بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, June 13, 2011

Renungi Pencipta

MANUSIA sebenarnya sentiasa berfikir. Setiap hari sewaktu bekerja kita berfikir mengenai pekerjaan dan bagaimana cara untuk meningkatkan prestasi kerja.

Kita juga berfikir mengenai cara mengatasi masalah yang dihadapi. Akhirnya kita akan berfikir mengenai cara menghasilkan prestasi terbaik. 

Begitulah keadaan akal kita yang tidak pernah berhenti daripada berfikir. Bagaimanapun, kita akan berfikir dengan lebih serius apabila berhadapan dengan masalah, misalnya ketika ditimpa musibah, kesempitan wang, sakit atau menghadapi kegagalan. 

Kita berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Lebih berat masalah yang kita hadapi, lebih besar usaha berfikir yang dilakukan. Dalam banyak waktu kita habiskan untuk berfikir pernahkah ada dalam fikiran kita mengenai hubungan kita dengan Pencipta?


Bagaimana prestasi iman kita? Bagaimana jalan hidup yang sudah dan sedang serta yang akan kita lalui, adakah mengikut kehendak kita atau kehendak Pencipta?


Pernahkah kita berfikir untuk `menyemak’ semula batin kita? Adakah di dalamnya jernih laksana titisan embun atau lakaran hitam yang kelabu dan berdebu dengan dosa? 

Bagaimana solat kita, puasa, anak-anak, suami atau isteri kita sudahkah jelas kefahaman mereka sebagai hamba Allah? Sudahkah matlamat kita selari dengan kehendak Pencipta? 

Sudah layakkah kita �memegang gelaran ‘khalifah Allah’ yang mempunyai tugas besar sebagai ejen perubahan dalam masyarakat? Kata orang kalau banyak sangat tanya dikatakan banyak ‘songeh’. 

Semua soalan yang dilontarkan sebenarnya saya hendak kongsi mengenai kepentingan berfikir. Dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.” 

Betapa mahalnya nilai berfikir dan kesan yang diperoleh jika betul cara berfikir kita, berbanding ibadat begitu saja. Berfikir sebenarnya adalah proses menyimpan, mengingat, menganalisis dan menyimpulkan berbagai-bagai maklumat yang ada di dalam dan luar diri kita sehingga menjadi idea dan akhirnya mendorong kita untuk bertindak. 

Fikiranlah yang mengarahkan ke mana kita akan pergi dan bagaimana kita akan buat kerana dalam fikiran itu, seluruh keputusan, perencanaan serta konsep hidup ditentukan. 

Malah, dengan pemikiran jugalah menjadi penentu dekatnya kita dengan Allah. Satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah wahai Anas sesungguhnya orang yang bodoh itu lebih banyak tertimpa musibah kerana kebodohannya daripada orang jahat yang berakal. 

Sesungguhnya amat mudah seorang hamba mendekati Tuhannya dengan akalnya. Kata Napolean Hill: “If a man is right, his world will be right.” 

Jadi, dalam kesibukan kita mencari kebahagiaan dunia, jangan lupa memberikan waktu untuk berfikir. Bahagikan masa kita kepada empat waktu iaitu: 



  Waktu untuk bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah. 
  Waktu untuk bermuhasabah mengenai dirinya. 
  Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah. 
  Waktu untuk menumpukan kepada keperluan seperti mencari makanan dan minum.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...