Susunan SITI AINIZA KAMSARI
DUA pahlawan Islam Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab yang sememang terkenal dengan kegagahan di medan perang turut gagal untuk meruntuhkan pintu Kubu Nai'im.
Lantas, sebagai ketua panglima perang, Rasulullah sedikitpun tidak menunjukkan riak kecewa dengan kegagalan itu.
Apa yang perlu baginda lakukan hanyalah menaikkan semangat tentera Islam supaya mereka kembali yakin untuk mengalahkan tentera Yahudi Khaibar itu.
Lalu baginda memegang bendera perang dan berkata dengan lantang kepada seluruh tentera Islam: "Esok pagi bahawa aku akan menyerahkan bendera ini kepada seorang lelaki, yang cintanya hanya kepada Allah dan Rasul-Nya dan begitu Allah dan Rasul-Nya juga cinta kepadanya."
Mendengarkan kata-kata itu, tentera Islam yakin bahawa esok adalah hari kemenangan yang ditunggu-tunggu kerana benteng atau kubu kuat mempunyai pertahanan sangat ampuh itu akan dapat ditawan.
Maka kepada siapakah bendera perang itu akan diserahkan?
Keesokan harinya, Rasulullah pun mencari di mana seorang lagi pahlawan Islam yang terbilang, Ali bin Abi Talib.
Rupa-rupanya Ali ditimpa sedikit musibah. Kedua-dua belah matanya dijangkiti penyakit sehingga menyebabkan beliau terbaring kesakitan dalam khemah.
Apabila seorang sahabat datang ke khemah Ali dan memberitahu bahawa Rasulullah ingin menemuinya, lalu dengan bersusah payah sambil menutup matanya dengan sehelai kain, Ali pun datang menemui Rasulullah.
Di hadapan para sahabat dan anggota tentera yang lain, Rasulullah pun memberitahu bahawa bendera perang akan diserahkan kepada Ali kerana yakin Ali merupakan satu-satunya pahlawan yang akan membuka Kota Khaibar untuk ditawan.
Ali sangat terkejut dengan penyerahan bendera perang itu dan berkata kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, bagaimana saya hendak mengetuai serangan terhadap kubu Nai'im itu, sedangkan untuk melihat kaki saya sendiri saya tidak mampu."
Mendengarkan kata-kata Ali itu baginda lantas tersenyum dan meminta Ali supaya membuka kedua-dua belah matanya, lalu dibacakan doa dan dihembuskan ke mata Ali, lalu menyapunya dengan tangan baginda sendiri.
Dengan izin Allah, kedua-dua belah mata Ali sembuh seperti sedia kala. Malah matanya kini lebih 'kuat' dan dapat menahan panas cahaya matahari padang pasir yang begitu terik dan bahang itu.
Ali sangat gembira kerana matanya telah sembuh dan seolah-olah mendapat kekuatan baru yang luar biasa untuk menyerang pihak musuh.
Lalu Ali pun bangun dengan begitu bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab membawa pasukan tentera Islam menyerang kubu Nai'im.
Apabila sudah semakin hampir dengan kubu tersebut, Ali meminta supaya anggota tentera yang dipimpinnya itu berhenti dan menunggu di suatu tempat.
"Kamu tunggu di sini dahulu, biarkan saya pergi seorang diri ke kubu tersebut. Tunggu sehingga arahan selanjutnya," kata Ali.
No comments:
Post a Comment