Allah permudah jalan ke syurga bagi pencinta ilmu
Oleh Zahiruddin Zabidi
2011/05/19
ISLAM meletakkan ilmu di tempat tertinggi dalam kehidupan manusia. Ini terbukti dengan penurunan wahyu pertama iaitu arahan, ‘Bacalah!’.
Ibnu Kathir menerangkan, ayat itu adalah rahmat Allah kepada hamba-Nya, sekali gus menjadi nikmat pertama diberikan kepada manusia. Dalam ayat itu termuat peringatan mengenai kejadian manusia yang berasal daripada segumpal darah.
Antara kemurahan Allah juga, manusia diajar ilmu yang tidak diketahui mereka. Allah memuliakan hamba-Nya dengan ilmu yang diberikan. Inilah antara sebab mengapa Nabi Adam lebih mulia daripada malaikat.
Ada kala ilmu itu berada dalam fikiran, secara lisan dan juga penulisan. Memperoleh ilmu melalui akal, lisan dan tulisan adalah perkara yang harus dalam pemerolehan ilmu.
Oleh itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia dengan kalam. Dia mengajar manusia kepada apa yang mereka tidak tahu.” (Surah al-Alaq, ayat 3-5)
Dalam Sunan A-Darimi, bab Min Rukhsatil Kitabil Ilm dinyatakan: “Ikatlah ilmu itu dengan tulisan.” Kemudian disebut juga: “Sesiapa yang mengamalkan apa yang diketahuinya, Allah akan mewariskan apa yang mereka tidak tahu sebelumnya.”
Selain itu, banyak hadis yang direkodkan daripada Nabi Muhammad SAW mengenai kepentingan dan keutamaan ilmu. Daripada Anas bin Malik, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap seorang Islam.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang memasuki sesuatu jalan bagi menuntut ilmu, Allah akan mudah kepadanya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)
Ketinggian dan kepentingan ilmu terbukti apabila dikatakan bahawa dengan menuntut ilmu maka jalan ke syurga akan menjadi mudah. Ini adalah janji Allah melalui nabi-Nya dan kita wajar mengejar peluang itu.
Begitu juga dengan jelas Rasulullah menerangkan penting dan besarnya sesebuah majlis ilmu dengan merujuk kepada sabda yang bermaksud: “Sesiapa pergi ke masjid hanya bagi mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka dia akan dapat pahala ibarat orang yang buat haji secara sempurna.” (Hadis Hasan, Sahih Al-Tarhib wal Targhib)
Selain daripada belajar ilmu seperti mana disarankan oleh Allah dan Rasul, orang Islam juga wajib mengajar orang lain apabila sudah cukup syaratnya.
Hal ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Mas’ud yang bermaksud: “Daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah al-Quran dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah pelbagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara difardukan, yang mereka tidak dapat seorang pun boleh menyelesaikan perkara diperselisihkan itu.” (Hadis riwayat Ad-Darimi dan Ad-Daruqutni)
No comments:
Post a Comment