بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, April 4, 2012

Pemimpin pencorak masa depan negara


Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2012/04/03

Contohi kewibawaan Rasulullah bentuk pasukan kuat sebar Islam 

PERSOALAN kepemimpinan adalah satu persoalan penting dalam Islam kerana ia akan menentukan serta mencorakkan nasib bangsa, masyarakat dan negara. Sejarah membuktikan salah satu ciri masyarakat unggul dan negara berjaya ialah memiliki pemimpin berwibawa, tegas, adil dan mengutamakan kepentingan rakyat. Islam menegaskan bahawa kepemimpinan adalah satu persoalan yang tidak boleh diabaikan dalam konteks pembangunan masyarakat dan pembinaan negara maju dan al-Quran memberikan isyarat jelas adanya hubungan positif antara pemimpin yang baik dengan tahap kesejahteraan negara.


Salah satunya adalah kisah Nabi Yusuf yang diberikan amanah memegang portfolio kewangan dan ekonomi Mesir ketika itu. Nabi Yusuf dengan bermodalkan sifat kejujuran dan kecerdasannya, mampu menyelamatkan bumi Mesir daripada krisis kebuluran serta ekonomi ketika itu. 

Firman Allah yang bermaksud: “Yusuf berkata: Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana saja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa saja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Yusuf, ayat 55-56) 

Di bawah kepemimpinan Nabi Yusuf AS, Mesir terus makmur dan aman damai dilimpahi nikmat Ilahi meskipun dunia pada ketika itu menyaksikan krisis ekonomi yang dahsyat. 

Begitu juga kepemimpinan Rasulullah SAW yang berjaya mencipta revolusi peradaban unggul pada zamannya hanya dalam tempoh 23 tahun. Baginda SAW adalah pemimpin luar biasa dan tiada tandingannya sehingga kini. 

Pada masa sama, pembabitan sahabat dimanfaatkan sepenuhnya sehingga mereka berperanan sebagai ejen perubahan masyarakat yang berjaya merubah dunia di bawah naungan Islam yang indah. 

Personaliti seperti Abdul Rahman bin Auf dengan potensi dan kekayaan dimilikinya dimanfaatkan Rasulullah SAW sebagai kunci penting yang berupaya menggerakkan serta merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat. 

Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar pula dilatih Rasulullah SAW sebagai negarawan yang akan menerajui negara selepas Baginda SAW. Di samping itu, Khalid bin al-Walid diasuh dan dibimbing sebagai panglima perang digeruni dunia ketika itu. Ali bin Abi Talib pula dididik menjadi ilmuwan dan pemimpin sejak muda lagi. 

Demikianlah sebahagian contoh ketokohan sahabat Rasulullah SAW yang menempa tinta emas dalam sejarah peradaban Islam. Paling hebat, Rasulullah SAW berjaya membina satu pasukan unggul dan padu sehingga dakwah Islam tersebar luas ke seluruh penjuru dunia. 

Semua ini membuktikan persoalan kepemimpinan bukanlah satu persoalan kecil yang boleh dipermainkan. Sebaliknya ia adalah satu persoalan serius yang kelak akan dipersoalkan di hadapan Allah pada hari kiamat. 

Justeru, Islam memberi peringatan kepada umatnya untuk berhati-hati dalam memilih pemimpin kerana salah pilih bererti turut sama menyumbang ke arah kesengsaraan masyarakat dan kehancuran negara. 

Ini bermakna tanggungjawab seorang pemimpin sangat besar, baik di hadapan Allah SWT mahupun di hadapan manusia. Maka wajarlah Rasulullah SAW tidak pernah dapat tidur lena dan nyenyak sebelum memastikan masyarakat di bawah kepimpinannya tidur nyenyak terlebih dulu. 

Bahkan, keadaan sedemikian terbawa-bawa sehingga menjelang kewafatannya, Rasulullah SAW masih bimbangkan keadaan umatnya. Begitulah teladan luar biasa, Rasulullah SAW masih ingatkan nasib umatnya hingga nyawa berpisah dari jasad sekalipun. 

Akhirnya, Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa pemimpin yang baik serta adil akan menjadi salah satu daripada tujuh golongan mendapat naungan dan perlindungan Ilahi pada hari kiamat kelak. 

Sebaliknya pemimpin yang kejam dan tidak amanah pula adalah salah satu daripada tiga kelompok yang dikategorikan sebagai penyakit kronik dalam agama yang hanya mengakibatkan kemudaratan serta kesengsaraan bagi agama, bangsa dan negara.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...