ARKIB : 04/04/2012
Fiqh Munakahat
Anak adalah penyeri dan pelengkap kepada kehidupan rumah tangga. Apabila ada pasangan yang berkahwin, perkara pertama yang akan ditanya selepas tamat masa bulan madu ialah: “Dah ada apa-apa?” atau: “Isteri dah mula mengidam?” Dan pelbagai soalan berkaitan menimang cahaya mata.
Namun tidak dapat dinafikan, jodoh pertemuan dan anak adalah milik Allah. Ada seorang rakan yang sudah lama berkahwin, tetapi belum mendapat anak, akhirnya merasa malu ke majlis keramaian kerana tidak larat menjawab soalan mengenai anak.
Kedua-duanya sihat dan hanya memberikan jawapan: “belum rezeki.” Di kalangan orang lelaki pula soalan seperti itu sering mencabar kelakian dan seolah-oleh dia tidak mampu mendapat zuriat dan tidak cukup lelaki.
Apa yang jelas, setiap pasangan yang telah berkahwin inginkan cahaya mata. Jarang sekali kita dengar pasangan yang tidak mahukan anak. Namun di dunia yang serba moden ini ada juga pasangan berkahwin, tidak mahukan anak.
Pasangan ini bercinta sebelum berkahwin dan sebulan selepas bernikah, Allah takdirkan isterinya mengandung.
Suami tidak begitu ghairah dengan berita itu namun tenang melalui proses isterinya mengandung hingga melahirkan. Isteri terlalu gembira sehinggakan dia tidak perasan suami tidak gembira. Isteri pula terlalu menumpu perhatian kepada orang baru hingga terabai tanggungjawabnya kepada suami.
Bayi kecil mana yang tidak kuat menangis. Suami merasa ‘terganggu’ dengan ‘kebisingan’ suara anaknya. Akhirnya, sebelum genap dua tahun umur perkahwinan, suami melafaz talak. Alasannya, dia rimas dengan suasana beranak kecil. Aduhai ayah, ingatlah, anak itu dugaan Allah buatmu.
Kes di atas adalah antara beribu kes yang mana pasangan muda belum bersedia menimang cahaya mata tetapi ramai yang akur bahawa anak itu rezeki yang Allah janjikan dan kuasa Allah sepenuhnya.
Tentunya Allah Maha mengetahui sama ada satu pasangan itu telah bersedia menimang cahaya mata atau sebaliknya. Dengan kehadiran ‘orang baru’ tentunya hubungan dengan pasangan akan melalui proses perubahan dan anak adalah tanggungjawab tambahan kepada pasangan, terutama suami.
Hak anak
Sebagai anak, mereka mempunyai hak-hak yang Allah telah janjikan kepadanya yang wajib digalas oleh ibu dan bapa. Apakah hak anak yang pertama dan utama? Jawapannya ialah mendapat nasab yang sah dan mengetahui siapa ayah ibunya. Ini selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-kanak yang memperuntukan bahawa adalah menjadi hak seorang kanak-kanak mengetahui asal usulnya dan kewarganegaraannya.
Islam amat mementingkan keturunan yang sah. Melalui nasab yang sah barulah seseorang mempunyai hak-hak yang lain. Tentunya nasab yang sah hanya boleh diperoleh melalui pernikahan yang sah.
Jika ibu bapa seorang anak tidak bernikah semasa anak dikandung dan dilahirkan, maka bayi yang lahir itu adalah anak yang tidak sah taraf. Anak yang tak sah taraf tiada hubungan dengan bapa biologinya.
Orang yang berhak dan ada tanggungjawab terhadapnya hanyalah ibu.
Jika anak itu sah taraf, maka bapanya bertanggungjawab menafkah, mendidik dan jika anak perempuan, menjadi wali. Tentunya jika anak mempunyai nasab yang sah maka ia juga mempunyai hak untuk hidup.
Ini bermakna, walaupun tidak sah taraf, ia tidak boleh dibunuh atau dihalang daripada dilahirkan.
Anak dilahirkan bersih dan suci. Sabda Nabi: Setiap anak itu dilahirkan dalam fitrah (bersih) maka kedua ibu bapa lah yang akan menentukan agamanya, sama ada Yahudi, Kristian mahupun Majusi. (riwayat Bukhari).
Ini juga ditegaskan dalam surah al-Isra’ ayat 31. Seterusnya dalam satu hadis Abdullah bertanya kepada Rasulullah SAW: Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Jawab Nabi: “Kamu mensyirikan Allah dengan menyeru Tuhan yang lain sedangkan Allah mencipta kamu.” Dia bertanya lagi dosa apa selepas itu. Nabi menjawab: “Kamu membunuh anak kamu kerana takut dia makan bersama kamu. (riwayat Bukhari)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa anak sebaik sahaja ia terbentuk dalam rahim ibunya, berhak untuk dilahirkan dan hidup sebagai manusia. Adalah dosa besar cuba menggugurkan kandungan atau membunuh anak yang telah lahir hanya kerana ia tidak dikehendaki.
Di bawah undang-undang sivil, seseorang yang cuba menggugurkan kandungan atau menggugurkan kandungan boleh disabitkan di bawah Kanun Keseksaan dan dihukum penjara antara tiga ke tujuh tahun. Itu hukuman dunia, akhirat pun akan ada pembalasan Allah.
No comments:
Post a Comment