بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, June 29, 2011

Tuntutan Mendidik dan Mengawal Nafsu

Kejayaan kekang nafsu bentuk insan terbilang

2011/06/23

SEORANG yang memiliki sifat unggul sangat beruntung kerana ia mampu mengemudi hidupnya dengan sempurna. Keadaan itu membuatkan ia dapat berperanan dengan baik kepada dirinya dan alam sekeliling. 

Manusia unggul akan berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebaik-baiknya serta sentiasa dapat memenuhi tuntutan rohani dan jasmani dengan terkawal. Aspek rohani dan jasmani manusia terdiri daripada empat perkara asas iaitu akal fikiran, roh, jasad dan syahwat.


Aspek rohani dan jasmani itu akan dapat dididik dan dipandu berdasarkan fitrah kejadian manusia sebagai makhluk istimewa dan khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi.

Akal fikiran diciptakan Allah adalah mahkota berharga yang menampilkan imej manusia berkeupayaan menerima ilmu, berfikir, membezakan yang baik dan buruk, boleh diajar dan dididik serta menyampaikannya kepada orang lain. 

Melalui akal, seseorang itu mendapat hidayah serta petunjuk Allah menerusi pemerhatian dan penghayatan terhadap kejadian alam dan ajaran yang disampaikan orang lain. 

Al-Quran menggesa manusia menggunakan akal fikiran, memerhati dan mengkaji kejadian alam. Pemerhatian dan pengkajian ini mempunyai faedah besar iaitu memenuhi dan mempertingkatkan kemajuan hidup yang kemudian menemui hakikat kebesaran Allah sebagai Pencipta Maha Agung. 

Selaku makhluk yang mempunyai daya akal dan keupayaan akan tunduk patuh kepada kekuasaan Allah dengan penuh kesedaran dan melaksanakan kehidupan ini dalam situasi yang betul dan menuju keredaan Allah. 

Roh dan nyawa komponen utama manusia. Terlalu sulit untuk diperkatakan kerana ia sebenarnya urusan Allah. Walau demikian, ia amat mustahak kerana dengannya manusia boleh hidup, bernafas, mendenyutkan nadi, memberikan dorongan dan kekuatan perasaan. 

Satu lagi komponen manusia ialah jasad yang merangkumi kulit, daging, otot, urat, darah, tulang dan anggota pancaindera lain. Masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dan menyempurnakan antara satu sama lain sesuai dengan kejadian manusia dijadikan Allah sebagai sebaik-baik kejadian. 

Seseorang terdidik dengan nilai unggul, jasadnya akan bergerak di atas panduan yang betul. Dia akan menggunakan kudratnya melakukan kerja yang baik, rehat dan tidur dengan seimbang, memakan makanan bersih dan halal, menjaga kesihatan diri, mengguna dan memelihara pancaindera dari sebarang kemudaratan. 

Firman Allah yang bermaksud: 

“...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195) 

Jelasnya jasad perlu dijaga supaya tidak terdedah kepada kebinasaan, penyakit dan sebarang kecacatan kerana kesempurnaan jasad turut membantu keunggulan hidup seseorang. 

Unsur seterusnya yang dikurniakan kepada manusia ialah nafsu syahwat. Imam al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar, bermakna ia sesuatu yang sukar dikawal. Jika nafsu dapat dididik dan dikawal, ia akan menjadi jinak dan tunduk menurut segala kemahuan manusia. 

Tetapi jika ia tidak dididik dan dikawal, dengan mudah ia menjadi raja kepada diri seseorang untuk melakukan apa saja kemahuan yang lebih cenderung kepada keburukan. 

Firman Allah yang bermaksud: 

“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang yang sudah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).” (Surah Yusuf, ayat 53) 

Bagi memenuhi keinginan syahwat ini, Islam membenarkan perkahwinan. Justeru, umat manusia akan berkembang dengan cara yang betul di samping sebagai salah satu nikmat kurniaan Allah dalam hidup berkeluarga. 

Jelasnya, kejayaan atau kegagalan seseorang melaksanakan tanggungjawab khususnya kepada diri sendiri bergantung kepada berjaya atau gagalnya ia memenuhi tuntutan keempat-empat perkara itu. Aspek ini asas pembangunan keluarga, masyarakat dan negara. 

Bahagian Pene rbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...