بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, June 9, 2011

Tafsir Ayat: Maruah, iman luntur apabila individu menipu

 

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi



FIRMAN Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 2-3)

Keserasian antara perilaku dan tutur kata adalah satu sifat terpuji yang dianjurkan Islam. Sikap adalah lambang kepada keperibadian Muslim yang bertakwa kepada Allah. Oleh itu, Allah amat murka kepada orang yang bercakap tak serupa bikin.

Al-Syeikh Jamaluddin al-Qasimi dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Qasimi menjelaskan, mengatakan sesuatu yang tidak pernah dikerjakan adalah satu perbuatan dusta dan sifat berdusta itu tidak akan wujud pada seseorang mempunyai maruah iaitu yang mengetahui akan harga dirinya.

Sedangkan maruah adalah dasar utama menimbulkan iman. Jika dasar iman yang tulen itu bertapak kukuh di sudut jiwa, maka dengan sendirinya iman akan menumbuhkan dahan sifat terpuji.

Apabila seseorang itu berbohong dan berdusta bermakna maruahnya sudah luntur atau iman mula goyah.

Baginda Rasulullah SAW menyampaikan Islam kepada umat manusia melalui perkataan sederhana yang begitu mudah difahami, diterima, dengan sikap yang tegas dan tindakan jelas pada pandangan umum.

Pendek kata, formula kejayaan cemerlang Baginda Rasulullah SAW dalam dakwah Islam sebenarnya terletak pada keselarasan ucapan dengan perbuatannya, niat dengan amalnya, dalam keadaan suka mahupun duka detik kehidupannya. 

Risalah Islam yang disampaikan Rasulullah berupaya membina peribadi umat Islam yang unggul dan membentuk manusia memiliki nilai kebaikan dan kebajikan kepada manusia sejagat.

Corak kehidupan diserikan perhiasan tauhid dan amanah yang mewarnai setiap personaliti Muslim yang mendukung Islam sebagai cara hidup menyeluruh. Kehidupan seumpama inilah yang menjadi rahsia kekuatan dan keunggulan umat Islam di zaman Rasulullah dan zaman selepasnya.

Kebanyakan umat Islam kini sekadar bercakap tak serupa bikin di mana mereka kerap melaung-laungkan Islam sebagai cara hidup tetapi realiti adalah sebaliknya. Sifat yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak mengamalkan samalah seperti lagak seorang munafik.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tanda-tanda seorang munafik itu adalah tiga perkara iaitu; apabila berjanji tidak ditunaikannya, jika berkata-kata dia berdusta dan apabila dia diberi amanah dia mengkhianatinya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sifat nifak sifat yang tercela dan akan mengakibatkan kerugian bukan hanya kepada individu itu, malah ia boleh mengakibatkan padah buruk kepada masyarakat Islam keseluruhannya. Sifat nifak seumpama duri dalam daging atau musuh dalam selimut.

Pengalaman Khalifah Umar wajar dijadikan panduan kepada mereka yang bersifat munafik atau suka berdusta kerana pada mata umum, kesalahan dapat ditutup tetapi hakikatnya Allah mengetahui semua yang kita lakukan hatta bisikan hati.


Khalifah Umar berkata: “Wahai si penggembala! Jualkan saja kepadaku seekor anak kambing dari ternakanmu ini.”

Pengembala berkata: “Aku ini sebenarnya hanyalah seorang budak suruhan saja.”
Khalifah Umar berkata: “Itu tidak ada masalah! Kamu katakan saja kepada tuanmu nanti bahawa anak kambing itu telah pun dimakan serigala.”


Pengembala berkata: “Kalau begitu, di mana Allah sebenarnya?”

Akhirnya, Khalifah Umar berkata kepada pengembala: “Ungkapan kamu di mana Allah tadi telah memerdekakan kamu di dunia ini, semoga kalimat itu pula yang akan memerdekakan kamu di hari akhirat kelak.”

Betapa kisah penuh pengajaran itu menggambarkan ajaran Islam menyerlah dan terjelma secara praktikal dalam setiap aspek kehidupan. Oleh sebab itu, umat Islam dapat menempa kejayaan cemerlang dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat. 

Berita Harian 2011/06/09

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...