Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
2012/04/01
Tindakan mudarat diri kerana putus cinta ditegah Islam
DALAM kehidupan di dunia ini, cinta dan kasih sayang adalah lumrah manusia kerana perasaan itu suatu anugerah Allah. Bagi yang dapat meneruskan impian hingga ke jenjang pelamin, syukur Alhamdulillah kerana segala hajat dan niat akhirnya tercapai juga dengan izin Allah dan tidak kurang juga ada segelintir pasangan yang terkandas di pertengahan jalan.
Bagi yang kecewa dalam alam percintaan, sedih sudah pasti menyelubungi jiwa dan hati. Tidak kurang juga kita mendengar kisah orang kecewa bercinta membawa diri yang terlalu sedih dan mengambil keputusan nekad untuk berbuat sesuatu tindakan negatif seperti membunuh diri misalnya. Inilah fenomena alam percintaan.
Sesungguhnya perasaan kecewa sehingga mendorong manusia melakukan tindakan memudaratkan diri sendiri sangat ditegah Islam. Kita seharusnya menerima segala kemungkinan sebagai suratan takdir Allah dengan hati yang lapang dan penuh reda.
Mungkin kisah berikut mampu menjadi terapi kepada kita berkenaan putus cinta ini. Kisah pertama ialah peristiwa terjadi di antara Salman al-Farisi bersama sahabat karibnya, Abu Darda’.
Dilaporkan bahawa Salman al-Farisi mengenali seorang Muslimah solehah daripada kaum Ansar dan berhajat untuk memperisterikannya. Sahsiah peribadi wanita itu begitu memikat hatinya, namun jauh di lubuk hatinya timbul rasa was-was apakah dia layak untuk meminang wanita itu.
Ini memandangkan yang dia bukanlah penduduk asal Madinah. Dia sedar akan hakikat itu, namun hatinya begitu berkeinginan untuk menikahi wanita Ansar itu lalu dia berfikir panjang bagaimana untuk merealisasikan hasrat hatinya itu.
Lalu timbul di benak kotak fikirannya yang dia memerlukan orang lain sebagai jurubicara yang mempunyai latar belakang dan memahami dengan selok-belok adat tradisi penduduk Madinah. Akhirnya Salman al-Farisi memilih sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai orang pengantara. Lagipun, Abu Darda’ adalah sahabat Ansar yang dipersaudarakan dengannya.
Salman tanpa segan-silu kemudian meluahkan hasrat yang terpendam selama ini kepada sahabatnya itu dan disambut dengan gembira apabila Abu Darda’ mendengarnya.
Selepas itu, segala persiapan pun dilakukan dan mereka berdua berangkat ke rumah gadis yang ingin dipinang oleh Salman. Sampai di rumah gadis itu, berkatalah Abu Darda’ selaku jurubicara Salman: “Saya Abu Darda’ dan ini adalah saudaraku, Salman al-Farisi yang berasal dari Parsi. Allah memuliakannya dengan Islam dan dia juga memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah SAW sehingga Baginda menganggapnya sebagai sebahagian daripada ahli keluarga Baginda. Saya datang ini adalah untuk mewakili saudaraku ini untuk melamar anak gadis tuan bagi pihaknya.”
Begitulah teratur dan beradabnya Abu Darda’ mengatur tutur bicara. Kemudian bapa gadis itu pula membalas bicara kata dalam pertemuan itu: “Kami sangat berbesar hati menerima anak berdua, sahabat Rasulullah SAW yang mulia. Kami juga berasa begitu bertuah jika bermenantukan seorang sahabat Rasulullah SAW yang utama. Akan tetapi jawapannya saya serahkan sepenuhnya kepada anak gadis kami.”
Selepas mereka berbincang anak beranak di sebalik tirai, maka si ibu gadis itu mengatakan keputusan anaknya. Kata ibu gadis itu: “Maafkan kami kerana terpaksa berterus-terang. Tetapi kerana anak berdua yang datang, maka dengan mengharapkan reda Allah, saya menjawab bahawa anak gadis kami menolak pinangan Salman. Namun jika yang melamar anak gadis kami ialah Abu Darda’ maka anak gadis kami tidak menolaknya.”
Dalam situasi beginilah kita kita akan dapat satu gambaran budi sahsiah terpuji yang cukup luhur pada diri Salman. Meskipun dia sangat terkejut dengan jawapan berterus terang itu, tetapi sikap berlapang dada nyata begitu tinggi dimiliki oleh sahabat Rasulullah SAW ini.
No comments:
Post a Comment