بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, April 14, 2012

Dakwah unik Suhaib



pada rancangan Reflections musim kelima ini, William Suhaib Webb berinteraksi secara spontan dengan penonton.


Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Gambar RIDUAN RIZAL

WALAUPUN berbeza bahasa, namun demi menyampaikan kebenaran dan menyebarkan ilmu-ilmu Allah dan Rasul-Nya, maka misi dakwah seorang imam dari Boston, Amerika Syarikat di negara ini dikira berjaya.


William Suhaib Webb, 39, kini sudah mempunyai ramai penonton setia yang tidak akan berganjak tempat duduk setiap kali beliau muncul sebagai hos rancangan agama popular masa kini, Reflections di TV AlHijrah.


Dalam rancangan selama setengah jam setiap Isnin sehingga Khamis bermula pukul 7 pagi dan setiap Rabu dan Khamis bermula pukul 10.30 malam, Suhaib dalam bahasa Inggeris yang mudah membolehkan Islam turut dapat difahami dengan mudah.


Suhaib memeluk Islam pada tahun 1992, merupakan seorang deejay profesional. Maka tidak menghairankan jika dia masih menggunakan kemahiran dalam berkomunikasi itu bagi menarik perhatian penonton.


Dalam rancangan itu, Suhaib mengupas surah-surah dalam al-Quran dari pelbagai aspek, terutama dengan mengaitkannya dengan kehidupan seharian umat Islam.


Beliau tidak sahaja mengeluarkan pendapat, malah berkongsi dengan ulama-ulama dan tokoh ilmuan Islam lain bagi memberikan perspektif lebih luas kepada penonton.


Sesungguhnya beliau seorang yang suka berkongsi ilmu, jika dalam bahasa Arabnya perumpamaannya adalah Al Ilmu kal Usrati, iaitu ilmu itu bagai keluarga, mesti dikongsi bersama.


Beliau berkongsi tanpa mengira cara dan tempat di mana sahaja terutama menggunakan sepenuhnya perkembangan teknologi maklumat (IT). Bahkan, disokong laman webnya sendiri, iaitu www.SuhaibWebb.com (Your Virtual Mosque), yang diiktiraf sebagai Blog Terbaik, The Best Blog of the Year untuk tahun 2009 oleh Brass Crescent Awards dan di laman sosial Tweeter pula, dengan undian tertinggi untuk memenangi The Best Muslim Tweeter, setahun kemudian.


Ini tidak termasuk di laman sosial Facebook miliknya, seramai 30,356 yang menyukainya (likes) dan boleh juga dikenali sebagai Ustaz Youtube apabila ia antara yang begitu popular pada hari ini.


Kini di TV AlHijrah, kemunculan Suhaib antara yang sering dinanti-nantikan oleh para penonton kerana rancangan Reflections kini telah memasuki musim kelima sejak mula diperkenalkan hampir dua tahun lalu dengan Suhaib sendiri adalah peneraju awal rancangan ini.


Beliau sebenarnya merupakan Imam Masjid Boston di Pusat Masyarakat Islam dan Kebudayaan Boston (ISBCC), masjid yang terbesar di wilayah New England, Amerika Syarikat.


Namun menyedari bahawa generasi boleh dibentuk melalui pengaruh televisyen, Suhaib sanggup untuk kerap berada di Malaysia bagi menjayakan rancangan tersebut.


"Saya dahulu membesar dengan pengaruh-pengaruh yang disiarkan oleh saluran TV MTV, maka tidak menghairankan yang lahir adalah generasi MTV.


"Jadi apabila telah ada saluran televisyen yang baik ini, maka kita perlu mengambil kesempatan sepenuhnya bagi menjadikan saluran ini yang paling utama dan berpengaruh demi membentuk generasi Islam yang terbaik terutama daripada kalangan anak muda kita hari ini," katanya.


Beliau ditemui baru-baru ini bagi menjayakan Rancangan Reflections yang dirakam bersama para penonton di Auditorium Besar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak yang buat pertama kalinya Suhaib berpeluang berinteraksi bersama penonton sebagai daya tarikan terbaru kepada rancangan itu.


Suhaib sememangnya handal dalam bual berbicara kerana menerusi pengalaman yang luas semasa belajar di Universiti al Azhar, Mesir selama enam tahun (2004 - 2010) dan pelbagai aktiviti dakwah, sosial dan kemasyarakatan, dia digunakan sepenuhnya supaya tidak ada halangan antara dirinya dengan penonton.


Sambil menyelitkan perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang semakin fasih dituturkan, Suhaib bijak mengajak para penonton secara spontan.

ARKIB : 12/04/2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...