Amalan berhutang sudah pun berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi, seperti kisah Nabi Muhammad SAW yang berhutang seekor unta. Kemudian baginda membayar hutang untanya tadi dengan unta yang lebih besar dan lebih baik daripadanya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu, ialah orang yang melebihkan hutang dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil).”
Kini, berhutang sudah menjadi ‘trend’ dalam kehidupan masyarakat. Untuk memiliki kenderaan, perabot rumah dan apa saja keperluan hidup dengan cepat, maka tidak dapat tidak seseorang itu perlu berhutang.
Tetapi malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak pula berusaha melangsaikan pembayaran hutang mengikut perjanjian dibuat. Adakalanya orang membuat jaminan terpaksa memikul beban kerana kedegilan si berhutang.
Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik sesuatu hutang yang dibuat.
Rasulullah SAW mengingatkan kita semua orang yang berharta asyik menangguhkan pembayaran hutang yang sudah dibuat termasuk dalam perbuatan zalim.
Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah Amir yang bermaksud: “Jangan kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: “Hutang.”
Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-Qardhu atau potongan. Dari segi bahasa membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan.
Dalam Islam hutang dan sedekah mempunyai pertautan yang amat rapat dan dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Hutang dari segi pahala, lebih dua pahalanya daripada pahala sedekah”. (Hadis Hasan).
Dalam kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah sebuah pintu syurga kata-kata bermaksud: “Sedekah bersamaan 10 kali ganda dan hutang bersamaan 18 kali ganda”.
Lalu baginda bertanya kepada Jibril: “Mengapa demikian? Jawab Jibril: “Sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang kalau tidak kerana sebab mendesak.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya”. (Riwayat Muslim).
Pun begitu, memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila bertujuan memenuhi keperluan yang begitu mendesak, seperti membantu orang yang sangat memerlukan, menghadapi musibah atau apa jua bencana alam dan golongan manusia yang termasuk dalam golongan kurang upaya.
Ini bersesuaian dengan kehendak Allah seperti tercatat dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwa kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya”.
No comments:
Post a Comment