بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, June 3, 2011

Jadilah yang membalas jasa ibu bapa


Oleh KHAIRIA ISMAIL
KELAHIRAN seorang anak pastinya disambut riang dan penuh kesyukuran oleh ibu dan bapa. Kelahiran si anak itu telah memberi rahmat yang bukan sedikit ke atas sesebuah keluarga.

Untuk membesarkan anak, ibu dan bapa sanggup berbuat apa sahaja semata-mata untuk melihat anaknya hidup dalam situasi yang sempurna dan berjaya dalam kehidupan kelak. Jarang sekali ibu dan bapa yang mengungkit dan mengharapkan balasan kebendaan daripada anak-anak yang telah hidup berjaya. Bagi mereka cukuplah dengan ingatan dan kasih sayang yang berterusan.

Dalam meniti usia tua, sesungguhnya ibu dan bapa mengharapkan perhatian dan kasih sayang dari anak-anak mereka. Itu sudah memadai bagi mereka dan bukannya pemberian emas dan permata. Adakah anak-anak yang telah dewasa dan berjaya dalam hidup akan sedar tentang tanggungjawabnya terhadap ibu dan bapa?
Kita tentu merasa sedih bila membaca dan melihat ada anak-anak yang tidak menghiraukan ibu bapa mereka yang telah tua. Lebih malang, ada yang tergamak menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. Tindakan sedemikian merupakan perbuatan yang tidak bertanggung-jawab.

Jelas, ia menampakkan anak-anak yang tergamak berbuat demikian tidak mempunyai perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap ibu dan bapa mereka. Anak-anak sedemikian sering memberi alasan bahawa mereka terlalu sibuk dengan urusan mereka sendiri sebagai alasan untuk melepaskan diri dari tanggung-jawab menjaga ibu bapa mereka.

Hakikatnya, menjaga kedua ibu dan bapa bukanlah satu bebanan. Mengapa anak-anak tidak sanggup berkorban sedikit menjaga ibu dan bapa mereka yang sudah tua sedangkan ketika kecil dahulu ibu dan bapa telah begitu banyak berkorban untuk masa depan anak-anak mereka?.
Lebih memilukan masih ada lagi di kalangan anak-anak yang menderhakai ibu dan bapa, melayani mereka seperti hamba atau orang gaji sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran, firman Allah SWT (yang bermaksud): Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sudah tua dalam jagaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (al-Isra': ayat 23)

Ibu dan bapa adalah dua insan yang patut dan mesti di hormati dan dikasihi. Tanpa keduanya siapalah kita. Kedua mereka perlu dijaga dan dihargai terutama di usia tua mereka. Jangan sampai kita terlupa sesuatu di mana dalam mengejar kemewahan hidup, kita telah menyingkir ibu dan bapa kita. Kita terlupa memberi ruang waktu untuk berkhidmat bakti kepada mereka.

Peringatkanlah kepada sesiapa sahaja bahawa sesungguhnya dosa kepada kedua ibu dan bapa akan disegerakan balasannya oleh Allah SWT, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, bermaksud: Semua dosa diakhirkan oleh Allah menurut kehendakNya sehingga hari kiamat kecuali dosa menderhakai ibu bapa kerana sesungguhnya Allah menyegerakan (seksaan) bagi pelakunya sewaktu hidup sebelum dia mati. (riwayat Bukhari, Tabrani dan Hakim daripada Abu Bakr r.a.)

Iktibar berpedoman bagi kita semua ialah supaya kita mengasihi ibu bapa sebagaimana mereka mengasihi, mendidik dan mengasuh kita ketika kecil. Hidup ini hanya sementara. Carilah laluan terbaik agar kita tidak kecundang selamanya. Biarlah pengisian sementara ini bermakna buat kita selamanya. Kasihi dan kasihanilah ibu dan bapa kita setiap detik yang ada.

Insya-Allah hidup kita berkat selamanya sebagaimana yang diajarkan dalam al-Quran doa untuk keduanya: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Isra': ayat 24)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...