بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, June 17, 2011

Kaedah berinteraksi dengan al-Quran



BERINTERAKSI dengan al-Quran bermaksud bertindak dengan bentuk tindakan melalui perhubungan yang sewajarnya terhadap kalam Allah. Ini sesuai dengan statusnya sebagai sumber hidayah dalam setiap perkara yang menyentuh keseluruhan hidup manusia.

Bentuk interaksi atau hubungan tersebut mestilah bersifat ta'abbudi iaitu bermatlamatkan ibadah dalam erti kata membina diri sebagai hamba Allah yang mahu diredai oleh Allah selaku Tuhan yang menurunkan al-Quran.

Iman sebagai asas interaksi

Iman merupakan pemangkin dan pemacu kepada seseorang Muslim dalam membentuk interaksinya dengan al-Quran.

Tanpa iman tidak mungkin seseorang Muslim itu mengetahui, menyedari dan akhirnya meletakkan al-Quran di tempat yang selayaknya dalam kehidupannya.

Seseorang Muslim wajib beriman bahawa al-Quran menjadi sumber hidayah yang menjamin kebahagiaan hidupnya di dunia dan akhirat.

Dia perlu mengetahui bahawa al-Quran telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Firman Allah yang bermaksud: Alif, Laam, Raa'. ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkan ia kepadamu (Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji. (Ibrahim: 1)
Al-Mawardi dalam tafsirnya menerangkan bahawa terdapat empat jenis kegelapan dan empat jenis cahaya iaitu:

*Kegelapan berbentuk keraguan kepada cahaya keyakinan.
*Kegelapan bidaah kepada cahaya sunnah.
*Kegelapan kesesatan kepada cahaya petunjuk.
*Kegelapan kufur kepada cahaya iman.

Iman yang mantap terhadap al-Quran akan mencorakkan gaya berfikir dan cara bertindak seseorang Muslim yang merupakan sebahagian daripada konteks interaksinya dengan al-Quran.

Interaksi tanpa iman tidak membawa kepada hidayah. Contohnya para orientalis beria-ia mengkaji al-Quran tetapi apabila iman tidak menjadi asas disulami pula dengan pelbagai bentuk prejudis terhadap Islam dan umat Islam, segala kajian tersebut hanya sekadar hasil akademik semata-mata.

Al-Quran antara qiraah dan tilawah

Membaca merupakan interaksi terawal seseorang dengan al-Quran. Wahyu pertama sangat jelas dalam menunjukkan kepentingan membaca al-Quran.

Perkataan iqra' yang diulang dua kali cukup membuktikan betapa pentingnya pembacaan al-Quran itu sebagai agenda tetap dalam diari seorang Muslim.

Al-Tantawi menyatakan bahawa pengulangan perkataan tersebut menunjukkan bahawa sesuatu bacaan itu mesti diulang-ulang bagi memantapkannya.

Dalam al-Quran pembacaan itu dirujuk dengan dua kalimah iaitu qiraah dan tilawah. Para ulama seperti al-Raghib al-Asfahani dalam al-Mufradat menyatakan bahawa walau pun kedua-duanya hampir sama tetapi qiraah sifatnya lebih umum dan ia membawa maksud al-jam' iaitu mengumpulkan segala sesuatu.

Penghafalan al-Quran suatu keistimewaan

Al-Quran adalah satu-satunya kitab suci yang mendapat jaminan Allah SWT daripada sebarang bentuk penyelewengan. Allah menjadikan umat Islam ini berpeluang untuk menghafal setiap perkataan dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (al-Qamar: 17)

Al-Farra' mentafsirkan kemudahan yang dimaksudkan adalah dalam menghafalnya dan tiada kitab yang lebih mudah dihafal selain daripada al-Quran. Ia merupakan salah satu keistimewaan al-Quran.

Tadabbur suatu proses penghayatan

Seorang Muslim sewajarnya tidak hanya berpuas hati dengan kebolehan membaca al-Quran dengan baik, sebaliknya mestilah berusaha dalam meningkatkan interaksinya dengan al-Quran melalui proses bertadabbur makna-makna al-Quran.

Tadabbur bermaksud melihat dengan teliti sesuatu hingga ke penghujungnya dan menatijahkan kesimpulan.

Sheikh Dr. Farid al-Ansari menyatakan, tadabbur hendaklah bermula dengan kefahaman melalui penelitian pelbagai pentafsiran al-Quran. Tadabbur bukan tafsir tetapi memahami tafsir. Pentafsiran merupakan ilmu khusus dalam menyingkap dan menerangkan kehendak-kehendak Allah dalam al-Quran.

Memahami tafsir bererti mengambil sebanyak mungkin pengajaran dan Fiqh al-Ayat daripada pentafsiran tersebut. Pendekatan pentafsiran ulama yang pelbagai menjadikan seseorang yang bertadabbur itu semakin banyak maklumatnya.

Walau bagaimanapun ia tidak semestinya dengan mengkaji sedalam-dalamnya setiap karya tafsir yang ada. Tadabbur lebih berupa mengambil pengajaran melalui kefahaman secara umum tentang makna-makna ayat yang dibaca.

Apa yang penting ia tidak terpesong daripada tafsiran para ulama muktabar. Ia juga sesuatu yang menyuntik perasaan kerana merasa ayat-ayat al-Quran itu ditujukan terus kepadanya.

Penyair Mohd Iqbal pernah dipesan oleh ayahnya: "Bacalah al-Quran seolah-olah ia diturunkan kepadamu."

Muslim yang menghayati al-Quran akan merasa gementar hati dan perasaan seterusnya membawa kepada ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah dalam al-Quran. Ini merupakan natijah daripada tadabbur yang sebenar.

Tadabbur melalui pentafsiran saintifik

Dewasa ini pentafsiran al-Quran secara saintifik sangat giat dilakukan. Ia menyentuh ayat-ayat al-Quran yang bersifat al-Kauniyyah iaitu ayat-ayat tentang penciptaan alam, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya yang dihubungkaitkan dengan fakta-fakta sains yang disepakati.

Tokoh-tokoh antarabangsa seperti Dr. Zaghlul al-Najjar, Dr. Harun Yahya, Dr. Abdul Majid al-Zindani dan lain-lain menjadi rujukan dalam hal ini.

Para pengkaji tempatan seperti Dr. Danial Zainal Abidin, Prof. Dr. Yusuf Osman dan Dr. Arif Kasmo juga tidak kurang hebatnya. Kajian-kajian mereka membantu kita dalam bertadabbur dan menambahkan keimanan kita kepada Allah, Rasulullah SAW dan al-Quran.

Ringkasnya tadabbur itu melibatkan tafahhum (memahami secara umum atau khusus),tafakkur (berfikir tentang kaitan makna ayat dalam konteks tertentu) dan tadhakkur (mengambil pengajaran daripada natijah kedua-dua proses sebelumnya).

Pelaksanaan bukti keimanan

Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan difahami tetapi hendaklah dilaksanakan segala isi kandungannya. Segala hukum yang terkandung dalam al-Quran wajib dilaksanakan.

Ia merupakan satu kewajipan bukan pilihan. Allah berfirman (maksudnya):

...Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)...(al-Maidah: 48)

Penerimaan sepenuh hati bukti ketaatan

Pelaksanaan terhadap hukum Allah dalam al-Quran mesti didahului dengan penerimaan sepenuh hati terhadap semua hukum-Nya tanpa memilih sebahagian dan menolak sebahagian.

Al-Quran menyatakan hal ini dalam firman Allah (bermaksud): Maka demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (al-Nisa': 65)

Berdakwah menyampaikan al-Quran

Berinteraksi dengan al-Quran dalam konteks menyampaikan isi kandungan dan pengajarannya merupakan tugas dakwah yang amat mulia. Ia sama ada melibatkan proses al-ta'lim atau al-tabligh atau kedua-duanya sekali merupakan tanggungjawab setiap umat Rasulullah SAW.

Firman Allah (bermaksud): Oleh itu, berilah peringatan dengan al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azab-Ku. (Qaf: 45)

Kesimpulannya, interaksi dengan al-Quran mesti diimplementasikan dalam bentuk praktikal bukan retorik selain hendaklah bersifat aktif, konsisten, istiqamah, tidak bersifat sementara, tidak bermusim dan melampaui batas geografi dan masa.

Kehidupan seorang Muslim tidak bermakna tanpa penghayatan dalam berinteraksi dengan al-Quran. Natijahnya interaksi manusia keseluruhan dengan alam ini akan harmoni dan sejahtera kerana interaksi sempurna mereka dengan wahyu Allah Pencipta Alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...