Oleh TUAN ASMAWI TUAN UMAR
SETIAP manusia memerlukan pasangan hidup yang berupaya mencurahkan ketenangan dan kebahagiaan antara satu sama lain.
Ia adalah perkara lazim sebagai manusia biasa kepada Rasulullah SAW biarpun baginda merupakan seorang insan berdarjat tinggi sehingga mendapat pengiktirafan sebagai kekasih Allah SWT.
Keluhuran akhlak dan budi baginda Rasulullah SAW bukan sahaja terserlah di kalangan para sahabatnya sahaja, malah ia dijelmakan juga amalan dalam konteks komunikasi suami isteri yang sekali gus menjadi platform kukuh kepada keharmonian rumah tangga baginda.
Tanggungjawab dan amanah yang digalas oleh baginda sebagai pemimpin ummah yang menjadi perantara dengan Allah SWT bukanlah satu kerja mudah.
Sudah pasti ia melalui pelbagai dugaan dan ujian yang menuntut baginda memerlukan keluarga atau dengan kata lain, isteri di samping baginda bagi memperoleh belaian kasih mesra.
Rasulullah terlalu berhemah dalam melayani dan menyantuni isteri baginda. Pernah pada satu ketika apabila Rasulullah hendak melaksanakan solat malam iaitu qiamullail, baginda mendekati isterinya Saidatina Aisyah r.a. sehinggakan Saidatina Aisyah berkata: "Di tengah malam baginda mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku seraya baginda berbisik, "Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadat kepada Tuhanku."
Cuba kita bayangkan betapa besar penghormatan dan santunan Rasulullah kepada isterinya, sehinggakan ketika baginda hendak melakukan solat malam, baginda terlebih dahulu meminta izin kepada isterinya pada tengah malam, di saat isteri memerlukannya.
Situasi meminta izin itu menggambarkan kecintaan dan penghormatan Rasulullah terhadap isterinya.
Selain ilmu pengetahuan, melayari bahtera kehidupan rumah tangga juga menuntut setiap pasangan mempelajari erti kesabaran. Nabi Muhammad SAW adalah seorang suami yang sangat sabar dalam menyantuni kerenah isterinya.
Hal ini terlihat apabila suatu hari salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirim kepada Rasulullah SAW yang sedang tinggal di rumah Saidatina Aisyah.
Saidatina Aisyah dengan sengaja menjatuhkan kiriman itu hingga piringnya pecah dan makanannya jatuh berderai.
Rasulullah SAW hanya mengatakan: "Wahai Aisyah, kifaratnya adalah mengganti makanan itu dengan makanan yang sama."
Sebab itu, Rasulullah mengecam suami-suami yang suka memukul isteri-isteri mereka.
Rasulullah bersabda: "Aku hairan melihat suami-suami yang menyeksa isterinya, padahal dia lebih patut disiksa oleh Allah SWT."
Baginda juga mengecam suami-suami yang menghinakan isteri-isteri mereka, tidak tahu menghargai, sukar diajak berunding dalam menyelesaikan sesuatu perkara terutama yang berkaitan kedamaian dan keharmonian suami isteri, serta tidak mempertimbangkan isterinya dalam mengambil keputusan.
Nabi Muhammad pernah bersabda: "Tidak akan pernah memuliakan isteri kecuali lelaki yang mulia dan tidak akan pernah menghinakan isteri kecuali lelaki yang hina."
Oleh itu, kita sebagai suami menjadi suatu kewajipan untuk memartabatkan pasangan hidup dengan selayaknya.
Barangkali masyarakat perlu membuka minda seluas-luasnya bagi mengikis tanggapan bahawa seseorang suami yang menyantuni isterinya dikatakan orang yang 'takut isteri' atau dengan gelaran biasanya 'takut bini'.
Perkara sedemikian walaupun bagi sesetengah pihak hanya bersifat gurauan sudah pasti lama-kelamaan akan menjadi keganjilan bagi seseorang suami untuk melayani dan menyantuni isteri mereka, terutama apabila di hadapan khalayak ramai kerana takut dilabel 'takut bini'.
ARKIB : 11/04/2012
No comments:
Post a Comment