بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, April 21, 2012

Zakat ke atas hutang

Soalan
BENARKAH apabila saya memberikan hutang kepada seseorang, maka saya masih wajib mengeluarkan zakat ke atas hutang berkenaan? Bolehkah saya memberikan terus hutang itu dan saya niatkan ia sebagai zakat?

Jawapan
Islam adalah agama ta'awun, yakni saling tolong-menolong. Memberi hutang dianggap mulia, kerana ia memberikan jalan keluar kepada saudara seagama dalam kemelut kehidupan. Nabi Muhammad SAW menyatakan: "Pinjaman dua dinar yang aku pinjamkan (beri hutang) kemudian dikembalikan lagi, seterusnya aku pinjamkan lagi adalah lebih aku cintai daripada aku bersedekah dengannya." (disebut oleh al-Manawi dalam Faydh al-Qadir Syarh al-Jami' al-Saghir, rujuk Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita, hal. 100).

Oleh itu, dalam menanggapi isu zakat hutang, maka para fuqaha mempunyai pandangan yang pelbagai terhadapnya. Umumnya, jumhur fuqaha menyatakan, bahawa hutang yang diberikan kepada orang lain, maka adalah wajib zakat ke atasnya apabila harta yang dihutangkan itu diperoleh kembali dan wajib dibayar atas zakatnya bagi masa-masa yang berlalu.

Namun, ada juga yang berpandangan bahawa hutang itu tidak wajib dizakatkan, justeru ia adalah harta yang hakikatnya tidak berada dalam kekuasaan si penghutang (orang yang memberikan hutang). Maka, kewajipannya hanya datang setelah harta itu diperoleh kembali dan disyaratkan cukup nisabnya dan dimiliki selama setahun.

Dalam hal ini, amalan di Lembaga Zakat Selangor (LZS) khususnya, pengiraan zakat ke atas hutang adalah diambil kira sebagai sempurna milik seandainya orang yang berhutang menjelaskannya kembali pada tahun semasa sebagaimana yang dijanjikan. Misalnya, si A berjanji menjelaskan hutang kepada saudara dalam tempoh tiga bulan, dan dia menepati janjinya, maka saudara hendaklah mencampurkan hutang yang diperoleh dengan wang saudara yang lain dan dikirakan zakat ke atasnya.

Manakala, bagi orang yang berhutang dengan saudara, fuqaha turut berselisih pendapat di sini sama ada ia boleh diberikan terus sebagai zakat atau tidak. Ini kerana, ada yang mensyaratkan wajib menyerahkan zat harta kepada asnaf zakat.

Namun, merujuk kitab, Abhas Fiqhiyah Fiqadaya az-Zakah al-Mua'ssarah oleh Dr. Muhammad Sulaiman al-Asykar dan teman-temannya, iaitu dalam bab memberikan zakat, sama ada dalam bentuk zat dan manfaat, maka adalah dibolehkan bagi menyerahkan harta zakat walaupun dalam bentuk manfaat semata-mata.

Jadi, apabila saudara menyerahkan terus hutang yang membebani si pemiutang, maka walaupun tiada perpindahan harta zakat (yakni wang) di sini namun sudah berpindah manfaat harta zakat. Orang yang berhutang sudah dibebaskan daripada belenggu hutang dan menurut sebahagian fuqaha ia dibolehkan.

Kesimpulannya, zakat ke atas hutang masih perlu dikira apabila hutang itu dibayar oleh pemiutang dan dimasukkan dalam kiraan tahun semasa. Boleh menyerahkan hutang kepada pemiutang sebagai zakat, demi kemaslahatan mereka dan tidak pula dengan tujuan melarikan diri daripada membayar zakat kepada pihak yang berkuasa. 

Wallahua'lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...