بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, April 7, 2012

Bekerja cari rezeki jalan keluar daripada belenggu kemiskinan


Oleh Ustaz Zaman

2012/04/07


KITA sebagai hamba dianggap miskin di hadapan Allah SWT walaupun pada zahirnya kita adalah seorang hartawan yang memiliki segala kesenangan dunia. Hakikatnya segala kekayaan adalah milik Allah SWT kerana Dialah yang memiliki seluruh perbendaharaan langit dan bumi. Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai manusia, kamu adalah fakir di sisi Allah dan Dialah yang maha kaya lagi terpuji." (Fatir 15). Firman-Nya bermaksud: "Segala apa yang berada di langit dan bumi adalah milik-Nya yang mana malaikat sentiasa beribadat di sisinya tanpa berasa angkuh." (Al-Anbiya’ 19).

Kemiskinan sering dikaitkan dengan Islam dan kaum Muslimin. Negara Islam kebanyakannya tergolong dalam kumpulan negara miskin dan melarat. Persoalannya, adakah Islam menggalakkan umatnya menjadi miskin, sedangkan Saidina Umar RA sering menggalakkan sahabat bekerja dengan berkata: “Sesungguhnya langit tidak akan menurunkan hujan emas kepada kamu.” Beliau juga pernah berkata: “Jika kemiskinan itu seorang lelaki nescaya aku akan membunuhnya.” (Sohib Jami’ Soghir). Jelaslah bahawa kemiskinan berpunca daripada kelemahan terletak di bahu umat Islam sendiri yang mana ia berlaku kerana ujian daripada Allah SWT atau hukuman disebabkan kekufuran dan kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia.


Islam tidak menggalakkan umatnya berpeluk tubuh dan menunggu durian runtuh kerana pepatah Melayu ada menyebut: "Rezeki tidak akan datang bergolek." Budaya membuang masa di kedai kopi dan di tempat awam hendaklah dikikis dalam masyarakat kita. Budaya mencari keuntungan melalui skim cepat kaya mestilah dihindarkan daripada kelompok yang mengimpikan sebuah masyarakat bertamadun.

Kita sering terlepas pandang mengenai faktor penyebab yang disebutkan tadi dan penyelesaian kepada masalah kemiskinan yang melanda umat. Manusia sudah lama cuba untuk keluar daripada kemelut kemiskinan ini dengan pelbagai cara dan Islam menganggap setiap permasalahan ada jalan penyelesaiannya seperti setiap penyakit ada ubatnya. 

Sesungguhnya agamalah yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kesakitan kepada kesihatan seterusnya daripada kemiskinan kepada kelapangan. Islam menganggap kemiskinan adalah satu ujian dan bebanan yang perlu dijauhi dan dilindungi. Baginda SAW sendiri pernah memohon perlindungan daripada kemiskinan dan menyatakan bahawa kemiskinan itu akan membawa manusia menghampiri kekufuran.

Baginda pernah berdoa: “Ya Allah, aku memohon perlindungan daripada kepapaan dan kehinaan.” (HR Abu Daud, Nasai’, Ibnu Majah dan Hakim daripada Abu Hurairah RA). Al-Quran juga mendedahkan bahawa sesetengah daripada umat terdahulu ditimpa bencana ini disebabkan mereka berpaling daripada nikmat Allah SWT. “Allah memberi perumpamaan dengan sebuah kampung yang hidup dalam keadaan aman damai, rezeki yang melimpah dari segenap segi, lalu mereka ditimpa kemiskinan dan kelaparan setelah mereka kufur dengan nikmat Allah.” (An-Nahl 112).

Faktor kemaksiatan juga perlu diperhatikan kerana ia dapat mengundang kepapaan daripada peringatan di atas dan Baginda SAW juga pernah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya seseorang akan diharamkan mendapat kurniaan rezeki akibat maksiat dan dosa yang dilakukan.” Baginda juga mengkhususkan zina sebagai punca kemiskinan melalui sabda-Nya: “Sesungguhnya zina yang dilakukan seseorang boleh mewarisi kepapaan.” (Al-Hadis). 

Oleh yang demikian, rezeki juga dianggap nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada hambanya yang dikehendaki khususnya kepada kekasih-Nya SAW. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Allah memberikan limpahan daripada kekurangan yang ada padamu (Muhammad).“ (Duha 8). Baginda SAW juga tidak lupa ketika berdoa di samping memohon ketakwaan kepada Allah SWT, Baginda SAW juga memohon kekayaan. “Ya Allah, kurniakanlah petunjuk, ketakwaan, kemurahan dan kekayaan.” (HR Muslim). 

Baginda SAW juga berdoa untuk sahabat bernama Abdul Rahman bin Auf agar diberi keberkatan dan keuntungan dalam perniagaan. Baginda juga berdoa untuk pembantunya Anas dengan doa: “Ya Allah, Perbanyakkanlah hartanya”. Sabdanya lagi: “ Alangkah beruntungnya kekayaan yang dimiliki oleh Abu Bakar ra”. (HR Ahmad & Ibnu Majah daripada hadis Abu Hurairah ra). Al-Imam Bukhari mengutarakan doa daripada Baginda SAW: “Ya Allah, kurniakanlah padaku ilmu yang berkat, pintu rezeki yang luas, halal dan baik serta amal soleh yang diterima.” (Al-Hadis).

Penyelesaian pertama tertumpu kepada mereka yang mempunyai kudrat dan tenaga untuk mencari rezeki yang halal dan diberkati Allah SWT. Bekerja adalah senjata utama untuk mendapatkan harta. Islam tidak menggalakkan umatnya berpeluk tubuh dan menunggu durian runtuh kerana pepatah Melayu ada menyebut: “Rezeki tidak akan datang bergolek.” Budaya membuang masa di kedai kopi dan di tempat awam hendaklah dikikis dalam masyarakat kita. Budaya mencari keuntungan melalui skim cepat kaya mestilah dihindarkan daripada kelompok yang mengimpikan sebuah masyarakat bertamadun.

Keduanya ialah peluang pekerjaan yang perlu disediakan oleh pihak berwajib bagi menghindarkan pengangguran yang boleh membantut pertumbuhan ekonomi negara. Kempen kesedaran perlulah dipertingkatkan bagi menyedarkan masyarakat bahawa masa depan negara bergantung kepada sejauh manakah usaha yang dilakukan pada masa kini. Firman Allah SWT bermaksud: “Apabila selesai kamu menunaikan kewajipan (solat), maka bertaburanlah kamu di atas muka bumi untuk bergerak mencari rezeki daripada Allah.” (Al-Juma’h 10). 

Nabi-nabi yang dipelihara oleh Allah SWT juga menjadi pengembala kambing. Ada yang menjadi tukang kayu, tukang jahit, tukang besi dan ada yang menceburkan diri dalam perniagaan. Nabi Musa pernah mengambil upah sebagai pengembala kambing selama 20 tahun dan Muhammad SAW juga demikian dan menjadi peniaga yang berjaya.

Sahabat Baginda SAW juga telah menurut jejak langkah yang sama dalam pelbagai bidang sama ada nelayan, petani atau ahli perniagaan yang baik. Baginda SAW pernah menjawab persoalan seorang pemuda mengenai pekerjaan yang paling baik. Lalu Baginda SAW bersabda: “Seseorang yang bekerja hasil usahanya sendiri dan menceburkan diri dalam perniagaan.” (HR Ahmad).

Ketiganya ialah memakmurkan bumi yang disediakan Allah SWT untuk dimanfaatkan oleh manusia. Bermula dari dada dan perut bumi, semuanya dapat menghasilkan sumber kekayaan kepada umat manusia. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menempatkan kamu di bumi dan di sanalah kami jadikan sumber kehidupan untukmu. Namun hanya sedikit daripada kalangan kamu orang yang bersyukur.” (Al-A’raf 10). Dengan memakmurkan bumi atau menghidupkan bumi yang telah mati akan menghasilkan sumber ekonomi yang mantap dan produktif. Firman Allah SWT bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan bumi untuk kamu terokai. Maka terokailah dan makanlah sebahagian daripada rezekinya.” (Al-Mulk 15)

Penulis ialah Eksekutif Agama NSTP


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...