بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, April 1, 2012

Kehebatan al-Quran


Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2012/04/01

PADA satu hari, ada seorang lelaki menemui Ibnu Mas'ud, sahabat Rasulullah SAW untuk meminta nasihat. Katanya: "Wahai Ibnu Mas'ud! Berilah kepadaku nasihat yang dapat aku jadikan penawar jiwaku yang sedang resah gelisah ini. Dalam beberapa hari ini, aku tidak merasai ketenangan, jiwaku tidak tenteram dan fikiranku gundah gulana. Makanku pun tak lalu dan tidur pun tak lena."


Lantas Ibnu Mas’ud pun menasihatinya: “Kalau itu penyakit yang sedang menimpamu, maka bawalah dirimu mengunjungi tiga tempat ini. Pertama, datanglah ke tempat orang yang sedang membaca al-Quran. Di sana kamu akan ikut sama membaca al-Quran atau cukuplah sekadar kamu mendengar bacaan al-Quran dengan khusyuk.


“Kedua, pergilah kamu ke tempat majlis ilmu yang akan mengingatkan hatimu kepada Allah Yang Maha Agung. Ketiga, carilah tempat yang sunyi di malam yang sepi. Di sana kamu hendaklah menyendiri bersama Allah SWT pada waktu malam yang gelap gelita untuk kamu mendirikan solat tahajud, lalu kamu mohonlah kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kesucian hati.”

Setelah orang itu kembali ke rumahnya, nasihat sahabat Rasulullah SAW itu terus diamalkannya. Dia mengambil wuduk dengan sempurna, lalu mengambil al-Quran. Dia terus membacanya dengan penuh tertib dan khusyuk. 


Selesai membaca al-Quran, berubahlah jiwanya menjadi lebih tenang, fikirannya pun lebih tenteram dan kegelisahan jiwanya pun hilang berkat bacaan al-Quran. Begitulah al-Quran sebagai ubat penawar seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dalam al-Quran ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Surah al-Isra’, ayat 82)

Demikianlah kedudukan dan kelebihan al-Quran di sisi Allah SWT yang padat dengan wahyu Ilahi seumpama sinaran cahaya menerangi kehidupan manusia sejagat ke arah kesejahteraan hidup dunia dan kebahagiaan akhirat. 

Sesiapa berpegang teguh dengan ajaran terkandung di dalamnya, maka dia akan berbahagia, sebaliknya sesiapa yang menolak atau meninggalkan ajaran al-Quran, dia termasuk dalam kalangan manusia tersesat. 
Dalam hal ini, Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan sesiapa tidak membaca al-Quran bermakna dia meninggalkannya (menjauhkannya). Begitu juga sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak pula memahami maknanya, dia juga meninggalkan al-Quran dan sesiapa yang membaca al-Quran dan memahami maknanya tetapi tidak mengamalkannya pula, dia tetap juga meninggalkan al-Quran.

Membicarakan kelebihan al-Quran, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Kepada kaum yang suka berjemaah di rumah ibadah, membaca al-Quran secara bergilir-gilir dan saling mengajarkan antara sesama mereka, akan turunlah kepada mereka ketenangan dan ketenteraman, dilimpahi juga kepada mereka rahmat Ilahi yang tidak terhitung, dipelihara oleh Malaikat dan Allah SWT akan sentiasa mengingati mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, Rasulullah SAW menganjurkan setiap penghuni rumah Muslim menghiasi rumah dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran. Rumah yang tidak dibaca di dalamnya ayat al-Quran, akan banyak berlaku keburukan perilaku, kegersangan jiwa dan juga kesempitan pandangan hidup.

Setiap Muslim dianjurkan sentiasa membaca al-Quran selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran (membaca dan memahami maknanya) dan mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, setiap Muslim wajib bermuhasabah dan menilai diri apakah kita sudah benar-benar melaksanakan kewajipan kita terhadap al-Quran, iaitu bermula dengan keimanan yang tulus terhadap kebenaran al-Quran, kemudian membaca al-Quran dengan elok berserta adabnya, memahami dan menghayati isi kandungannya dengan kefahaman yang syumul dan seterusnya menterjemahkan isi kandungan al-Quran dalam ruang lingkup kehidupan yang serba mencabar.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...