang mempunyai hasad dengki. 

1. Cari ilmu yang bermanfaat

Ilmu yang bermanfaat akan mencegah seseorang melahirkan hasadnya. Dia akan menyedari bahawa hasad hanya akan membahayakan dunia dan agamanya. Bahaya bagi agamanya kerana dengan hasad dia akan menentang takdir Allah. Bahaya bagi dunianya, kerana  hati orang yang hasad akan merasa pedih dan sakit apabila  melihat orang yang dia dengki mendapat nikmat. Carilah ilmu yang bermanfaat yang menerangi jalan kehidupan  yang akan  mencegah daripada berbuat kesalahan. Kemudian amalkanlah.

Firman Allah  maksudnya :
“ Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah kami berikan kepadanya ayat-ayat kami (Pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh setan (sampai dia tergoda). Maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. Dan kalau kami menghendaki, sesungguhnya kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan memperturutkan hawa nafsunya yang rendah. (al-A’raf [7] : 175-176)

2. Bertaubat

Bertaubat kepada Allah S.W.T. boleh menghapuskan dosa seseorang. Taubat nasuha dan menyesali akan dosa  kerana hasad dengkinya,  meninggalkan dan bertekat untuk tidak mengulanginya kembali di masa akan datang. Apabila  penyakit ini datang  ia bersegeralah minta ampun kepada Allah S.W.T. semoga Dia mengampunkan dosa-dosanya.

3. Berfikir positif dan merenungi akibat keburukan hasad dengki.

Apabila kita memikirkan bahawa betapa besarnya dosa hasad dengki ini dan balasan yang dahsyat akan diberikan oleh Allah S.W.T kepada  sesiapa yang berhasad dengki ketika di dunia, maka perasaan ini boleh menjadi motivasi untuk dijauhi penyakit ini.

4. Menerima takdir Allah S.W.T. dengan lapang dada.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Terimalah apa yang Allah berikan padamu, nescaya engkau menjadi manusia yang paling kaya."

Imam Ibnu Sirin  mengatakan : “Aku tidak pernah hasad kepada seorangpun dalam urusan dunia, kerana apabila ia ahli syurga, bagaimana mungkin aku hasad padanya dalam urusan dunia yang itu tidak ada nilainya di syurga nanti. Apabila ia termasuk ahli neraka , maka bagaimana mungkin pula aku hasad padanya dalam urusan dunia sedangkan dia akan masuk neraka?

5. Selalu mendoakan saudara kita.

Apabila hati kita dijangkiti hasad dengki, maka doakanlah kebaikan pada orang yang kita dengki semoga ia dirahmati Allah, kerana doa akan menimbulkan keajaiban, mengbah keadaan yang buruk menjadi baik. Pertanda bahawa diri kita  tidak ada hasad dengki dan tidak ada tujuan kecuali kebaikan bagi saudara kita.

6. Mencinati saudara sesama muslim semata-mata kerana Allah.

Cintailah saudara kita  kerana Allah, mulakan dengan menyanyakan kabar kepada dirinya, agar hasad dengki dalam jiwa kita hilang dan orang yang kita ingin berhasad dengki menjadi orang yang kita berbaik dengannya. Ini kerana apabila seorang itusudah menjadi sahabat kita maka mudah untuk kita mencintainya, dengan ini perasaan hasad dengki akan berkurang dan hilang.

Cubalah, berkemungkinan cara ini agak sukar akan tetapi mujarab. Ingatlah selalu firman Allah yang berbunyi:
“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”

7. Menziarahi saudara sesama muslim.

Menziarahi seorang muslim terhadap saudaranya boleh melahirkan kasih sayang.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya :“Barang siapa yang menjenguk orang sakit, atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka dia akan dipanggil dari atas langit : Semoga engkau menjadi baik, baik pula perjalananmu dan engkau meraih kedudukan di syurga.”

8. Bertindak mencegah kemungkaran.

Apabila di dalam satu majlis, jika ada saudara kita yang menceritakan mengenai keburukan saudara kita yang lain kerana perasaan hasad dengki maka kita perlu bela dan tidak boleh berdiam diri. Beritahu pada orang yang mempunyai hasad dengki itu supaya menyedari akan perbuatannya itu adalah berdosa semoga dengan tindakkan kita ini boleh menghilangkan perbuatan hasad dengki tersebut.

9.Mengutamakan orang lain.

Apabila kita mengetahui ada seseorang yang berhasad dengki dengan kita, dan kita berjumpa dalam satu majlis maka kita perlu mulakan dahulu dengan memberi salam dan menyanyakan khabar beritanya, supaya dengan sikap kita yang berbaik-baik dengannya boleh mengurangkan perasaan tersebut yang ada pada dirinya.

10. Minta nasihat daripada orang yang berdengki dengan kita.

Secara hikmahnya  kita cuba minta nasihat daripada orang yang suka berhasad dengki dengan kita supaya dengan sikap kita yang berbaik-baik dengannya akan menghilagkan perasaan tersebut .

Ibnu Abbas r.a  berkata : “Tiga perkara yang aku tidak dapat membalasnya kecuali doa : 1. Seorang yang masuk menemuiku dalam suatu majlis, dia berdiri dengan senyum dan gembira. 2. Seorang yang memberi kelapangan kepadaku dalam majlis. dan 3. Seorang yang tertimpa masalah, kemudian dia minta pendapatku. Mereka adalah orang-orang yang aku tidak dapat membalas kebaikannya kecuali dengan doa.”

Demikianlah sedikit pembahasan masalah hasad dengki. Kita berlindung kepada Allah S.W.T. agar terhindar dari keburukan sifat hasad dengki sesama muslim dan Allah S.W.T.

Marilah sama-sama kita menjauhkan sifat hasad dengki kerana sifat ini menyebabkan kita akan jauh daripada rahmat Allah S.W.T dan dekat dengan azabnya. Salah satu sifat ahli neraka adalah semasa di dunia suka berhasad dengki dan tidak suka kepada nikmat Allah S.W.T yang diberikan  kepada hamba-hamba-Nya yang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Hindarilah sifat dengki kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sumber Rujukan : Majalah Solusi isu 32

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...