بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, June 4, 2011

Rahsia cap jari

Rahsia cap jari
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2010/06/20
Bentuk pola mampu dedahkan personaliti, potensi individu

pix_gal0

Foto
Hanizah (kanan) dibantu pekerjanya menganalisis cap jari pelanggan.

 Foto


CAP jari selama ini hanya digunakan sebagai asas pengenalan diri, sistem keselamatan sama ada untuk keperluan forensik ataupun mengenalpasti identiti penjenayah.

Namun tidak ramai yang ketahui cap jari itu mampu mendedahkan rahsia sebenar diri individu termasuk personaliti dan potensi dirinya. Ini hasil teknologi analisis imbasan cap jari yang boleh menyerlahkan bakat semula jadi insani hasil bawaan genetik. Malah cap jari itu disifatkan pakar umpama berlian yang hanya menanti masa untuk dicanai bagi merungkai rahsia diri seseorang.

Jika bakat adalah kemampuan diwarisi dalam diri seseorang yang dibawa sejak lahir dan berkaitan struktur otak, analisis cap jari adalah sistem mengenali potensi genetik seseorang berdasarkan sains dermatoglifik - ilmu yang mempelajari pola cap jari termasuk hujung luar derma kulit jari, telapak tangan dan tapak kaki yang sudah wujud selama lebih 200 tahun dalam sejarahnya.

Kebarangkalian memiliki cap jari sama pula disifatkan amat mustahil iaitu pada nisbah 1 setiap 64 juta atau hampir mustahil walaupun pada anak kembar. Ini kerana ia mula terbentuk sejak embrio berusia 13 minggu dalam kandungan ibu, lengkap pada usia 24 minggu dan terus berkembang seiring perkembangan sel otak.

Dermatoglifik pula adalah tiga pola dasar rupa bentuk cap jari iaitu arches atau lengkungan, simpulan (loops) dan lingkaran (whorls) atau gabungan ketiga-tiganya. Analisis cap jari ini menjadi antara khidmat yang disediakan syarikat perundingan, Airborne Discovery Sdn Bhd yang berpejabat di Shah Alam, Selangor.
Pengurusnya, Hanizah Ujang, berkata cap jari adalah bahagian tubuh yang bersifat kekal dan tidak pernah berubah.

“Cap jari adalah unik dan tersendiri bagi setiap individu dan mampu menggambarkan watak terperinci setiap orang. Memandangkan pertumbuhan cap jari bermula bagi embrio berusia 13 minggu dan perkembangannya pula seiring pertumbuhan otak. Pembentukan pola garis cap jari menggambarkan cara kerja dan fungsi bahagian otak,” katanya.

Namun, tegas Hanizah, tujuan dan manfaat analisis cap jari adalah untuk mengetahui potensi bakat, kecerdasan, watak dan motivasi individu dan tiada kena mengena dengan perbuatan meramal masa depan seperti menilik nasib berasaskan tapak tangan (Palmistry) dan sebagainya.

“Kaedah ini boleh dijadikan sumber rujukan berdasarkan potensi genetik untuk menentukan kejayaan masa depan, bukan untuk mengetahui masa depan. Memandangkan analisa dibuat melalui teori dan metodologi ilmiah dan proses perhitungan logik maka laporan adalah tepat berdasarkan data statistik dan biometrik.

“Masyarakat kini tidak lagi meletakkan kepentingan akademik sebagai kayu pengukur kejayaan dalam hidup secara seratus peratus, potensi bakat juga dilihat dan dinilai dalam diri seseorang kerana sebagai manusia kita dilahirkan unik. Ada kalanya kelebihan orang lain adalah kekurangan pada kita dan di situlah cabaran untuk kita memperbaiki diri,” katanya.

Bagi anak ‘auditory’ (gemar belajar dengan iringan suara, muzik dan bahasa) misalnya perlukan pendekatan berbeza berbanding anak kinestetik (menyukai pembelajaran dengan gerakan, pancaindera dan praktikal) dan visual (menyukai pembelajaran dengan gambar, grafik, foto dan tampilan). Begitu juga kedudukan mereka dalam kelas dan cara untuk berkomunikasi dengannya atau kalangan majikan, pekerja, pelajar, ibu, bapa dan individu lain.

Menurut Hanizah, teknologi analisis cap jari mula dipelopori lebih 25 tahun lalu di Amerika Syarikat (AS) terutama bahagian forensik Agensi Perisikan Pusat (CIA). Hanya selepas dua tahun kaedah ini tersebar di Singapura dan Indonesia barulah ia sampai ke sini.

Katanya, sejak mula beroperasi lebih dua tahun lalu, syarikat Airborne Discovery sudah mempunyai 5,000 pangkalan data sampel cap jari. Kaedah ini bukan saja banyak memberi manfaat kepada ibu bapa dan anak-anak sebagai panduan memilih jurusan yang sesuai berdasarkan potensi diri, mengesan gaya pembelajaran yang sesuai dan efektif malah berupaya merancang masa depan dan kerjaya yang sesuai dengan bakat.

“Kaedah analisis ini besar manfaatnya kepada pembangunan sosio-ekonomi negara terutama kalangan perunding motivasi dalam membina sahsiah diri, majikan, ketua jabatan, guru-guru khidmat bimbingan dan kaunseling, penghuni pusat pemulihan akhlak serta pesalah juvana, golongan berkerjaya malah pasangan yang bakal melangkah ke alam perkahwinan.”

Bagi menjaga sensitiviti pelanggan yang majoriti beragama Islam, kaedah ini mempunyai panel syariah sendiri iaitu Penasihat dakwah untuk Kerajaan Negeri Selangor, Dr Azahar Yaakob yang juga Pensyarah Pengajian Islam UTM dan diiktiraf Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Kami juga menitikberatkan soal keselamatan data yang tersimpan dalam pangkalan datanya. Menjadi amalan penganalisis untuk memusnahkan imej sampel cap jari mengikut tempoh yang sudah ditetapkan iaitu satu hingga tiga bulan,” katanya

8 perkara asas analisis cap jari

“Sejak kecil hingga berkahwin dan beranak pinak, satu soalan yang masih sukar untuk dijawab hingga kini ialah adakah salasilah dalam keluarga yang berkahwin dengan orang asing? Adakah saya berdarah campur?” kata Zenora Ibrahim, 35, salah seorang pelanggan Airborne Discovery Sdn Bhd.
Pelbagai soalan timbul kerana pertama mungkin rupa paras, nama selain perwatakannya yang ceria, mesra dan mudah untuk didekati.

“Hidup tanpa kepastian memang cukup menyeksakan, dan maklumat mengenai salasilah keluarga menjadi semakin sukar kerana perpisahan dan juga kematian, jadi saya hilang punca dan tiada sumber untuk merujuk hal berkaitan keturunan dan darah,” kata Eksekutif Perhubungan Awam di sebuah firma swasta di ibu negara.

Mengetahui mengenai kaedah yang diperkenalkan AD selepas terlihat pameran mereka di sebuah pusat membeli belah. Selepas membuat temujanji semua persoalan semakin jelas.

“Analisis itu ternyata satu kejutan buat saya, berdasarkan rupa bentuk atau pola cap jari jenis lengkungan (arches), saya memang sah berdarah kacukan. Apapun, salasilah keturunan dan bangsa masih lagi satu misteri namun apa yang pasti arwah moyang saya adalah seorang guru taranum begitu juga ibu yang berbakat mengaji dengan baik manakala ayah yang berkebolehan bermain muzik.”

Hasil analisis itu juga menjelaskan ibu kepada tiga orang anak ini punya kecenderungan yang besar terhadap muzik. Laporan itu turut mendedahkan tabiat Zenora sewaktu menuntut yang tidak boleh belajar tanpa mendengar muzik. Ternyata Zenora jatuh dalam kategori pelajar auditory iaitu lebih menyukai pembelajaran dengan suara, muzik dan bahasa.

Laporan itu turut menggambarkan bahawa otak kanan Zenora yang mewakili kreativiti, warna, seni, visual, intuisi, idea, khayalan, muzik, bentuk dan ruang lebih dominan berbanding otak kiri, yang begitu cenderung terhadap sesuatu yang artistik.

Apa yang sebenarnya berlaku adalah, perisian khas analisis imbasan cap jari akan memproses dan menilai lapan subjek atau perkara menerusi data yang diperoleh iaitu Ujian otak kanan otak kiri; Ujian potensi kompetensi multiple intelligence; Ujian pengambilan/penempatan pekerja; Ujian gaya belajar; Ujian kepekaan belajar; ujian keperibadian; Alternatif kerjaya dan Cadangan gaya kerja.

Laporan analisis oleh penganalisis yang siap akan dicetak dan dibukukan dalam Buku Bakat. Menerusi laporan analisis ini penganalisis akan berbincang dengan pelanggan mengenai maksud, interpretasi dan cadangan-cadangan untuk dijadikan panduan dalam merancang kejayaan dan masa depan pelanggan di mana proses ini hanya mengambil masa kurang dari 30 minit.

Laporan analisis ini juga membolehkan penganalisa mengesan Kecerdasan secara majmuk (multiple intelligence) supaya pelanggan lebih fokus dan terarah pada bidang tugas yang paling sesuai dengan potensi dan bakatnya.

INFO: Proses cap jari

  Sampel cap jari peserta diambil (sepuluh jari satu persatu)

  Sistem komputer mengumpulkan dan menganalisa data cap jari

  Perisian khas akan menganalisa data cap jari berdasarkan ilmu Neuroscience dan Dermatoglifik

  Fungsi kerja otak dipetakan

  Laporan Hasil Analisa Potensi Bakat dan proses rundingan.

Boleh baca 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...