بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, April 2, 2012

Melahirkan generasi patuh pelihara solat


Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

2012/04/02
DALAM khutbah Jumaat, khatib sentiasa memperingatkan jemaah agar bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Peringatan setiap mingguan itu suatu perlambangan bahawa takwa menjadi teras utama dalam kehidupan seseorang mukmin.

Salah satu tanda orang yang kuat ketakwaannya kepada Allah ialah memelihara solat. Dalam situasi tubuh badan sihat mahupun sakit, orang yang bertakwa akan solat apabila sampai waktu ditetapkan. Ketika kelapangan ataupun sibuk, jadual waktu solat tetap dijaga dengan sempurna.
Umar al-Khattab sebagai contoh begitu peka terhadap aspek solat dan hal demikian dapat kita teliti menjelang kematiannya yang masih memperingatkan mukmin agar memelihara solat.

Dengan linangan air mata menahan kepedihan selepas ditikam, beliau bersuara perlahan: “Takutlah kepada Allah, takutlah kepada Allah dalam masalah solat, tidak ada bahagian apa dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat.”

Seseorang ibu bapa ataupun mungkin di kalangan sahabat sentiasa memberikan nasihat dalam aspek solat, maka ia memberikan suatu gambaran terbentuk masyarakat yang diredai Allah yang sentiasa memfokuskan kepada kehidupan bersyariat yang kukuh.

Melahirkan generasi Islam yang kuat kepatuhannya dalam memelihara solat seharusnya bermula di rumah. Sebarang pengabaian dalam perkara ini akan meninggalkan ‘parut’ yang buruk terhadap pembentukan masyarakat pada masa akan datang.

Gejala sosial kebelakangan ini banyak berpunca daripada faktor pengabaian solat. Selagi kesedaran mengenai kepentingan memelihara solat tidak tertanam kuat dalam jiwa anak, selagi itulah hawa nafsu dan syaitan dapat menakluk jiwa manusia. Maka, di sini dapat kita andaikan bahawa solat adalah salah satu benteng atau perisai buat generasi muda dalam menghadapi cabaran hidup di dunia ini. 

Kekuatan daya intelek yang tinggi tanpa diselit dengan unsur rohani yang mantap memungkinkan senangnya seseorang itu tersembam ke lurah hina dan dimurkai Allah. Kita harus mencontohi Luqman al-Hakim bagaimana dia begitu sayangkan anaknya dengan diterjemahkan melalui nasihat mengenai amalan bersyariat dituntut seperti solat.

Kata beliau kepada anaknya: “Wahai anak kesayanganku. Dirikanlah sembahyang dan berbuat kebaikan serta elakkan daripada melakukan perbuatan mungkar. Dan bersabar atas segala bala bencana menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu daripada perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

Jika meneliti secara nasihat Luqman itu tadi, maka beliau meletakkan aspek menjaga solat sebagai perkara utama dalam nasihat kepada anaknya itu. Ini contoh terbaik bagaimana sikap seorang ayah yang sayangkan anaknya agar tidak tergelincir daripada landasan hidup yang menyeleweng daripada lunas agama. Dalam memberikan nasihat kepada anak, sewajarnya nasihat mengenai solat perlu diutamakan sebelum meneruskan nasihat dengan aspek keduniaan yang lain.

Ini kerana apabila soal asas dalam agama dapat diamalkan dengan jaya oleh anak, maka apa saja nasihat kita berhubung aspek lain akan mudah diterima mereka.

Menasihat dan mendidik anak supaya memelihara solat bermakna kita menanam rasa cinta kepada Allah. Kebiasaannya anak yang mempunyai bekalan agama yang kuat akan terhindar daripada terjebak dalam perbuatan hina dan mungkar.

Jiwa mereka sudah dipenuhi dengan cahaya iman lebih awal sekali gus membolehkan mereka menterjemahkannya dalam sahsiah peribadi diri yang murni.

Apabila habblumminallah sudah termeteri kuat, maka habblumminnas akan tercerna dalam keadaan yang kondusif. Sikap dalaman atau akhlak mahmudah akan mudah terpamer dalam karakter dan ini akan melahirkan masyarakat sejahtera.

Gejala sosial diwarnai unsur maksiat dan mungkar hanya dapat dikurangkan apabila wujud generasi yang kuat disiplinnya dalam aspek memelihara solat.

Ia seolah-olah satu rantaian dalam kehidupan manusia. Ini kerana apabila kepentingan solat terbina kukuh dalam diri anak, maka roh solat itu akan menjalar pula ke arah aspek lain dalam kehidupan. Namun, jika solat terabai, rantaian kelalaian terhadap Allah akan membawa padah buruk kepada gaya hidup mereka.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...